
Tak kisahlah Hamzah Zainudin menolak keras dakwaan beliau cuba sabotaj Muhyiddin Yassin, dengan ikrar “saya penyokong nombor satu presiden. Apa yang diarahkan kepada saya, percayalah, saya akan laksana” di hadapan perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, akhir minggu lalu.
Tak kisahlah Muhyiddin kata dalam Bersatu “tak ada kem A, kem B atau kem C”, dan tak kisah juga pada hari terakhir perhimpunan para pemimpin dan ahli berpeluk-peluk, berjanji taat setia. Realitinya ada usaha gulingkan Muhyiddin, ada kudeta.
Walaupun rampasan kuasa gagal, penentangan terbuka terhadap presiden hanyalah permulaan, kata penganalisis politik, Azmi Hassan. Katanya lagi, usaha menolak Muhyiddin akan terus berjalan maka “bersedialah untuk melihat keadaan menjadi lebih buruk dan lebih ganas sehinggalah kumpulan yang mahu Muhyiddin berundur mencapai apa yang mereka ingin”.
Persoalannya bagaimana kumpulan itu mahu capai matlamat mereka? Apakah yang akan dilakukan untuk guling Muhyiddin?
Kumpulan itu mahu Muhyiddin turun dan digantikan oleh Hamzah, tetapi bukankah Hamzah sudah beri tahu presiden “saya bukan pengkhianat tapi saya seorang sahabat duduk di tepi presiden, orang suruhan kepada presiden, tiada lebih daripada itu”? Mengapa mahu teruskan juga perjuangan guling si presiden? Setelah kata apa yang beliau kata, takkan tindakan kumpulan itu direstui Hamzah? “Entahlah yeop,” kata seorang kawan dari Perak.
Tukar presiden memang perkara biasa mana-mana parti politik, tetapi dalam konteks Bersatu dewasa ini bukan tukar biasa-biasa. Sebab? Presiden Bersatu lazimnya jadi pengerusi Perikatan Nasional, dan si pengerusi pula jadi poster boy PN bila pilihan raya diadakan. Ditakdirkan gabungan menang, pengerusi PN jadi perdana menteri — itu isunya.
Muhyiddin sudah diumum sebagai calon tunggal Bersatu untuk jawatan perdana menteri. Diberitakan keputusan sebulat suara. Jelas taklah sebulat kerana ada kumpulan penentang. Persoalan: kumpulan tentang Muhyiddin dengan kumpulan sokong Muhyiddin mana lebih ramai dan mana lebih kuat?
Hakikatnya keadaan akan bertambah buruk dan ganas, seperti kata Azmi. Selain Muhyiddin dan Hamzah, seorang lagi pemain utama dalam percaturan Bersatu ialah Azmin Ali, yang sekarang menyandang jawatan setiausaha agung parti — jawatan yang diberi kepadanya oleh Muhyiddin.
Mereka berdua memang akrab. Hasil Langkah Sheraton, Muhyiddin mendapat untung paling besar yakni jadi perdana menteri. Langkah itu ramai percaya Azmin antara perancang utama. Itu hasil usaha Azmin? Terpulang apa yang masing-masing mahu percaya.
Jika Muhyiddin terima jasa baik Azmin waktu itu, Azmin juga ada terima jasa baik Muhyiddin apabila membuka pintu Bersatu kepadanya ketika tidak punya parti dahulu setelah krisis dalaman PKR. Azmin kata beliau dan team keluar PKR. Kata PKR Azmin dipecat. Ini berlaku tahun 2020. Apa pun Azmin di luar PKR.
Ada ura-ura waktu itu Azmin akan bawa penyokongnya terdiri berbilang bangsa masuk Gerakan kerana parti itu punya keanggotaan berbilang bangsa. Bagaimanapun penyokong Azmin dipercayai mahu beliau jadi presiden kerana pernah duduk jawatan besar dalam parti besar berbanding Gerakan. Presiden Gerakan Dominic Lau beritahu saya waktu itu walaupun partinya mengalu-alukan sesiapa yang pegang ideologi Gerakan, mereka perlu juga “study our constitution. The Gerakan constitution says the president is elected by members in party elections“. Iyalah, takkan masuk terus jadi presiden. Apa pun Azmin dan team tidak masuk Gerakan.
Timbul pula ura-ura Azmin akan tubuh satu parti baharu. Juga multiracial party yang boleh tampung semua penyokongnya. Ini pun tak jadi. Pada Mac 2020, Muhyiddin umum Azmin dan 10 bekas pemimpin PKR sudah masuk Bersatu — parti pribumi (baca: Melayu). Persoalan ketika itu apa akan jadi penyokongnya yang bukan Melayu — sama ada di luar atau masih dalam PKR? Azmin dituduh telah mengabaikan mereka.
Bukan rahsia tidak semua dalam Bersatu menyambut Azmin dengan tangan terbuka. Ada yang sangsi, ada yang tidak yakin akan kesetiaaannya. Ada pemimpin yang bersama Bersatu sejak awal penubuhan parti melihat Azmin sebagai ancaman. Azmin mereka tuduh bercita-cita besar.
Pendekkan cerita yang panjang. Pada 2023, Muhyiddin ubah fikiran dan tidak jadi letak jawatan walaupun sebelumnya berkata akan berbuat demikian. Kata pemerhati, Muhyiddin u-turn kerana beliau mahu elak pertembungan Azmin dengan Hamzah pada pemilihan parti tahun berikutnya, yakni 2024. Waktu itu Hamzah setiausaha agung manakala Azmin tidak berjawatan tinggi, tetapi ada penyokong dalam Bersatu.
Jika Muhyiddin mengosongkan jawatan presiden, mereka akan bertembung dan ini boleh bawa padah kepada Bersatu, mungkin begitu fikir Muhyiddin. Lantas untuk elak itu berlaku, beliau kekal dan mengumumkan apa yang dilihat sebagai formula damai.
Ringkasnya, Muhyiddin kekal presiden tanpa dicabar, Hamzah naik ke jawatan timbalan presiden tanpa ada pertandingan. Azmin jadi setiausaha agung atas ihsan presiden. Yang ‘dikorbankan’ Ahmad Faizal Azumu yang ‘terpaksa’ beri laluan kepada Hamzah untuk duduk kerusi timbalan presiden. Beliau menawarkan diri pada pertandingan naib presiden dan menang, mungkin ahli Bersatu mahu balas pengorbanannya.
Bagi Muhyiddin itu situasi win-win. Beliau terselamat daripada sebarang usaha menjatuhkannya jika ada, dan Azmin ibarat ‘skim insuran’ jika perlu.
Tempoh Muhyiddin sebagai presiden tamat 2027 tetapi jelas kumpulan anti beliau tidak boleh tunggu. Mereka mahu beliau pergi sekarang kerana bimbang pilihan raya umum ke-16 akan diadakan awal. Mereka tidak mahu Muhyiddin jadi PM. Mereka mahu Hamzah. Mungkin mereka terlalu optimis PN akan menang untuk tubuh kerajaan. Kira ayam sebelum telur menetas.
Jika Muhyiddin lepaskan jawatan sekarang hampir pasti Hamzah akan naik ke presiden, tetapi apa pula yang akan dilakukan Azmin? Ada pemerhati politik percaya Azmin memang mahu jadi presiden, jadi pengerusi PN, terus mahu jadi PM. Wallahualam.
Ahli Parlimen DAP Liew Chin Tong mengimbau peranan penting Azmin dalam Langkah Sheraton, dan sekarang ketika Bersatu berdepan pergolakan (atau sudah bergolak?) beliau “tertanya-tanya formula baru apa yang sedang difikir Azmin — sama ada untuk naik menggantikan Muhyiddin atau menjatuhkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan pada masa cuba menampilkan diri sebagai pencabar utama Anwar Ibrahim dalam permainan politik yang lebih besar”.
Expect the expected. Perang Bersatu akan sengit. Saya ulangi tajuk dan lengkapkannya — bersatu teguh, bercerai kahwin lagi? Tapi kahwin dengan siapa?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.