Skuad penakluk boleh dieksploitasi

Skuad penakluk boleh dieksploitasi

Perihal JDT bolos tiga gol buat kali pertama selepas dua tahun beri idea kepada pasukan lawan.

hishamuddin-aun

Gol akrobatik cantik Bergson da Silva pada penghujung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa menjadi sorotan utama aksi minggu kedua Liga Super 2025/2026 tapi lebih penting daripada itu, ia harus membuka mata pasukan lawan bahawa juara liga 11 musim berturut-turut itu bukan terlalu kebal seperti disangkakan.

Tiada siapa harus menduga NSFC – pasukan sekadar di tangga ke-12 musim lalu – mampu mengejutkan tuan rumah itu dengan bukan satu tapi dua gol pendahuluan ketika usia permainan baru 13 minit melalui gol Joseph Esso dan Jovan Motika yang menewaskan penjaga gol muda, Christian Abad – diturunkan kali pertama di tempat Syihan Hazmi Mohamed.

Daripada memimpin pasukan di dua tangga teratas dan menerima tawaran pasukan kedua tercorot, ketua jurulatih NSFC Nidzam Jamil – meletak jawatan daripada Selangor FC pada 30 Okt 2024, dua bulan selepas pasukannya dibelasah JDT 6-1 dalam final Piala FA pada 24 Aug 2024 – seolah-olah ada sesuatu yang mahu dibuktikannya bersama pasukan baharu.

Memuji semangat pemain-pemainnya dengan dua gol awal itu di sebalik bukan mudah bermain di SSI, Nidzam kesudahannya terpaksa akur dengan kebangkitan Harimau Selatan yang menamatkan perlawanan dengan kemenangan 5-3 dalam aksi dramatik lapan gol.

Selepas gol-gol Jon Irazabal (m-38) dan Joao Figueiredo (m-41) mengikat kedudukan 2-2 dan digandakan oleh Irazabal (m-56) dan Arif Aiman Hanapi (m-58) untuk JDT berkelebihan 4-2, NSFC masih mampu bangkit mengejar menerusi gol Motika (m-60) hanya untuk dikecewakan oleh jaringan saat-saat akhir Bergson.

Buat penyerang kelahiran Brazil itu yang juga pemain naturalisasi terbaru Harimau Malaya, jaringan berkenaan – ke-106 sumbangannya sejak menyertai JDT pada 2021 – menjulangnya untuk berkongsi status penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.

“Terpahat namanya bersendirian di puncak… terbanyak dalam sejarah Liga Super dan kini status itu akan berada bersama dengannya untuk bertahun lamanya. Dan satu gerakan akrobatik untuk meletakkannya di situ…(hantaran) cantik dari (Oscar) Arribas dan kemudian Bergson melibas,” ungkap pengulas siaran langsung Astro Arena, Aiman Roshizam.

Kelayakan Bergson, 34, untuk menyarung jersi Harimau Malaya akan dialu-alukan untuk mengharungi baki pusingan kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos (9 dan 14 Okt), Nepal (18 Nov) dan Vietnam (31 Mac 2026).

Barangkali tidak ramai mengingati bila kali terakhir JDT – pemenang empat piala semusim sejak 2022 – pernah ketinggalan dua gol kepada mana-mana lawan. Ia pernah terjadi ketika mereka berdepan Kelantan hasil gol Mohamad Ghaddar (m-5, 15) untuk kesudahannya menang 3-2 melalui gol Safiq Rahim (m-20), Gabriel Guerra (m-29) dan Gonzalo Cabrera (m-30) di Kota Bharu pada 12 April 2017.

Kemudian, ketinggalan kepada gol-gol Ifedayo Olusegun (m-36) dan Manuel Ott (m-50) ketika berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 26 Ogos 2023, JDT bangkit mendahului 3-2 daripada jaringan Corbin Ong (m-52), Heberty Fernandes (m-56) dan Arif Aiman (m-74) tapi dikecewakan gol penyamaan Amirbek Juraboev (m-90+2).

Di sebalik menaruh keyakinan bahawa barisan bintang-bintangnya mampu bangkit dan tidak akan mengecewakan pada Selasa lalu, ketua jurulatih baharu JDT Xisco Munoz – menggantikan Hector Bidoglio yang menyumbang empat piala musim lalu tapi ditakrif gagal dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) – tidak mahu perkara itu menjadi kebiasaan.

“Kami tidak bermula dengan baik terutama 20 minit pertama dan perkara paling penting kami perlu belajar ialah cara memulakan perlawanan dengan lebih agresif. Kami harus memahami apa yang perlu dilakukan sebaik perlawanan bermula dan lebih agresif dalam permainan supaya perkara sedemikian tidak berulang.

“Dalam perlawanan malam ini (Selasa) kami leka sehingga mudah pasukan lawan menghukum. Pergerakan transisi kepada menyerang perlu diperkemaskan, NSFC nampak kelemahan itu dan mereka guna kesempatan untuk melakukan serangan balas. Saya akui masih ada ruang untuk diperbaiki dan mereka mengajar kami sesuatu yang berguna hari ini,” katanya.

Buat sebuah pasukan dengan reputasi besar seperti JDT, kemenangan tidak terlalu sukar dicari dengan kelebihan barisan pemain dari pelbagai negara dimilikinya. Tapi untuk membenarkan lawan membolosi mereka hingga tiga kali, ia tentunya sesuatu yang mencalarkan ego mereka.

Rakaman video perlawanan itu akan berebut-rebut dijadikan rujukan oleh pasukan-pasukan lawan untuk mereka mengkaji kelompangan di benteng pertahanan Harimau Selatan yang boleh dieksploitasikan. Musim lalu, JDT hanya dibolosi lapan kali dalam 24 perlawanan. Kini selepas hanya dua aksi, mereka sudah bolos tiga kali.

Bangkit daripada kekalahan 0-3 kepada JDT dalam perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah 8 Ogos lalu, Selangor FC pula menunjukkan ia memiliki karakter apabila membenam pendatang baharu DPMM FC 3-0 di Kelana Jaya, terima kasih kepada Kevin Deeromram (2) dan pemain sayap kelahiran Brazil, Chrigor Moraes, atas gol-gol mereka.

Bagaimanapun, kepada ketua jurulatihnya Katsuhito Kinoshi, kemenangan selesa itu masih tidak dapat menutup kelemahan ketara pasukan, khususnya daripada segi ketumpulan penyudah di hadapan gol.

“Kemenangan 3-0 adalah keputusan yang baik tetapi saya agak kecewa kerana kami mempunyai terlalu banyak peluang terbuka yang tidak disempurnakan.

“Sama ada menentang DPMM, pasukan universiti atau JDT, tahap fokus kami mesti sama. Kami perlu sentiasa bersedia untuk melakukan transisi dengan baik, sama ada selepas kekalahan atau kemenangan besar. Itu polisi kami di Selangor,” katanya.

Paling lega ialah ketua jurulatih Terengganu FC Badrul Afzan Razali yang menyaksikan pasukannya bolos kepada dua gol penyerang import PDRM FC Henri Doumbia (m-13, 57) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hanya untuk diselamatkan oleh gol-gol Azam Azmi Murad (m-63) dan sepakan penalti Yann Mabella pada minit terakhir untuk keputusan seri 2-2.

“Kalau kita lihat separuh masa pertama, kita lambat sesuaikan diri dan apabila PDRM menjaringkan gol, barulah kita nak menjaringkan gol. Bagi saya, kita kena belajar daripada perlawanan ini. Orang kata kita ketinggalan dua gol tetapi kita dapat menjaringkan dua gol. Itu satu mata yang berharga buat kita,” katanya.

Dikira antara pasukan yang rugi besar pula ialah Kuala Lumpur City FC. Berkelebihan di tempat sendiri dan mendahului hasil gol sendiri Sabah FC disebabkan kesilapan pertahanan Dane Ingham (m-65), lawan pincang dengan kehilangan Dean Pelekanos gara-gara kad merah selepas 43 minit.

Skuad Sang Badak itu bagaimanapun tidak pulang tangan kosong apabila dapat menyambar jaringan penyamaan 1-1 menerusi Gabriel Peres dalam waktu kecederaan.

Selebihnya aksi minggu kedua menyaksikan Melaka FC, Penang FC, Kelantan The Real Warriors (TRW) dan Imigresen FC meraih mata pertama masing-masing dengan keputusan 1-1.

Di sebalik semua itu, perihal JDT dapat dibolosi hingga tiga gol dalam satu perlawanan liga – julung-julung kalinya selepas dua tahun – akan terus menjadi bahan bualan buat beberapa ketika.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.