
Pendapat saya secara peribadi. Amnya saya tidak ada masalah sesiapa turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi. Jika benar yakin dan yakin sebabnya benar lakukanlah. Cuma jangan bikin kacau, jangan merusuh dan jangan provok.
Rata-rata demonstrasi jalanan di negara ini berlaku dengan aman. Sejak sekian lama.Protes Bersih dulu seperti namanya berjalan bersih. Demonstrasi zaman reformasi pun secara keseluruhan aman.
Cuma kata orang ada ‘agent provocateur’ buat angkara untuk beri pendemonstran nama busuk dan imej ganas.
Yang saya tak berkenan, bila sang politikus kata demonstrasi bukan budaya kita semasa dia memerintah tetapi bila tidak memerintah kata demonstrasi adalah hak kebebasan bersuara khususnya bila perhimpunan diadakan menentang musuh politiknya yang sedang memerintah.
Begitu juga jika politikus masa jadi pembangkang demonstrasi ok tetapi bila jadi kerajaan tak ok.
Pada pandangan saya demonstrasi boleh diterima. Sesiapa (yang cukup usia) boleh berdemonstrasi. Hak masing-masing. Cuma ya ada cuma- mereka janganlah berang tak tentu pasal apabila ada orang mengutarakan pendapat yang tidak setuju dengan tindakan mereka.
Pihak yang tak setuju pula janganlah berang tak tentu pasal apabila orang yang berdemonstrasi beri sebab mengapa mereka berdemonstrasi. Walaupun sebab tak masuk akal. Mungkin tak masuk akal buat kita tapi lebih daripada masuk akal untuk dia. Kena ‘agree to disagree’ gamaknya .
Saya tidak setuju dengan langkah Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar yang mengingatkan penjawat awam jangan sertai himpunan yang dijadualkan di ibu negara Sabtu ini.
Beliau tidak sebut secara spesifik tetapi jelas merujuk apa yang dipanggil oleh penganjurnya ‘Himpunan Anwar Turun’.
Saya faham nasihat Shamsul berlandaskan peraturan perkhidmatan awam dan ikrar kesetiaan kepada raja dan negara yang dilafaz penjawat awam setiap hari setiap minggu.
Pada hemat saya penjawat awam tahu akan syarat, terma dan peraturan perkhidmatan serta juga makna ikrar mereka lafaz. Dan saya kira mereka tahu kesan atau ‘consequences’ jika mereka mengingkari peraturan .
Lalu terpulanglah kepada mereka sama ada tidak mahu berdemonstrasi atau berani melanggar peraturan kerja. Itu hak mereka. Tetapi berani buat berani tanggung. Tidak perlulah diperingatkan mereka. Penjawat awam bukan budak sekolah rendah.
Pun begitu gesaan pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek pun saya tak setuju. Beliau menggesa penjawat awam agar jangan endahkan ‘amaran’ Shamsul yang dakwanya ‘tidak sah di sisi undang undang dan tindakan tersesak kerajaan’.
Sama ada sah di sisi undang-undang atau sebaliknya saya tak tahu.Saya bukan pakar perundangan. Biarlah LPL dan peguam kerajaan ‘sort it out’.
Yang saya tak berkenan ialah nada combative Zaid menerusi kenyataan yang dikeluarkannya. Panjang juga. Beliau membelasah KSN dan kerajaan. Tetapi itu bukan isunya.
Yang saya tidak senang ialah kata-kata seperti ini: “Justeru kami menggesa semua penjawat awam agar tidak mengendahkan arahan tidak sah ini. Adalah sah dan wajar untuk penjawat awam menyertai himpunan aman ini sekiranya mereka mahu.”
Dan beliau beri jaminan pihaknya sedia menawarkan bantuan guaman kepada mana-mana penjawat awam dikenakan tindakan kerana menyertai himpunan itu.
Saya rasa ‘its matter of choice of words’. Bukan nak ajar peguam hebat seperti Zaid yang mahir bahasa Inggeris dan Melayu. Namun pendapat saya ialah lebih molek jika Zaid berkata penjawat awam boleh menyertai himpunan itu jika mereka mahu dan pihaknya akan beri bantuan guaman jika penjawat awam dikenakan tindakan.
Pada hemat saya apabila Zaid kata apa yang beliau kata dengan caranya ia seakan mengapi-apikan penjawat awam. Malah beliau sendiri boleh dilihat bagai batu api. Meskipun beliau pasti kata beliau berdiri atas landasan undang undang.
Bagaimanapun yang terpaling tak kena pada pandangan saya ialah tindakan DUPP atau Dewan Ulama PAS Pusat membangkitkan aspek ‘tanggungjawab moral dan agama “ dalam menggesa orang ramai menyertai himpunan Sabtu ini.
Kata Ketuanya Ahmad Yahya menerusi kenyataan semalam: “DUPP menegaskan menjadi tanggungjawab moral dan agama setiap rakyat untuk menyuarakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim”.
Panjang lebar kenyataannya yang saya tidak berhasrat ulangi disini.
Bagi saya ‘tanggungjawab moral dan agama’ dilaksanakan apabila agama dan negara terancam. Terpulanglah kepada rakyat memutuskan sama ada negara dan agama sudah atau sedang terancam. Dan terpulang kepada rakyat percaya atau tidak kerajaan yang ada sekarang ‘zalim’.
Yang tidak saya senangi ialah membawa unsur agama ke dalam retorik politik. Lets be honest its all about politics. Oleh itu tidak baguslah trying to shove such political rhetoric using religion into the throats of the rakyat.
Beralih kepada laporan Malaysiakini semalam mengenai satu video tular di WhatsApp memberi amaran janggal kepada penganut Hindu: Jangan sertai protes Sabtu ini kerana jajaran bintang tidak sesuai”.
Untuk lanjutan sesiapa yang berminat bolehlah baca laporan itu di portal berita Malaysiakini .
Bermain di minda saya adakah ketua setiausaha negara memberi peringatannya yang disebut tadi kerana ada ura-ura penjawat awam mahu menyertai himpunan? Maka difikir perlu mengingatkan mereka akan ikrar dan sebagainya?
Dan adakah gesaan DUPP membawa elemen agama kerana bimbang kecuali ahli PAS dan sekutu, orang ramai (baca rakyat biasa) tidak mahu minta Anwar turun?
Mengenai video jajaran bintang tidak sesuai – tidak wajar saya ulas urusan dan kepercayaan penganut Hindu.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.