Berdiri teguh atau melutut?

Berdiri teguh atau melutut?

Perubahan mesti dilakukan atas kehendak dan persetujuan rakyat sendiri bukan kerana diugut dan dipaksa kuasa luar.

Mohsin Abdullah

Israel semakin ganas, semakin kejam, semakin buas dan segala macam ‘semakin’ yang boleh dikaitkan dengan perkara tidak baik (baca: kejahatan). Di Gaza ia terus membunuh dengan senjata di samping membiarkan rakyat Palestin kebuluran. Iran, Yemen, Lubnan, Syria diserang juga. Cukup samseng.

Lantas saya kira lebih banyak sebab dan alasan untuk negara menolak influencer kelahiran Australia, Nick Adams, sebagai duta Amerika Syarikat ke Malaysia. Dia calon Donald Trump. Pencalonannya sehingga kini belum dapat pengesahan Dewan Senat AS namun saya kira sang presiden tidak akan mahu hasratnya terbantut meskipun pelbagai pihak di Malaysia membantah keras. Umum tahu memo bantahan sudah diserah parti politik dan NGO kepada kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Trump mahu Adams mengganti Edgard Kagan, career diplomat yang dihantar pentadbiran Joe Biden pada Mei 2023. Si Adams yang berusia 40 tahun dikenali melalui hantaran media sosial yang mempromosi imej peribadi berdasarkan ‘simbol maskulin’ stereotaip, selain buat kenyataan bernada Islamofobia dan menyokong Zionisme. Khairy Jamaluddin tempoh hari mengingatkan kita apa yang Adams suarakan secara terbuka, contoh: “I stand with Israel and prime minister Netanyahu, I stand with Israel not with Islamic terrorists in Iran and Gaza.

Ada lagi katanya: “America should not be accepting any refugees or immigrants who support Hamas and Palestine” dan “we don’t need to be importing terrorist into our country“.

Bagi saya Adams buta atau membutakan diri terhadap keganasan di Gaza, Tebing Barat serta wilayah Timur Tengah, juga siapa pengganas sebenar dan mengapa tindak balas terjadi. Ini masalah besar orang macam ini dihantar sebagai duta ke Malaysia, kata Khairy pada podcast Keluar Sekejap baru-baru ini. Bak dikata tadi bukan beliau seorang yang melihat Adams sebagai masalah. Perlu dinyatakan yang membantah bukan sahaja orang atau kumpulan Melayu — parti dan NGO bukan Melayu turut tidak mahu Adams.

Pencalonan Adams memang hak Trump tetapi Malaysia sebagai negara merdeka ada hak menolak mana-mana calon diplomatik walaupun tanpa menjelaskan sebab, mengikut Perkara 4 Konvensyen Vienna. Khairy dan semua yang membantah mahu Wisma Putra tidak mengeluarkan apa yang dipanggil ‘agreement‘ untuk memberitahu pencalonan Trump ditolak.

Sehingga kini kerajaan belum buat kenyataan rasmi. Apa pun perlu ditegaskan jika Malaysia menolak pencalonan Trump, kita tahu ia akan mencetus kemarahannya lantas we can expect the possibility of retaliation, kerana bak kata Khairy (yang kita pun tahu), Trump seorang pendendam.

Tidak dinafikan ada dalam kalangan rakyat yang tidak senang dengan dasar pro-Palestin dan anti-Israel (padahal semakin banyak negara termasuk pro-Tel Aviv dulu sudah mula mengecam Israel). Ada yang persenda Anwar Ibrahim, yang kata mereka mahu jadi atau eloklah jadi presiden Palestin.

Hakikatnya mereka tidak mahu Malaysia menimbulkan kemarahan Trump sekali gus risk incurring his wrath. Bukan pasal isu Adams sahaja. Lebih daripada itu isu tarif yang dikenakan AS.

Umum tahu 2 April lalu Trump mengumumkan apa yang beliau namakan Liberation Day tariffs ke atas hampir setiap negara di dunia. Malaysia dikenakan tarif 24%. Trump kata boleh runding. Malaysia pun runding diwakili Tengku Zafrul Aziz menteri pelaburan, perdagangan dan industri dengan harapan kadar tarif dikurangkan. Apa yang berlaku sebaliknya. Pada 7 Julai lalu Trump umum tarif import dikenakan ke atas Malaysia ialah 25% — kenaikan 1% daripada tarif sebelumnya bermula 1 Ogos. Malaysia masih ada ruang berunding dan itulah yang Zafrul dan tim sedang lakukan.

Tentunya ramai masih ingat sebaik pengumuman tarif 25% diumumkan AS, orang kuat Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mengkritik keras kerajaan kerana katanya gagal menghalang kenaikan tarif terbaharu AS ke atas barangan Malaysia. Beliau menuntut penjelasan sambil menyifatkan keputusan AS itu adalah kerana kegagalan diplomasi dan rundingan pihak kerajaan. Kritikan atau serangan Wan Saiful tidak mendapat traction. Tidak memeranjatkan. Pada hemat saya beliau was just taking cheap shots at the government.

Jika Wan Saiful berusaha cari maklumat seperti apa yang dilakukan oleh Shahril Hamdan, co-host podcast Keluar Sekejap, beliau akan faham apa yang berlaku.

Kata Shahril beliau baca laporan USTR atau US Trade Representative 2025 yang menggariskan sedikit sebanyak apa yang mereka tidak puas hati terhadap setiap negara. Dalam bab Malaysia jelas dihuraikan subsidi eksport yang Malaysia bagi kepada pengeksport kita. Disebut juga digital trade barriers, dan perlindungan sektor kewangan.

“Kita punya bank komersil tak boleh melebihi 30% pegangan pemilik asing, cawangan baru bank asing tidak boleh dekat dengan bank tempatan. Contoh HSBC, Standard Chartered cawangan baru mereka tak boleh terlalu dekat dengan Maybank dan CIMB untuk mempertahankan dan mendahulukan bank tempatan,” kata Shahril.

Ada juga disebut peranan Jakim dalam pensijilan halal barangan import, perolehan kerajaan, isu Bumiputera dan sebagainya. Itu benda-benda yang AS sendiri sebut. “Ini yang mereka kurang puas hati,” kata Shahril.

Semua yang digariskan AS itu dikuatkuasakan negara kerana bagi Malaysia ia baik dan perlu untuk negara, tetapi itu yang AS tidak suka. Bolehlah difahami apa yang AS mahu.

Shahril buat andaian, “AS minta Malaysia longgarkan benda-benda itu. Ini kita tak buat, Zafrul tak buat, PMX tak buat, dan kalau itu yang berlaku dan kita kena 25% tarif sebab Trump punya world view begitu, its not the worst thing in the world lah. I think we just have to manage.”

Ertinya beliau is OK with that demi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara kerana dunia tak khiamat hanya kerana Malaysia kena 25% tarif.

Saya setuju. Namun saya akui ada juga dasar negara yang tidak disukai sebahagian rakyat, lantas ada yang perlu diubah untuk kesejahteraan dan keadilan setiap rakyat. Bagaimanapun perubahan mesti dilakukan atas kehendak dan persetujuan rakyat sendiri bukan kerana diugut dan dipaksa kuasa luar.

Malangnya ada kalangan rakyat yang mahu negara tunduk pada tuntutan AS supaya kita tidak disusahkan. Namun mana-mana negara yang merdeka dan berdaulat akan mempertahankan dasar sendiri yang ia percaya bagus untuk rakyat.

Jelas Malaysia selama ini mahu lakukannya our way. Teringat lirik lagu nyanyian Frank Sinatra berjudul ‘My Way’:

For what is a man, what has he got?
If not himself, then he has naught
To say the things he truly feels
And not the words of one who kneels

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.