Muhyiddin ‘tiru’ Ku Li?

Muhyiddin ‘tiru’ Ku Li?

Muhyiddin Yassin jumpa 11 ketua parti bukan kerajaan juga pembangkang mirip tindakan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990.

Mohsin Abdullah

Untuk menghadapi PRU 1990 Tengku Razaleigh Hamzah membentuk dua gabungan politik. Satu dipanggil Gagasan Rakyat. Satu lagi Angkatan Perpaduan Ummah atau APU. Waktu itu beliau presiden Parti Melayu Semangat 46 yang ditubuhkannya selepas keluar daripada Umno akibat berperang dengan presiden parti Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

Bagi Gagasan Rakyat Tengku Razaleigh mengumpulkan parti politik bukan Melayu seperti DAP, Parti Bersatu Sabah, Malaysia People’s Party, Indian Progressive Party dan Malaysian Solidarity Party. Bagi APU pula beliau membawa masuk antaranya PAS, Hamim, Berjasa dan Parti India Muslim Kimma. Partinya Semangat 46 duduk di dalam kedua- dua gabungan.

Gagasan dan APU diwujudkan untuk menumbangkan Barisan Nasional yang kuat waktu itu. Strategi Tengku Razaleigh mudah. Gagasan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu manakala APU beri tumpuan kawasan Melayu. Jika menang Gagasan dan APU akan bergabung untuk memerintah Malaysia. Dan tentunya Tengku Razaleigh dilantik perdana menteri.

Namun, itu di atas kertas. Gagasan tidak mengukir kejayaan diharapkan. Cuma PBS menang Sabah. APU hanya merampas Kelantan hasil kekuatan PAS (sampai sekarang PAS berkuasa di Kelantan). Parti Tengku Razaleigh sendiri tidak menunjuk prestasi baik meskipun beliau menang Parlimen Gua Musang. Itu cerita lama.

Cerita baru ialah pada 18 Julai lalu kawan lama Tengku Razaleigh semasa sama-sama dalam Umno dulu Muhyiddin Yassin yang kini pengerusi Perikatan Nasional dan presiden Bersatu mengadakan perjumpaan dengan 11 ketua parti bukan kerajaan juga pembangkang.

Parti yang dimaksudkan termasuk Pejuang pimpinan anak Mahathir, Mukhriz dan Putra yang dipimpin Ibrahim Ali ‘loyalist’ Mahathir. Lain parti ialah PSM dan Muda. Juga PPP, Berjasa, Urimai serta Parti Kemajuan Malaysia.

Tujuan pertemuan kata Muhyiddin ialah untuk mendapatkan pandangan dan ‘feedback’ mengenai hasrat menubuhkan sebuah barisan rentas parti. Turut hadir ialah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang juga timbalan presiden Bersatu dan Dominic Lau presiden Gerakan.

Bersatu dan Gerakan kita tahu duduk bersama PAS dalam PN. Oleh itu, saya sifatkan kehadiran Hamzah dan Lau sekadar mengiringi Muhyiddin.

Sepintas lalu, tindakan Muhyiddin mirip tindakan Tengku Razaleigh pada tahun 1990. Tetapi pertemuan yang diatur Muhyiddin membabitkan parti semua bangsa bukan seperti gabungan berasingan aturan Tengku Razaleigh dulu. Namun, jika dilihat parti yang bersama Tengku Razaleigh saya anggap gagah waktu itu berbanding parti yang bertemu Muhyiddin. Hanya PSM dan Muda ada menunjukkan sinar.

Apa pun Muhyiddin mahu membawa semua parti itu menyertai PN untuk wujudkan blok pembangkang yang besar. ‘Obviously with an eye on the next ‘general election’.

Cuma yang aneh atau yang menonjol ialah PAS, parti terbesar dan terkuat dalam PN tidak hadir. Tampil Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata ‘kalau PAS hadir akan memperkuatkan pertemuan itu’. Dan katanya lagi ‘saya rasa PAS akan hadir kalau dijemput’.

Ertinya, PAS tidak dijemput ke? Tampil pula Tuan Ibrahim Tuan Man timbalan presiden PAS berkata ketiadaan pemimpin partinya dalam pertemuan Muhyiddin dengan ketua parti pembangkang disebabkan presiden PAS ada program lain.

“Kebetulan presiden mempunyai program yang telah diterima lebih awal dan tidak dapat dielakkan,” katanya. Maksudnya apa? PAS dijemput tapi tak dapat datang? Kalau begitu mengapa Tuan Ibrahim sendiri tidak hadir? Kan beliau timbalan kepada Hadi? Bagaimana pula Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah – ketiga tiganya naib presiden serta Takiyuddin Hassan – setiausaha agung? Semua mereka nama besar yang ada mandat mewakili presiden dan parti. Adakah mereka juga ada program yang diatur lebih awal, lantas tak dapat datang?

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin semua pandangan yang diperoleh dalam pertemuan itu akan beliau bawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang. Ertinya PAS akan dimaklum kelak kerana PAS ada dalam majlis itu.

Teringat pada 18 Julai lalu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin secara terbuka mengingatkan Bersatu supaya berbincang dengan parti dalam gabungan PN sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.

Dengan berkata ‘parti dalam PN’ beliau pada hemat saya maksudkan partinya. Iyalah bukan banyak pun parti dalam PN.

Menurut Hashim, antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dahulu dengan mereka (baca PAS) ialah calon perdana menteri daripada PN. Katanya, keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin tanpa berunding terlebih dahulu dengan PAS.

Peringatan Hashim disuarakan pada 14 Julai lalu. Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan ketua parti pembangkang empat hari kemudian. Bolehkah dirumus peringatan Hashim tak dihiraukan? Lantas buat dulu baru beritahu PAS?

Bukan rahsia ada pergeseran antara PAS dengan Muhyiddin dan sesetengah pihak dalam Bersatu. PAS mahu Muhyiddin digantikan sebagai pengerusi PN oleh Hamzah. PAS mahu penstrukturan semula PN dilakukan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, dipetik Malaysiakini berkata isu struktur organisasi dibangkitkan PAS bukan sekadar teknikal malah lebih kepada manifestasi awal kepada potensi pergeseran politik antara dua parti komponen teras dalam PN.

“PN wajar segera adakan mesyuarat penuh majlis tertingginya bagi menyelesaikan ketidaktentuan ini secara rasmi dan konsensus,” katanya. Ringkasnya Muhyiddin tidak boleh pandang ringan gesaan PAS.

Tetapi gesaan PAS supaya penstrukturan semula dilakukan dikatakan memberi Hamzah kuasa operasi yang besar. Lantas menjadikan beliau calon perdana menteri daripada PN. Presiden PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia mengekalkan peranan mereka dalam majlis tertinggi sedia ada.

Tentu Muhyiddin melihat itu sebagai ‘turun pangkat’ untuknya. Tentulah beliau tidak setuju. Jelas apa yang beliau cuba lakukan ialah memperkuatkan PN dengan menambah jumlah parti komponen. Lalu beliau tidaklah perlu digantikan oleh Hamzah untuk kekal calon PM daripada PN?

Kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, jika kerjasama dirancang Muhyiddin terjadi PN berpotensi meningkatkan sokongan dalam segmen bukan Melayu. Segmen yang menyaksikan mereka defisit ketara sekarang.

Isunya kata beliau, sejauh mana kecairan sokongan Melayu dan penambahan sokongan bukan Melayu tersebut menambah keuntungan kepada PN? “Untung segantang rugi secupak atau untung secupak rugi segantang?” soal Yusri.

Dan beliau juga bertanya “sejauh mana PAS menerima idea (Muhyiddin) ini?”. Jangan lupa PAS adalah ‘big brother’ dalam PN.

Muda dan PSM mengeluarkan kenyataan selepas mendengar cadangan Muhyiddin ketika pertemuan tempoh hari. Kata PSM ia belum ada keputusan sertai PN. Muda pun kata ia belum putus sertai Barisan Pembangkang Bersatu. Pada pandangan saya ini permulaan tak begitu cun buat Muhyiddin.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.