
Minggu ini terdapat sekeping atau mungkin lebih, foto tersebar di atas talian memaparkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menyertai satu perasmian atau upacara ‘pecah tanah’ pembinaan Terowong Penempatan Israel di bawah Masjid Al-Aqsa. Gambar itu menunjukkan Netanyahu si Zionis, dan Rubio, mengambil bahagian dalam kerja-kerja penggalian di sebuah terowong di bawah bandar Silwan, selatan Masjid Al-Aqsa. Ini tidak syak lagi sokongan AS terhadap kerja-kerja penggalian dilakukan Israel di bawah dan sekitar Masjid Al-Aqsa. Ia projek awal Temple Mount.
Projek Temple Mount ini satu pelan yang disengajakan untuk melemahkan struktur Masjid Al-Aqsa, memadamkan sejarahnya, dan menghapuskan identiti Islamnya. Kita harus ingat, Rubio dan Donald Trump, presiden AS mengesahkan kehadiran mereka ke Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober mendatang.
Tentu Malaysia sebagai pengerusi Asean di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim memerlukan hubungan erat dengan AS bagi memperkukuh kestabilan dan kemakmuran rantau Indo-Pasifik.
Dan ia datang dengan harga. Adakah Anwar Ibrahim benar-benar tidak kisah harganya?
Atau adakah Madani mempunyai strategi tertentu untuk menyambut manusia paling benci dan jahil terhadap Islam ini? Jika ada rakyat Malaysia — ramai — berbondong ingin berdemonstrasi di hadapan Trump, katakan di KLIA, membawa ke tengah kota raya KL, adakah mereka atau kami akan dibenarkan, tidak dihalang dan tidak ditolak ke penjuru kota agar tidak kelihatan di mata Donald?
Ini harus diingat merupakan satu cabaran untuk Madani, kerana khabarnya ada pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur sangat rimaskan bendera Palestin. Ini berlaku di saat Anwar berada di Qatar memarahi Israel yang baru mengebom Doha dengan tujuan membunuh ahli-ahli politik Hamas.
Trump hamba utama Zionis, dan akan melakukan apa sahaja untuk Tel Aviv. Trump juga diketahui merancang bermacam-macam untuk Gaza, Palestin; dari memindahkan rakyat Gaza ke negara lain, kepada membangunkan Gaza untuk tujuan pelancongan dan keselamatan Zionis. Jadi memang tidak masuk dengan agenda Doha baru-baru ini.
Trump memang rimaskan Islam. Selain perangai dan sikap Islamofobia, pernah ketika dia berkempen untuk pilihan raya presiden, ada suara nakal ‘bertakbir’ mengacah. Kelam kabut Trump jadinya diikuti pasukan Secret Service melompat melindunginya. Itulah tahap menyampah dan bodohnya Trump dan pasukannya terhadap Islam. Itu belum lagi kalau kita memasukkan Executive Order 13769 iaitu bagaimana Trump menghalang kemasukan pengunjung dari pelbagai negara Islam menjejakkan kaki di Amerika pada 2017. Pendek kata Trump dan Islam ini tidak akan jadi regu.
Selain kebebalan di atas, Trump dikenali suka mendramakan pertemuannya dengan pemimpin negara lain. Pada 28 Februari 2025, Trump dan Volodymyr Zelenskyy, Presiden Ukraine (barang diingat kedua-duanya taat setia kepada Zionis) berjawab-jawab seperti kanak-kanak di sekolah asrama dalam sidang media di Rumah Putih.
Bukan itu sahaja pada 18 Ogos 2025, dalam satu pertemuan antara Trump dan pemimpin dari Eropah, dia melayan mereka seperti budak-budak, beratur dan terhegeh-hegeh. Dia memalukan setiap seorang darinya. Tidak ada jaminan Trump tidak akan buat drama di KL. Tidak ada juga jaminan Trump tidak akan memalukan Anwar dan Malaysia di KL. Malah kalaupun Trump tidak buat drama, ia mungkin besar menjadi momen Malaysia dibodohkan seperti negara-negara Teluk di mana dalam kunjungan Trump ke negara-negara Arab itu, semuanya tunduk menyembah kepada Trump. Tak dapat bayangkan Bang Mat dalam keadaan ini, naudzubillah.
Pendek kata, kehadiran Trump di KL bukan rahmat tetapi bencana dan bala. Kebalaan Trump di ibu kota dapat dibayangkan oleh kita semua penghuni Lembah Kelang. Entah bagaimana keadaan jalan raya di KL pada waktu itu kelak, entah apa rupanya laluan ke Putrajaya nanti. Bukan sahaja macet yang akan kita hadap tetapi kita akan mendapat tempiasnya Trump.
Pihak keselamatan kita perlu melindungi rombongannya. Sudah satu kerja orang kita sendiri pula tukang menengokkan kemaslahatan Trump, walaupun kita benci. Penjawat awam akan terpaksa bekerja menyambutnya. Buat-buat senyum. Ini bukan sambutan yang wajar diraikan pun.
Suka atau tidak suka, kehadiran Trump memberikan sebab kepada para Islamis di negara ini untuk mentertawakan Madani. Pembangkang seperti PAS yang masih kuat dan tiada tanda surut pengaruhnya akan beroleh tonik kuat mereka kembali. PAS akan suka. Ia memberikan Haji Hadi modal untuk menyatakan bahawa inilah pendekatan Madani yang hanya cakap-cakap dan tidak serupa bikin. Mahathir Mohamad sang pejuang pun akan seronok. Bolehlah bantai seblog dua.
Memang nampaknya tidak ada pertimbangan yang masuk akal dan waras pun untuk Trump singgah di KL. Anwar bukan Najib Razak, dia tidak perlukan Trump. Najib dulu memang ada terhegeh-hegehkan Barack Obama. Ia hanya menjadi episod sejarah yang comot untuk Malaysia. Paling-paling pun yang eloknya sedikit ialah rakyat AS yang hanya tahu mengenai diri mereka sendiri akan terbukalah sedikit mengenal apa itu Malaysia, siapa itu Anwar, dan di mana KL.
Tapi itu pun tidak bagus. Rakyat AS ramai yang ada dwi-kerakyatan dengan Israel, nanti-nanti mereka tergiur pula untuk datang melancong dan menyemak di sini. Perangai pelancong Zionis ini memang macam sial. Antara pelancong China dan Amerika Zionis, baik lagi pelancong China. Sejarah Malaysia dan China mula sejak lama dulu, zaman Cheng Ho.
Susah hati kita mengenangkan Trump dan pentadbiran AS baru terlibat ikut upacara pecah tanah terowong Zionis di bawah Al-Aqsa, dan bulan depan tuptup kita menyambut mereka ini semua. Ya Allah ampunkan kami. Astaghfirullah.
Anwar suka menjadi hos kepada para ulama di Seri Perdana. Ramai ulama bagus-bagus diundang masuk ke kediaman rasmi perdana menteri. Dan bermacam wacana, kuliah dan zikir selawat dibaca tatkala mereka hadir di situ. Ini memang cocok dengan Madani. Kita semua sejuk perut dan nyaman hati dengan kehadiran mereka. MasyaAllah, Alhamdulillah.
Kita tidak bawa orang jahat masuk rumah kita. Waima kalau penjahat itu kaya-raya dan banyak untuk ditawarkan. Kita tidak memperkenalkannya kepada ahli keluarga. Profil Trump kita sudah ketahui terang lagi bersuluh.
Tidak ada dilema moral yang besar pun untuk menerima Trump masuk KL.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.