
Nampaknya ini musim beberapa buah negara di Barat mengiktiraf kewujudan Palestin. Antara negara yang sudah berbuat demikian ialah France, Andorra, Belgium, Luxembourg, Malta, Monaco, Australia, Canada, Portugal dan United Kingdom. Singapura dan Jepun memohon tangguh, dengan memberi alasan masing-masing yang malas untuk kita bahaskan. Ini sebab kita sama-sama tahu apa penyakit yang dijangkiti oleh mereka.
Bolehkah Palestin, atau kita sebagai penyokong tegar gembira dan berseronok dengan pengiktirafan ini? Malah sebaliknya.
Pengiktirafan ini membawa maksud negara-negara di atas ini mengiktiraf kewujudan dua buah negara, atau disebut sebagai ’penyelesaian dua negara’ yang mana ia secara mudahnya merujuk kepada pelan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang akan ‘dibenarkan’ untuk berfungsi dan wujud bersebelahan dengan Israel. Nampak?
Penyelesaian ini satu bentuk rasa kasihan agar pengemisan rakyat Palestin selama ini untuk bernegara, tetapi tanpa perlu membubarkan Israel, dapat dicapai. Memanglah ini sesuatu yang melucukan; ini kerana Israel hanya wujud pada 1948 oleh onarnya Britain, sedang Palestin adalah negara yang wujud lebih awal sebelumnya.
Onar ini tidak akan menjadi tanpa bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang entah kenapa berhak meluluskan Ketetapan 181 yang mula-mula dan pandai-pandai membuat perancangan “Mandat Palestin” untuk mengerat Palestin, satu di bawah kawalan British sebagai sebuah negara Yahudi; mengerat satu lagi lantaskan diciptakan sebagai sebuah negara Arab. Nampak?
Ya, kita tahu belaka yang sempadan disarankan oleh PBB itu tidak pun menjadi realiti. Israel kemudian berperang dengan Syria, Jordan dan Mesir. Hampir sejuta rakyat Palestin yang sah diusir keluar dari Israel yang baru diwujudkan ini. Mereka kemudian mengungsi sebagai pelarian ke Tebing Barat, Gaza, Mesir dan merata lagi. Tanah dan harta benda milik rakyat Palestin ketika itu mudah-mudah dirompak dan dijarah. Perang dengan jirannya, membawa kepada perjanjian gencatan senjata dan apa yang dinamai hari ini Tebing Barat dan Gaza. Kemudian si kemaruk perang ini berperang lagi, kali ini selama enam hari pada tahun 1967. Ia membolehkan Israel menawan dan menduduki Tebing Barat, Gaza, Baitul Maqdis dan Bukit Golan, di Syria.
Justeru ‘penyelesaian dua negara’ yang disebut-sebut dengan mengiktiraf Palestin itu adalah untuk kembali kepada ketetapan Palestin yang terdiri dari Tebing Barat iaitu sebelum pendudukan Israel, dan Gaza. Ia bukan mengembalikan apa yang dicuri, tetapi memaksakan kita akur dan mengesahkan apa yang dicuri. Nampak?
Tentu sahaja ini tidak adil. Mana mungkin Palestin menerima sebuah negara yang dicuri untuk berdiri di sebelahnya. Maka rakyat Palestin di belakang PLO dan Yasser Arafat pun berlawan.
Ikut berlawan dengan Israel ialah Hezbullah di Lubnan sejak 1982, dan Hamas mulai 1987. Namun, itulah, perlawanan selalu melelahkan terutama jika tiada sumbu api yang kuat. Hamas kuat melawan. Hezbullah lebih-lebih lagi tambah dengan bantuan Iraq dan rejim al-Assad di Syria. Semuanya bergabung. Pada 1993, Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin menundukkan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Yasser Arafat yang sudah kepenatan bergasak. PLO dan entiti dalamannya, Fatah pun mengalah. Entah apa yang fatah, malah patah. PLO dan Israel bertemu di Oslo dan menandatangani perjanjian pertama daripada dua perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Oslo.
Meskipun tiada sempadan yang jelas dipersetujui, tetapi ia dianggap merujuk Ketetapan 242 Majlis Keselamatan PBB yang pada 1967 mendesak pengunduran tentera Israel “dari wilayah yang diduduki”. Ini diikuti oleh Perjanjian Oslo Kedua pada tahun 1995, di mana ia memperincikan pula pembahagian kawasan pentadbiran. Tebing Barat, yang asalnya dicuri itu dikerat lagi kepada beberapa kawasan yang turut dikawal secara bersama oleh Israel dan Pentadbiran Palestin (PA). Ini kononnya langkah pertama ke arah mengembalikan ‘Palestin’ kepada Palestin.
Iran, Hamas, Hezbullah dan ‘Syria yang lama’ menolak penyelesaian dua negara ini. Israel dengan Amerika Syarikat pun bergabung tenaga menciptakan ISIS, dan tahun lepas Syria pula kalah. Yang naik ialah Syria baru di bawah al Jolani. Nama barunya Ahmad Sharaa, dan bagai sirih pulang ke gagang Jolani ini bertemu kembali di New York dengan Jeneral David Petraeus orang yang sama menangkapnya ketika beliau adalah pengganas al-Qaeda di Iraq pada tahun 2006. The Times of Israel Jolani menjelaskan Syria dan Israel akan menormalisasikan hubungan mereka. Nampak?
Semua pengiktirafan yang dinyatakan untuk Palestin minggu ini dan minggu lalu sebenarnya satu pengiktirafan yang salah. Ia malah memberi Mahmoud Abbas, pemimpin Pentadbiran Palestin, yang sedia tidak popular dalam kalangan rakyat Palestin wewenang yang konon ‘Hamas tidak ada suara’ dalam pembinaan negara Palestin di bawah penyelesaian dua negara ini. Abbas memang tidak senang dengan Hezbullah dan Iran. Hamas di satu pihak pula melihat Pentadbiran Palestin sebuah organisasi boneka ditaja Barat, dan akan melutut kepada kehendak Israel. Nampak?
Justeru masalah Palestin tidak akan selesai. Yang belayar beramai-ramai atas flotilla ke Gaza sejak dua tiga minggu lepas entah nampak atau tidak hal disebut di atas ini. Saya macam ragu khususnya yang dari Malaysia ini nampak.
Kita semua tahu tidak ada Israel. Negara yang dinamai Israel itu adalah Palestin yang dicuri. Yang mencuri adalah sekumpulan Zionis atas restu Barat, khusus British. Mengiktiraf dua buah negara, atau solusi Palestin dan Israel hidup bernegara bersebelah adalah ibarat mengiktiraf pencuri itu berhak terhadap apa yang dicuri, dan menafikan hak mangsa kecurian.
Kita tidak boleh lelah menuntut dan melawan hak kepunyaan kita. Melepaskan hak kita adalah satu pengkhianatan politik, dan agama. Mereka yang menerima solusi dua negara (kebanyakan negara Arab memilih berbuat begini) bukan sahaja tidak berlaku adil kepada Palestin malah melakukan kezaliman di atas kezaliman.
Malaysia tentulah akan berpegang kepada penyelesaian dua negara. Hatta Mahathir Mohamad yang terpaling lantang menolak Yahudi ketika memerintah negara ini pun berpegang kepada solusi sedemikian. Hanya setelah tiada kuasa barulah beliau acah-acah berpaling. Nampak?
Dalam dunia ini, yang masih berpegang kepada sikap Palestin itu cuma satu sahaja tidak perlu dikerat; dan bahawa Israel itu adalah negara haram cuma sebuah negara nampaknya.
Andaikan ini sebagai soalan kuiz bernilai sejuta ringgit di gelek roda nasib; tahukah anda negara yang mana berpendirian sedemikian?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.