
“Indonesia sedih, Malaysia ikut sedih”. Demikian tajuk satu laporan Malaysiakini tiga hari lalu. Laporan itu mengenai tindakan rakyat Malaysia yang tampil mengeluarkan bantuan kepada rakyat Indonesia.
Dilaporkan tanpa mengira sempadan geografi, rakyat Malaysia menukar lokasi aplikasi penghantaran makanan ke beberapa bandar utama di Indonesia untuk membuat pesanan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk diedarkan kepada rakyat republik itu yang terkesan dengan demonstrasi.
Kata Malaysiakini, ini mencerminkan semangat persaudaraan serumpun yang erat antara kedua-dua negara. Ini inisiatif rakyat Malaysia. Syabas.
Dalam pada itu, ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim menyamakan apa yang berlaku di Indonesia dengan Malaysia ‘menala kejian kepada PMX dan kerajaan Madani’.
Banyak komen seumpama itu dalam media sosial kata Yusri. Saya diberitahu ada yang berbunyi: ‘Malaysia bila lagi?’ Jujur saya kata itu amat memualkan (sekadar menggunakan istilah lembut).
Lantas membawa saya ke hantaran Facebook aktivis media Fathi Aris Omar yang memaparkan dua graf untuk dibandingkan. Satu mengenai jurang pendapatan atau ‘income inequality’ di Indonesia terus meningkat. Satu lagi graf mengenai jurang pendapatan di Malaysia lebih terkawal dan menurun.
Jadi, kita yakni rakyat Malaysia jangan jadi senget berfikir kata Fathi. “Tengok rusuhan yang merugikan negara jiran terus rasa teruja dengan harapan ia akan berlaku juga di negara kita,” katanya.
“Tengok kekacauan yang merosakkan negara jiran terus beri peringatan kepada pemimpin negara dan orang politik kerana bimbang ia boleh berulang di negara kita,” katanya lagi.
Fathi juga berkata, ‘tengok negara jiran hangus terbakar tanpa sebab jelas masih berasa Malaysia tidak akan terkena tempias kemusnahan di sana’.
Menurutnya, ketiga-tiga sikap itu datang daripada rasa ‘teruja dan ragu negara sendiri, panik dan ragui Malaysia sendiri dan sikap acuh tidak acuh dan terlebih yakin negara kita bukan Indonesia’.
Izin saya menambah. Ia juga akibat pendirian taasub bahawa semua masalah di negara ini adalah salah kerajaan, salah perdana menteri diselang-seli dengan DAP.
Sikap terbaik kata Fathi ialah mengambil teladan daripada Republik Indonesia dengan memastikan beberapa langkah termasuk biro keamanan (polis) sentiasa bersiap sedia, risikan terhadap anasir pengacau dan ‘psy-war antidisorder’ mesti cekap.
“Biro pemantauan, SKMM misalnya harus jejak percikan api digital, berita palsu dan ucapan menghasut,” kata beliau. Di samping itu ‘pemimpin di segenap peringkat (termasuk pembangkang) harus tenangkan pengikut bahawa kekacauan bukan jalan pintas meraih sokongan’.
Fathi juga mengingatkan pemimpin kerajaan ‘jangan sekali-kali lupa ucapan kangkong Datuk Seri Najib Razak pada 2014. Masih ingat?’ Saya tidak perlu huraikan ucapan itu. Yang mahu mengimbau sila Google.
Bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau Muda kebangkitan rakyat Indonesia bagi menolak usaha melemahkan demokrasi mesti menjadi peringatan kepada Malaysia agar tidak mengulangi kesilapan sama. Ketua Mobilisasi Muda, Rahmat Amran, dipetik Sinar Harian berkata ribuan warga Indonesia bersuara lantang menuntut kuasa tidak dipusatkan pada segelintir pihak serta undang-undang tidak dipinda demi melindungi penguasa.
Untuk berlaku adil saya lihat kata-kata itu bagai ‘nasihat’ ikhlas Muda kepada kerajaan walaupun ia datang daripada sebuah parti pembangkang dan boleh menimbulkan pelbagai interpretasi.
Apa pun menurut orang kuat Ilham Centre Yusri, sebenarnya antara fokus kemarahan anak muda Indonesia adalah terhadap anggota DPR yang dinaikkan elaun berkali ganda, menyebabkan wujud jurang pendapatan sangat besar dengan golongan cilik atau marhaen. Ini adalah satu faktor utama mereka bangkit memberontak walaupun Yusri akui ada beberapa faktor lain. Tentu kita ada tonton video anggota DPR menari di dalam dewan persidangan meraikan kenaikan elaun mereka. Rakyat yang sememangnya marah mendidih darahnya bila menyaksikan gelagat sedemikian. Lalu bangunan DPR dan rumah anggotanya diserang pendemonstran.
DPR ialah Dewan Perwakilan Rakyat umpama Dewan Rakyat di negara ini. Oleh itu, anggota DPR ialah Ahli Parlimen di Malaysia. “Ya gaji dan elaun Ahli Parlimen Malaysia agak lumayan,” kata Yusri sambil mengingatkan ‘tapi skim saraan tersebut dinaikkan sebelum ini bukan waktu kerajaan Malaysia Madani’.
Dan kata beliau lagi, sejak Anwar Ibrahim jadi perdana menteri gaji Ahli Parlimen tidak pernah dinaikkan lagi. “Selepas angkat sumpah sebagai PMX Anwar umum tidak ambil gaji. Beliau juga umum gaji menteri Kabinet dipotong sebanyak 20%.”
Pun begitu kata Yusri, boleh sahaja jika mahu ‘discuss’ kejadian di Indonesia dalam konteks kerajaan Madani juga beringat-ingat dan berwaspada, ambil pengajaran dan teladan.
Menurutnya, ‘tazkirah dan ingat-mengingati itu bagus, berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin. Namun, kata beliau jika ingin disinggung kejadian di Indonesia dengan Malaysia lebih tepatnya adalah terhadap Ahli Parlimen itu sendiri.
“Khususnya Ahli Parlimen yang terima gaji dan elaun mahal tapi culas nak hadir sidang Parlimen, ponteng memanjang. Yang ini patut lebih beringat-ingat,” kata Yusri.
Jika saya boleh menambah – juga YB yang lagak samseng, memekik dan memaki dalam Dewan yang mulia. Dan kata saya lagi elok mereka dengar lagu ‘Surat Buat Wakil Rakyat’ nyanyian Iwan Fals, penyanyi Indonesia terkenal. Video ada di YouTube. Tengoklah YB dan hayati ye.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.