Merdeka atau ditawan tarif Amerika

Merdeka atau ditawan tarif Amerika

Meskipun ada permintaan AS itu bakal menguntungkan rakyat jika diketepikan, harus diingat, ia dilakukan untuk membuka jalan kepada penawanan dan penjajahan ekonomi.

faisal tehrani

Satu Ogos akan tiba, bulan kemerdekaan. Satu Ogos juga akan menjadi titik mula, sama ada kita mampu berdiri sendiri untuk merdeka; atau ditawan Amerika Syarikat. Tentunya menjadi tawanan bermakna kita perlu menyerah diri kepada negara pongah dan angkuh tersebut, untuk dibuli dan dikuli. Tarif 25% itu semacam satu bentuk hukuman.

Jika kita ingin melihat dengan sorot pandang Pak Pandir, kita boleh sahaja berbisik, “Andih, bukan kita saja. Jepun dan Korea Selatan pun kena juga, 25%.”

Vietnam memilih untuk menawarkan pengguguran semua tarif terhadap import AS. Ya, Vietnam yang pernah melawan tentera Amerika dari dalam terowong Cu Chi.

Surat daripada Rumah Putih memaklumkan kepada pejabat perdana menteri pada 7 Julai lalu, bahawa Malaysia akan ditampar dengan tarif 25%, naik setangga sebelum rundingan dimulai oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz selaku menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Rundingan tersebut katanya menjadi rumit kerana AS melihat kepada halangan seperti sekatan import ke atas kenderaan bermotor. Dalam hal ini duti import yang tinggi ke atas kenderaan siap bina (sehingga 105%); duti eksais yang dikira dengan cara ‘tidak telus’; permit import (sistem AP) yang menjadi duri dalam daging dalam industri antara yang disebut-sebut oleh AS. Meskipun semua di atas turut menjadi keluhan buat kita rakyat Malaysia, tetapi pengangkatannya semata-mata kerana tunduk terhamba kepada AS bukanlah sesuatu yang bermaruah.

Dalam rundingan tersebut, dikhabarkan AS ikut membangkitkan soal perolehan kerajaan. Dalam hal ini polisi negara yang mengutamakan syarikat milik Bumiputera, pengecualian kepada pembekal asing serta, akses terhad dalam sektor seperti pembinaan, kejuruteraan dan pertahanan ditimbulkan. Sekali lagi ada ‘ya’ dan ‘tidak’ buat kita rakyat untuk senarai di atas.

Hal yang mungkin sesuai untuk diketengahkan dalam rencana ini adalah apabila AS menyuarakan perihal had ke atas pemilikan asing. Dalam hal ini AS mengenakan tarif tinggi kerana terdapatnya had ekuiti asing dalam sektor seperti telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, minyak dan gas. Yang kadangkala dihadkan kepada 30-70%, manakala di beberapa sektor strategik ia masih memerlukan kelulusan kerajaan. Dalam erti kata lain, AS resah dan tidak berpuas hati tidak dapat memasuki ruang ini. Menyerah kepada kehendak AS bererti ada kedaulatan negara menjadi galang-ganti.

Dalam era kebangkitan Selatan, dan kemandirian yang ditunjukkan Iran untuk menundukkan Israel dan AS, poin ini boleh membawa erti kita membiar diri untuk dijajah.

Satu lagi polisi yang menjadi ‘kemarahan’ AS adalah polisi kabotaj bagi pembaikan kabel dasar laut. Ini adalah dengan alasan keperluan pelesenan tempatan melambatkan operasi pembaikan, di mana purata masa kelulusan iaitu 27 hari ketimbang piawaian global 3 hari sahaja. Ini kononnya memberi kesan kepada syarikat internet global seperti Google, dan Meta (Facebook, Instagram), yang mana kita tahu bekerjasama dengan Israel dalam banyak hal.

Satu lagi hal yang nampaknya menjadi kegeraman AS ialah pensijilan halal. AS sakit hati apabila semua daging import (kecuali daging khinzir) dan produk berasaskan haiwan memerlukan pensijilan halal. Rungutan kerana keperluan halal Malaysia lebih terperinci berbanding amalan antarabangsa yang berkaitan.

Semua hal disebut di atas dituntut untuk dilonggar atau digugurkan Malaysia, bagi mengelakkan tarif tinggi. Meskipun ada permintaan AS itu bakal menguntungkan rakyat jika diketepikan, harus diingat, ia dilakukan untuk membuka jalan kepada penawanan dan penjajahan ekonomi yang terang-terangan. Lagipun siapa AS untuk menentukan apa boleh dan apa tidak boleh untuk kita?

Tentu, untuk mengetepikan sama sekali tarif AS ini serasa mustahil. Paling-paling yang boleh dilakukan ialah menurunkan 25% itu ke angka yang lebih rendah berbanding rakan saing kita di Asia Tenggara. Tentu sahaja AS akan menekan kita, tambah-tambah sektor pertanian kita diketahui bakal terjejas oleh tarif ini.

Satu hal yang mesti diketahui juga ialah AS sedang memantau dan mengenakan tarif tinggi terhadap kegiatan transshipments, atau pemindahan muatan, di mana produk tertentu ’disalin rupa dan baju’. AS mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 40% untuk produk begini. Kegiatan transshipments ini sebetulnya adalah nadi perdagangan di rantau kita sejak zaman Srivijaya, dan bukanlah sesuatu yang baharu.

Di tengah-tengah ketidaktentuan ini, AS juga mengancam nafsu Malaysia untuk menyertai blok BRICS. BRICS ialah akronim bagi sekumpulan negara pesat membangun yang terdiri dari Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan yang digerakkan pada 2006. Secara jelas blok ini terlihat sebagai satu ancaman kerana fokus BRICS adalah untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara anggota, demi menyediakan pilihan kepada dominasi Barat (terutamanya AS dan Kesatuan Eropah). Ini termasuklah untuk bebas dalam hal penentuan institusi kewangan global seperti IMF dan Bank Dunia.

Cita-cita BRICS ialah untuk mewujudkan sistem kewangan baharu dengan penubuhan New Development Bank (NDB) di samping menyuburkan pembangunan lestari, pelaburan infrastruktur, dan pembaharuan dalam tadbir urus global secara merdeka. Mutakhir ini BRICS sedang menarik perhatian Mesir, dan Iran; Malaysia masih berada di luar tetapi kini adalah sekutu.

Kegilaan Donald Trump boleh sahaja merebak. Oleh sebab keengganan Malaysia tunduk kepada kehendak AS di atas, dan kedegilan kita untuk menggoda BRICS, Malaysia mungkin dipulau secara ekonomi oleh blok kapitalis AS. Malaysia mungkin kehilangan pelaburan, dan mengalami pengasingan geo-politik. Kita akan dianggap sebagai ‘kawan baik China’, dan penentang AS.

Semua di atas memang sulit ditangani oleh Malaysia. Jika Malaysia tidak dapat membuat pilihan sendiri, maka apakah ertinya kemerdekaan?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.