Politik kebencian di tahap membencikan

Politik kebencian di tahap membencikan

Apa dilakukan ketua penerangan PAS 'hasil' politik kebencian yang partinya sendiri dan sekutunya semai.

Mohsin Abdullah

Apalah agaknya difikirkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari ketika lakukan apa beliau lakukan dua hari lalu. ‘I mean what was he thinking? If he was thinking lah that is’. Dan apa yang beliau harap dapat capai?

Saya bercakap mengenai hantaran media sosial Fahdli. Grafik seekor kambing berebut pisang dengan seekor biri-biri dengan diperhatikan seekor monyet yang bertindak sebagai hakim mengadili perebutan.

Mengiringi grafik ialah kapsyen berbunyi: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

Tidak ada penjelasan lanjut sehingga artikel ini ditulis. Tetapi grafik sudah tidak dapat diakses. Jelas sudah dibawa turun oleh Fadhli sendiri atau pengendali yang membantunya jaga medsos.

Mengapa dilesapkan hantaran? Tersedar sudah salah langkah dan mengundang kemarahan rakyat? Yang pasti si ketua penerangan PAS sudah dibelasah ramai warganet yang menyifatkan ‘posting’ beliau satu ‘serangan’ ke atas PMX berhubung soal gencatan senjata Thailand – Kemboja.

Ramai percaya Fadhli mengibaratkan perdana menteri Thailand dan Kemboja sebagai kambing dan biri-biri. Anwar pula diibaratkan monyet.

“Kalau kamu tak boleh hormat perdana menteri sendiri hormatlah jiran kita. Mereka tak terlibat dalam politik remeh kamu,” kata aktivis media Fathi Aris.

Katanya lagi “awak kena ingat awak tu ketua penerangan parti politik besar. Malangnya it seems he doesn’t think that way.”

Adakah Fadhli marah malah cemburu dengan laporan media seperti ini? ‘Brilliant result: Thailand, Cambodia, US laud Anwar’s role in brokering ceasefire’. Ada banyak laporan senada itu. Lantas Fadhli melakukan serangan sinis?

Yang menghentam beliau melihat Fadhli telah menghina perdana menteri Malaysia, Thailand dan Kemboja dengan menyamakan ketiga tiga pemimpin dengan haiwan. Sekali gus memalukan negara.

Saya setuju dengan pendapat Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh: “Berbeza pendapat dengan fakta bukan dengan emosi yang tidak matang”. Ada lagi katanya dalam menyekolahkan Fadhli. Tidak perlu saya huraikan. Yang berminat sila lihat laman Facebook beliau.

Pada hemat saya apa dilakukan Fadhli ialah ‘hasil’ politik kebencian yang partinya sendiri dan sekutunya semai. Dan kini kebencian sudah susah dikawal. “Our politics has gone very wrong. Too much hatred that blurs one’s perspective on his opponent,” kata Fathi.

Lihatlah doa Qunut Nazilah yang dibaca tempoh hari oleh pemimpin PAS memohon kehancuran Anwar hanya kerana berbeza fahaman politik. Ini bukti politik kebencian pada tahap membencikan. Kali ini grafik binatang pula. Walaupun Fadhli masih membisu, ramai yang boleh baca beliau menghina Anwar dalam soal gencatan senjata Thailand–Kemboja.

Sebenarnya, soal rundingan gencatan senjata bukan pasal Anwar semata-mata. Beliau mewakili Malaysia dan bertindak selaku pengerusi Asean. Kejayaan dicapai dalam memujuk pihak bersengketa laksanakan gencatan senjata mesti dilihat sebagai kejayaan Malaysia dan Asean.

Sebagai rakyat negara ini kita mesti bangga. Tak sayang Anwar malah benci Anwar terpulang. Tetapi sayangilah Malaysia.

Semasa berita mengenai peranan Anwar dalam isu damai konflik Thailand-Kemboja mula disiar ada dalam kalangan ‘Anwar haters’ termasuk yang saya kenal bertindak memperlekehkan beliau. Dan sekali gus memuji Donald Trump semata-mata untuk ‘down play’ peranan Anwar. Ini pun akibat politik kebencian.

Seorang kenalan bertanya menerusi Facebook ‘siapa klentong? Anwar atau Trump?’ lalu merujuk dua laporan berasingan. Satu kata Trump umum Thailand dan Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta berikutan panggilan telefon kepada perdana menteri kedua-dua negara.

Satu lagi laporan kata Thailand dan Kemboja setuju gencatan senjata setelah perdana menteri mereka bercakap dengan Anwar.

Saya huraikan sepintas lalu urutan peristiwa berpandukan fakta dan laporan media antarabangsa dan tempatan.

Apabila serangan tercetus di sempadan Thailand-Kemboja 28 Mei lalu, Anwar sebagai pengerusi Asean menghubungi Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa gencatan senjata dilaksanakan.

Ahad lalu menurut Al Jazeera Trump yang melawat Scotland memberi amaran kepada Thailand dan Kemboja perjanjian perdagangan dengan Washington pada masa akan datang bakal digantung jika konflik bersenjata antara kedua dua negara itu berterusan.

Laporan Al Jazeera 27 Julai lalu menyebut ‘Trump’s ceasefire push fails to stop Thailand – Cambodia border clashes’.

Keesokannya CNA Singapura menyiarkan artikel komentar oleh bekas koresponden luarnya Nirmal Ghosh yang bertajuk: ‘Trump’s call didn’t stop the fighting in Thailand and Cambodia. Can Malaysia do better?’

Pada hari sama iaitu 28 Julai di Putrajaya Anwar mempengerusikan rundingan antara pemimpin Thailand dan Kemboja yang membawa kepada gencatatan senjata. Pencapaian diumumkan Anwar. Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

AS hadir selaku penganjur bersama perbincangan manakala China sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai berkenaan.

Menurut The Star 28 Julai ‘US is grateful for Malaysia’s role in brokering Thai- Cambodia truce’. Bagaimanapun menurut BBC ‘while Malaysia brokered the talks as much credit probably belongs in Washington with President Trump’.

Setiausaha Ahkbar White House Karoline Leavitt pada 28 Julai mendakwa gencatan senjata itu berjaya disebabkan Trump. “Presiden Trump yang menjayakannya. Berikan dia Hadiah Keamanan Nobel,” kata Leavitt di X.

Semalam, Trump menerusi posting di Truth Social menggelarkan dirinya ‘president of peace’.

Penganalisis politik Oh Ei Sun menerusi hantaran di Facebook berkata: “Apabila orang besar sedunia kata pencapaian dia, well, itu pencapaian dia. Period. Jangan pandai-pandai pergi rampas kredit. Nanti baru tahu akibatnya.” Mungkin Oh perli, lawak, sindir. Mungkin ketiga-tiganya. Saya tak tanya.

Hakikatnya Malaysia, Amerika Syarikat, China juga Asean memainkan peranan masing masing. Ini soal menyelamatkan nyawa rakyat Thailand dan Kemboja.

Paling penting sekarang ialah memastikan persetujuan gencatan senjata dihormati seperti dijanjikan dan keamanan berpanjangan dapat dijalin.

Dan politik kebencian pula mesti dinyahkan terus daripada budaya Malaysia.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.