
“JDT (Johor Darul Ta’zim) sapu bersih lagi,” kata penganalisis sukan tempatan, Pekan Ramli, di ambang sepak mula musim baharu Liga Malaysia 2025/2026 malam esok. Peminat bola sepak tempatan tidak pun memerlukan bola kristal untuk menilik bagaimana liga akan berkesudahan pada ketika kelab Harimau Selatan itu sudah mengangkat penanda aras saingan terlalu tinggi untuk didekati pasukan lain.
Bukan keterlaluan untuk menyimpulkan barisan pencabar sebenarnya hanya boleh menyasarkan naib juara dalam mana-mana daripada tiga saingan domestik — Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Mungkin dengan sedikit tuah, ada pasukan mampu membuat kejutan dalam aksi piala sambil liga tidak memungkinkan ada kejutan pada penghujungnya.
Bercakap mengenai hak mendabik dada (bragging rights) dalam Liga Malaysia, hanya JDT — hasil perancangan rapi pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, limpahan dana untuk terus memperkasakan pasukan dari tahun ke tahun dan cita-cita ‘Sky Was Never The Limit’ (langit sekalipun tidak pernah jadi garis sempadan) — memilikinya sejak mendominasi saingan bermula 11 tahun lalu.
Malah, Harimau Selatan dijangka menambah koleksi trofinya — sejumlah 30 dalam hitungan terakhir sejak 2014 dengan menjulang Piala Malaysia dalam final mengalahkan Sri Pahang FC 2-1 pada 26 April 2025 — apabila berhadapan dengan Selangor FC dalam aksi pembuka tirai perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok.
Kejayaan mengekalkan Piala Malaysia itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio melakar hatrik ‘quadruple’ apabila sekali lagi menyapu bersih empat trofi termasuk Piala Sultan Ahmad, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut selepas musim 2022 dan 2023.
Menyanggah perang psikologi yang dicetuskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon, bahawa Gergasi Merah semakin merapatkan jurang, Tunku Ismail mencabarnya: “Terangkan kepada saya Johan, bagaimana Selangor merapatkan jurang? Kalau nak tutup kegagalan sendiri pun, janganlah sampai cuba bodohkan penyokong sendiri. Penyokong Selangor berhak dapat lebih baik.”
Ia bukan pun omong kosong kerana TMJ turut menyertakan statistik: 2023 – beza 15 mata (dengan JDT) dalam liga; 2024-25 – beza 28 mata; 2022 – kalah 5-1, seri 1-1, kalah 2-1 dalam final Piala Malaysia; 2023 – kalah 4-0, 4-0 dan 2-0; 2024-25 – kalah 3-0 di tempat sendiri dan 6-1, keputusan terbesar dalam sejarah final Piala FA.
Selain sudah memenangi perlawanan sumbangsih sembilan kali sebelumnya, JDT turut menjuarai Liga Super 11 musim berturut-turut sejak 2014, Piala Malaysia (6) dan Piala FA (5). Kali terakhir mereka alami kekalahan dalam liga ialah 0-1 kepada Terengganu FC hasil jaringan Hakimi Abdullah pada 24 Apr 2021 di Kuala Terengganu — menamatkan rentetan tanpa kalah selama 649 hari sejak Julai 2019.
Malah, Harimau Selatan hanya dua kali mencicirkan mata dalam liga ketika terikat 3-3 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 26 Ogos 2023 dan 1-1 dengan PDRM FC di Selayang pada 1 Ogos 2024 sebagai menyerlahkan penguasaannya dengan rekod tanpa kalah yang hanya mampu dicemburui.
Diutarakan pelbagai pandangan berbeza di sini bagaimana pasukan lawan mengukur kemampuan sendiri dibandingkan dengan JDT sebagai membayangkan jurang semakin melebar sejak kelab Harimau Selatan itu ‘direvolusikan’ oleh Tunku Ismail bermula musim 2013, dengan trofi pertama diraih musim berikutnya apabila menjuarai Liga Super — yang pertama daripada 11 musim berturut-turut.
“Tak mungkin kita dapat menyaingi mereka, jadi anggap saja enam mata liga kita ‘lelong’ kepada JDT. Tak perlu nak pening-pening kerana ada banyak mata lagi yang kita berpeluang raih daripada pasukan-pasukan lain,” kata seorang ketua jurulatih yang enggan dinamakan ketika mengemudi pasukannya pada musim 2023.
Ketua jurulatih Selangor FC musim 2023, Tan Cheng Hoe, yang tidak cenderung bermain ‘park the bus’ (bertahan habis-habisan) ketika berdepan JDT pernah mengungkapkan: “Bermain ‘park the bus’ pun, JDT akan tetap membolosi pintu gol anda. Untuk menang, anda perlu jaringkan gol. Kami juga tidak akan kerugian apa-apa untuk mencuba, jadi kami harus bermain mengikut kemampuan sendiri.”
“Tiada sebab kami harus lelong bila jumpa JDT,” kata ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, menjelang pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia di SSI pada 1 Feb lalu. “Kita pun ada maruah. Kalau boleh kita nak elak kena gol, seboleh-bolehnya nakkan seri.” Pasukannya sekadar tewas 1-2 sebagai keputusan terbaik dicatatkan mana-mana lawan terhadap JDT.
“Apa yang saya ingatkan pemain saya, kita ini bawa (Perodua) Kancil, JDT bawa Ferrari. Seandainya kita nak lawan Ferrari, kita pasti kalah melainkan kita buang tayar dia. Tukar enjin, belum tentu (nanti) takut meletup. Kalau kita kalah dengan JDT 2-0, itu satu penghargaan kepada para pemain saya,” kata ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah selepas pasukannya tunduk kepada JDT di SSI 24 Feb lalu.
“Bola sepak kini ibarat memakai baju bukan ikut saiz sendiri apabila cuba meniru model di luar jangkauan. Kita tak mampu nak ikut standard yang ditetapkan oleh pihak tertentu. Saya harap semua faham. Akhir-akhir ini kita tengok semua negeri mengalami nasib sama sebab kita ikut ketetapan yang bukan atas kemampuan kita. Akhirnya yang jadi mangsa, pemain, pasukan dan peminat,” kata Menteri Besar Kedah Sanusi Nor ketika membuat perbandingan dengan JDT pada 30 April lalu.
Musim ini JDT terus memperkuat pasukan dengan membawa masuk antaranya Nacho Mendez, Jairo, Jon Irazabal, Jonathan Silva, Teto Martin, Hector Hevel, Moussa Sidibe, Joao Figueiredo, Antonio Glauder, Nicolao Cardoso dan Chico Geraldes dengan memanfaatkan sepenuhnya kuota 15 tenaga import yang dibenarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim baharu ini.
Mereka sebagai tambahan kepada Park Jun-heong, Eddy Israfilov, Samu Castillejo, Heberty Fernandes, Bergson da Silva, Romel Morales, Iker Undabarrena dan Oscar Arribas yang ditandatangani sebelumnya — cukup untuk menampilkan senarai pasukan sebagai menggerunkan.
Melebarkan lagi jurang di antara JDT dan pasukan-pasukan lain, ia hanya akan menjurus kepada ketidakseimbangan makin ketara pada ketika lawan hanya mampu mendapatkan kuota minimum tujuh pemain import yang dibenarkan di atas padang pada satu-satu masa dalam perlawanan.
Mengambil pengajaran daripada kekalahan 0-1 di pusingan 16 terakhir kepada Buriram United dalam Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) musim lalu, JDT memilih untuk melengkapkan pasukan lebih awal untuk cabaran berkenaan selain menggalas tanggungjawab tambahan selaku wakil negara dalam Kejohanan Kelab Asean Piala Shopee.
Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan B bersama Bangkok United (Thailand), Nam Dinh (Vietnam), Lion City Sailors (Singapura) dan Svay Rieng (Kemboja), dengan cabaran sulungnya akan bermula dengan berhadapan Lion City Sailors di SSI pada 21 Ogos.
Kesiapsiagaan JDT menghadapi musim baharu dibayangkan oleh tiga menang, dua seri dan dua kalah dalam persiapan pramusimnya di Sepanyol dari 6-19 Julai lalu.
Menang 4-0 ke atas Real Murcia Imperial dalam perlawanan persahabatan pertama, JDT kemudian menundukkan Costa City 1-0 dan kelab Arab Saudi Al-Riyadh SC 1-0, seri 2-2 dengan Cardiff City dan 0-0 dengan Levante UD. Dua kekalahannya ialah masing-masing kepada Valencia Mestalla 0-1 dan Al Rayyan SC dari Qatar 0-1.
Selain Selangor FC, pesaing seperti Kuching City FC dan Terengganu FC turut menyasarkan satu piala sambil rekod lalu menunjukkan aksi Piala FA lebih kerap membawa kekecewaan kepada JDT — tersingkir awal setiap kali dari 2014-2021 sebelum memenanginya tiga kali berturut-turut pada 2022, 2023 dan 2024.
Musim lalu, JDT menunjukkan ia tidak lagi mengetepikan Piala FA sebagai keutamaan apabila membelasah Selangor FC 6-1 dalam final pada 24 Ogos 2024.
Setelah berbelanja besar dengan memburu impian layak ke Piala Dunia Kelab — empat slot diluangkan dari aksi ACLE untuk kejohanan empat tahun sekali itu — JDT tidak dijangka berminat untuk melakukan kebajikan, dengan setiap perlawanan dalam Liga Malaysia akan dimanfaatkannya untuk mengasah taji.
Harus benar andaian penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, dengan melabel JDT dan Selangor FC sebagai ‘supercar’, cuma bezanya JDT Harimau Selatan ibarat Lamborghini yang tidak mampu ditandingi pasukan lain.
Berbalik kepada persoalan tajuk di atas, jawapan saya ialah “Tidak” kerana “Ya” akan dikira satu kecacatan buat Harimau Selatan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.