‘Turun Anwar’ sekadar hiburan?

‘Turun Anwar’ sekadar hiburan?

Pembangkang didakwa anjur perhimpunan hanya untuk sedapkan hati penyokong sendiri di sebalik sedar perdana menteri tidak akan letak jawatan.

hishamuddin-aun

Himpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka pada Sabtu nampaknya pantas berubah menjadi permainan angka. Daripada jangkaan asal kehadiran 50,000 orang yang dibuat Perikatan Nasional (PN), kemudian dinaikkan kepada 300,000 orang, sudah ada dalam kalangan pemimpinnya yang meramalkan peningkatan hingga 10 kali ganda kepada 500,000 peserta.

Sebelum ini, dalam mengharapkan kehadiran 3,000-5,000 oang dalam protes ‘Turun Anwar’ di Shah Alam 6 Julai lalu, perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang itu hanya mampu menarik lebih sedikit daripada 300 peserta yang rata-rata dianggap mengecewakan. Timbalan Ketua Pemuda PAS Hanif Jamaluddin memberi alasan protes itu diadakan secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kesedaran ramai terhadap ‘ibu segala perhimpunan’ di ibu negara pada Sabtu yang diharap mereka dapat memberi isyarat jelas dan lantang terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya meletak jawatan.

Barangkali mengambil iktibar daripada jumlah kehadiran kecil di Shah Alam itu, polis menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang di Dataran Merdeka pada lusa, lantas menugaskan hanya 2,000 anggota bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Ia bagaimanapun tidak menggambarkan ketidakyakinan polis terhadap keupayaan pembangkang menggembleng jumlah kehadiran lebih besar kerana dalam apa keadaan sekalipun, pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan jumlah kekuatan mengikut keperluan.

Daripada awalnya menyasarkan 50,000 orang, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden meningkatkan jangkaan kepada 300,00 orang yang didasarkannya kepada maklum balas ahli parti gabungan, NGO, mahasiswa dan juga masyarakat awam yang menyatakan komitmen untuk hadir berhimpun.

“Kita tahu bahawa pada 26 Julai akan ada satu perhimpunan yang akan berlangsung dan ramai rakyat Malaysia dijangka hadir dengan anggaran kehadiran melebihi 300,000 hingga 500,000 orang,” kata Ahli Parlimen Arau dari PN Shahidan Kassim pada sidang media di Parlimen yang menggambarkannya cukup untuk memenuhi beberapa stadium dan melimpah ke jalan raya.

“Kami menuntut dengan harga minyak turun (seperti diumumkan Anwar semalam), semua sekali kos pengeluaran boleh turun dan dengan itu harga barang mesti turun. Kami menuntut supaya harga barang diturunkan dan tangani kos sara hidup rakyat,” tambahnya.

“26 Julai ini rakyat yang rasa nak selamatkan ekonomi negara, selamatkan negara daripada beban hutang yang tinggi, rakyat yang rasa nak selamatkan institusi kehakiman negara, nak selamatkan agensi negara daripada dilihat berat sebelah, nak selamatkan sempadan dan keselamatan negara, kena main peranan laksanakan tanggungjawab kita desak Anwar turun, kembalikan negara ke landasan yang betul semula kerana kita nakkan negara yang lebih baik,” kata Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz pula dalam video TikTok.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil — mendakwa dirinya mewakili Umno asal dan enggan sama sekali dikaitkan dengan UMDAP atau Umno yang bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan — turut tidak mahu ketinggalan.

“Kita turun beramai-ramai jadikan macam ICERD dulu. Isu besar ICERD tu berjuta-juta kita turun di Dataran Merdeka. Sekarang ni isunya lebih kurang atau lebih besar. Dulu isu ICERD tak ada kena-mengena dengan kita punya mata pencarian, dia melibatkan kita punya identiti.

“Sekarang ini isu cukai, isu macam mana kita nak cari makan. Sebab itu kita nak bantah, sebab itu turun beramai-ramai. Ahli Umno, aku tau korang tak bersetuju dengan isu UMDAP ni. Kalau kita tak bertindak lagi teruk keadaan akan jadi. Kali ini kita nak tunjuk biar diorang ni sedar kita tak bersetuju dengan keputusan untuk pergi pilihan raya dengan PH dan DAP. Kita jangan jadi lembik tengkuk macam orang PKR. Biar diorang terbeliak mata tengok yang ahli Umno original pun tak sokong Anwar,” katanya dalam videonya.

Namun, berlawanan dengan berjuta-juta yang didakwanya turun dalam protes ICERD anjuran Umno dan PAS pada 8 Dis 2018 bagi menentang kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad daripada memperakui konvensyen ICERD — bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak Istimewa orang Melayu dan Bumiputera — perangkaan rasmi polis menganggarkan hanya 55,000 menyertainya berbanding sasaran 500,000 orang.

Berlawanan juga dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) Ahmad Yahaya yang menyeru orang ramai menyertai Himpunan Turun Anwar bagi mendesak peletakan jawatan perdana menteri, dengan mengaitkannya sebagai tanggungjawab moral dan agama untuk berdepan pemerintah zalim, seorang pengamat politik tempatan berpandangan bahawa PAS dan Bersatu hanya ‘syok sendiri’.

“Mengapa saya kata awak wajib boikot? Pembangkang tahu Anwar tidak akan turun (disebabkan protes seperti ini). Pembangkang juga tahu bahawa majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat tidak akan tarik sokongan terhadap Anwar. Awak boleh kata itu ini dan macam-macam tapi Anwar tidak akan jatuh disebabkan Ahli Parlimen tarik sokongan kepadanya. Itu tidak akan berlaku,” kata Raggie Jessy Rithaudeen dalam beberapa siri video terbaru.

“Masih ramai yang bersangka bahawa ada 15 hingga 16 wakil rakyat Umno (menentang Presiden Umno Zahid Hamidi) yang bersedia untuk tarik sokongan terhadap Anwar, sebenarnya benda tu dah berubah. Ahli-ahli Parlimen ini nampak bahawa Umno akan berkembang pada PRU16 bila berpaut dengan PH dengan undi Cina dan sokongan Melayu terhadap PN sudah merosot. PN bukanlah sekuat yang mereka gambarkan di media sosial tapi gambaran yang diberikan dengan realiti cukup berbeza. Mereka (Ahli Parlimen Umno) tahu sekalipun ada lima atau enam orang ingin ambil risiko tarik sokongan terhadap Anwar, memang benda ni tak akan berlaku,” tambahnya.

Kata Raggie lagi, pembangkang sedang mengambil kesempatan terhadap ketaasuban dan keterdesakan penyokong mereka khususnya pentaasub PAS dengan menimbulkan persepsi palsu bahawa dengan turun beramai-ramai untuk berhimpun dengan disertai rakyat biasa, Anwar boleh ditumbangkan.

“Maknanya perhimpunan ini bukan ditujukan kepada Ahli Parlimen, bukannya ditujukan kepada Anwar, ia ditujukan kepada penyokong tegar mereka sendiri. Ini jadi ‘hiburan’ kepada penyokong mereka kerana pembangkang juga tahu penyokong tegar PH, penyokong tegar BN dan penyokong atas pagar tidak akan hadir perhimpunan itu. Ia di kalangan mereka sendiri sahaja, jadi ‘hiburan’ kepada penyokong. Sebabnya pembangkang takut akan hilang lebih ramai penyokong mereka pada ketika PRU16 secara rasmi masih lambat lagi,” katanya.

Raggie turut menonjolkan fakta bahawa pembangkang — diukur daripada keputusan PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning — telah gagal dan keciciran semakin ramai penyokong mereka.

Dalam pada PN hendak memberi gambaran bahawa mereka mampu membawa satu gelombang perubahan besar supaya mereka kekal relevan, gabungan pembangkang sebenarnya dalam keadaan kelam-kabut gara-gara ada banyak pergelutan yang mereka tahu rakyat sudah lihat.

“Muhyiddin (Yassin, pengerusi PN) panggil perjumpaan PAS tak ada, kemudian diketahui PAS dengan Bersatu ni retak tunggu nak belah, kemudian semua ni berpunca antaranya disebabkan pergelutan siapa nak jadi perdana menteri antara Bersatu dengan PAS dan di dalam Bersatu sendiri.

“Ini menyebabkan pembangkang tiada hala tuju, kekalutan kemelut ni menyebabkan pembangkang tidak terurus, maka perjuangan mereka tidak ada apa selain tak setuju saja serang kerajaan sampai ada kalanya tersasar teruk, ada kalanya menjurus kepada fitnah, tidak lebih dari itu. Dia tidak ada kemantapan dari sudut perjuangan, tidak ada hala tuju, tidak ada perancangan rapi strategi apakah cara mereka boleh menang, tidak ada.

“Hakikatnya pembangkang sendiri tidak yakin boleh kekal 74 kerusi yang ada pada PRU16. Dalam keterdesakan itu, gambaran dibuat kepada penyokong sendiri sebenarnya yang mereka takut akan tercicir bahawa jika awak turun perhimpunan ini dan gambaran diberikan ramai rakyat akan turun, Anwar boleh ditumbangkan.

“Ini adalah permainan persepsi menunggang keresahan dan ketaasuban penyokong sendiri untuk kepentingan mereka kerana mereka takut hilang penyokong yang ada. Pembangkang kata rakyat dah tolak (kerajaan Madani) dan akan berlaku perubahan besar… sebenarnya tidak,” katanya lagi.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.