Kontrak mega: Mana pakar di pihak kerajaan?

Kontrak mega: Mana pakar di pihak kerajaan?

'Tiada lagi projek mega,' kata perdana menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Oktober 2024.

rosli khan

Sekali lagi, kita menyaksikan kegagalan yang memalukan negara dalam pelaksanaan dan perolehan kerajaan.

Contoh terbaharu — sistem pagar automatik KLIA bernilai lebih RM1 bilion dan projek penggantian Aerotrain yang diwartakan sebelum ini, sekaligus membongkar kelemahan struktur yang lama wujud dalam cara kerajaan mengurus kontrak teknologi dan prasarana berskala besar.

Ini bukan kerosakan terpencil. Ia gejala kepada kegagalan sistemik yang berulang, menelan berbilion wang rakyat tanpa sebarang tanggungjawab yang nyata atau pembaharuan.

Sistem pakar automatik bernilai lebih RM1 bilion yang gagal disiapkan oleh pembekal terdahulu ditender semula dan diberikan kepada pihak yang rapat dengan kerajaan sekarang.

Dilaksanakan di KLIA dan Tambak Johor-Singapura, sistem ini rosak hanya dalam beberapa hari selepas mula digunakan.

Sistem yang sepatutnya memudahkan proses imigresen gagal menjalankan fungsi asasnya, menyebabkan ribuan penumpang terkandas dan keliru, memberi gambaran buruk kepada pelawat dan negara jiran di selatan.

Ini berlaku selepas kegagalan Aerotrain KLIA, yang menelan belanja hampir RM1 billion juga, rosak selepas sehari sahaja beroperasi secara rasmi.

Apa yang jelas dalam kedua-dua kegagalan ini: sistem diserahkan kepada syarikat swasta dan pembekal luar, tetapi diurus tanpa sebarang kepakaran dalaman sebenar oleh pihak kerajaan.

Jabatan terlibat, termasuk imigresen, agensi kawalan sempadan dan MAHB — nampaknya tidak mempunyai kakitangan teknikal yang benar-benar berkelayakan untuk menilai, menguji atau campur tangan apabila berlaku masalah.

Bagaimana sistem sebesar ini boleh diluluskan untuk digunakan tanpa proses pra-pentauliahan dan ujian menyeluruh? Di mana semak dan imbang dalaman yang sepatutnya memastikan pemantauan rapi?

Masalah asasnya bukan sekadar teknikal, ia soal tadbir urus.

Sistem ini kononnya dikendalikan oleh ‘pakar’ dari pihak pembekal namun sebaik sahaja berlaku kegagalan, kerajaan terpinga-pinga, tidak mampu mendiagnos atau memahami sepenuhnya masalah tanpa merujuk semula kepada pembekal yang sama. Model kebergantungan kepada penswastaan tanpa semakan teknikal dalaman ini adalah bencana yang akan terus berulang.

Coraknya kini terlalu lazim. Kita pernah lihat dalam projek Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM, berbilion dibayar untuk kapal yang tidak pernah belayar. Helikopter untuk TUDM telah ditempah tetapi tidak dihantar. Sistem IT sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dipasang tetapi tidak pernah berfungsi dengan sempurna. Ada pula projek lebuh raya MEX2 yang gagal dilaksanakan kerana tiada pengawasan dan kawalan kewangan yang ketat.

Namun begitu, kerajaan nampaknya terus mengulangi kesilapan yang sama: menganugerahkan kontrak bernilai berbilion tanpa membina keupayaan dalaman untuk memantau, menyelia dan memastikan pembekal bertanggungjawab.

Langkah ke hadapan

Penyelesaiannya tidak rumit, tetapi memerlukan kemahuan politik.

Kerajaan perlu mula mengambil atau setidak-tidaknya melantik pakar teknikal bebas yang boleh mewakili kepentingan awam dalam projek-projek besar seperti ini.

Golongan profesional ini — dikenali sebagai pakar bidang (subject matter experts) — termasuk jurutera, pakar IT dan sistem, pakar trafik, pengangkutan dan pengurus projek, perlu diambil bekerja atau ditempatkan dalam kementerian. Tugas mereka termasuk menyemak reka bentuk sistem, menilai dokumen sebelum tender, mengesahkan kemajuan projek, mengaudit pelaksanaan, dan memastikan sistem diuji sepenuhnya sebelum digunakan oleh orang ramai.

Tanpa semakan teknikal dalaman seperti ini, kerajaan umpama menandatangani cek kosong dan berharap semuanya berjalan lancar. Tiada sebab kenapa pengawasan seperti ini tidak boleh diwujudkan, terutamanya kos melantik pakar bukannya mahal, dan tidak semahal kos kegagalan, kos kerosakan atau kos tambahan untuk pembetulan.

Malah, di negara-negara maju, projek berskala besar wajib menjalani verifikasi sistem oleh pihak ketiga dan audit kualiti bebas sebelum ianya direkabentuk, diluluskan, dibangunkan, dibina dengan sempurna. Namun di Malaysia, langkah ini hampir selalu diketepikan – sama ada kerana kejahilan, keangkuhan, atau lebih buruk, kepentingan tertentu.

Kita perlukan satu mekanisme tetap dan institusi yang bertanggungjawab — mungkin sebuah Unit Pengawasan Teknikal Kerajaan — yang ditugaskan secara eksklusif untuk melindungi kepentingan awam dalam semua projek berskala besar. Sama ada projek pertahanan, prasarana pengangkutan atau sistem digital, unit ini mesti diberi kuasa untuk mempersoal pembekal, menghentikan pelaksanaan yang cacat, dan melapor terus kepada Parlimen atau Ketua Audit Negara.

Selagi dasar seperti ini belum dilaksanakan, rakyat perlu bersedia untuk lebih banyak kegagalan dalam kontrak berbilion ringgit, tanpa sesiapa dipertanggungjawabkan, dan tanpa sebarang pengajaran diambil.

Cukuplah. Sudah tiba masa kerajaan berhenti ‘bermain judi’ dengan projek berbilion ringgit dan mula membina kepakaran teknikal untuk melindungi kepentingan negara.

Sudah tiba juga masa untuk kajian pihak ketiga yang bebas dijalankan terhadap projek-projek besar kerajaan seperti:

  • Projek LRT Pulau Pinang
  • Penyewaan lokomotif dan gerabak dari China
  • Penyewaan helikopter AugustaWestland oleh Kementerian Pertahanan
  • Cadangan MRT3 dan lain-lain.

Memandangkan kerajaan perlu terus berhutang untuk membiayai projek-projek ini, isu ini berkait rapat dengan tahap hutang kerajaan yang telah melepasi angka satu trilion ringgit.

Projek-projek ini berisiko tinggi untuk gagal dan besar kemungkinan akan ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam beberapa tahun akan datang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.