PAS dengan jawatan PM

PAS dengan jawatan PM

PAS mahu Bersatu jadi wajah PN untuk dipersembahkan kepada setiap lapisan masyarakat, manakala PAS pada hemat saya mahu main peranan di belakang tabir.

Mohsin Abdullah

Seperti dijanjikan pada artikel lalu, penulisan ini akan melihat apa yang disifatkan sebagai perantakan antara dua parti dalam Perikatan Nasional. Istilah ‘perantakan’ digunakan oleh Azlan Zainal daripada Ilham Centre di Facebook beliau.

Sebelum itu, ingin saya bercakap sedikit mengenai apa yang tertera di tajuk penulisan ini. Untuk sekian lama kita tahu PAS bercita-cita mahu memerintah negara ini, sekali gus presidennya memegang jawatan perdana menteri.

Saya percaya secara am PAS, ahli biasa mahupun pemimpin, cukup yakin presiden mereka ada apa yang wajib ada dalam diri seseorang perdana menteri. Bercakap dalam konteks masa kini, mereka yakin Hadi Awang layak jadi perdana menteri. Ini dapatan tinjauan dan perbualan santai dengan orang PAS. Ada yang saya kenal, ada yang tidak kenal secara peribadi.

Namun, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, saya rasa pendapat itu tidak tepat. Bukan salah tetapi tidak betul. PAS, pada hemat saya, masih amat berminat memerintah negara tetapi sedar ia tidak boleh lakukannya bersendirian. Ia tahu ‘rupa bentuk’ parti menakutkan rakyat bukan Melayu bukan Islam. Tanpa sokongan mereka, PAS tahu ia tidak akan menang cukup kerusi untuk memerintah. Pemimpin PAS pernah nyatakan hal ini secara terbuka.

Lalu, PAS sertai Perikatan Nasional — bekerjasama dengan Bersatu dan Gerakan. Ini bagi kelangsungan politik dan melembut atau menyembunyi imej ‘hardliner’ supaya disenangi masyarakat bukan Melayu/bukan Islam. Ia harapkan Bersatu dan Gerakan akan membawa undi bukan Melayu.

Bagaimanapun, Gerakan yang ada ini bukanlah parti Gerakan zaman lalu. Ia sekarang tidak kuat (istilah lembut untuk ‘lemah’). Ertinya, sukar untuk Gerakan menyumbang undi bukan Melayu. Bahkan ia sendiri terkial-kial untuk menang kerusi.
Bersatu pula, yang diharapkan PAS untuk tonjolkan imej toleran terhadap masyarakat bukan Melayu walaupun ia parti nasionalis Melayu, semakin meniru-niru PAS pada segi tingkah laku dan hujah. Kadang kala lebih PAS daripada PAS.

Tidak boleh disalahkan Bersatu mengamalkan taktik sebegitu, kerana itu dan juga menumpang kekuatan PAS telah membawa kejayaan untuknya di peti undi. Apa pun, PAS tidak ada pilihan selain memanfaatkan apa yang ada yakni keakraban dengan Bersatu.

Sudah jadi pengetahuan umum PAS mahu Bersatu jadi wajah PN untuk dipersembahkan kepada setiap lapisan masyarakat, manakala PAS pada hemat saya mahu main peranan di belakang tabir. Ditakdirkan menang pilihan raya dan berjaya bentuk kerajaan, pengerusi PN akan jadi perdana menteri. PAS akur walaupun pemimpin itu bukan presidennya. Walaupun PAS menang lebih banyak kerusi berbanding kerusi yang dimenangi parti sekutu dalam PN.

Itu sebabnya PAS tidak berminat untuk jadi pengerusi PN. Pendapat saya ialah PAS rela pemimpin Bersatu pegang jawatan itu, sekali gus pegang jawatan perdana menteri manakala presiden PAS berada di belakang takhta sebagai kuasa sebenar: The power behind the throne.

Ini bukan sesuatu yang asing untuk mereka. Dalam PAS sendiri ada jawatan presiden dan ada jawatan mursyidul am. Saya tak tahulah sekarang tetapi pada zaman Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, mursyidul am dilihat lebih powerful daripada presiden.

Di Iran, ada presiden, ada juga pemimpin di jawatan lebih tinggi yang dikenali sebagai supreme leader. Presiden Iran sekarang ialah Masoud Pezeshkian. Beliau ketua kerajaan tetapi di atasnya Ayatollah Ali Khamenei. Beliaulah kuasa sebenar. He calls the shots.

Saya kira PAS mahu Hadi berperanan seperti itu. Ini akan menenangkan perasaan orang bukan Islam yang takut seorang berserban dan berjubah jadi PM yang memerintah.

Maka, siapa yang jadi pengerusi PN amat penting bagi PAS. Yang jadi pemimpin PN sekarang (malah sejak PN ditubuhkan) kita tahu ialah Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu.

Namun, ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat PAS mahu Hamzah Zainudin yang sekarang timbalan presiden Bersatu dilantik sebagai pengganti Muhyiddin pada peringkat PN.

Saya tidak ada maklumat mengapa PAS mahukan Hamzah bukannya Azmin Ali yang sekarang setiausaha agung PN. Walaupun Hamzah pernah jadi menteri dalam kerajaan PN dulu, Azmin juga ada pengalaman jadi menteri kanan dan juga jadi menteri besar Selangor. Dalam pentadbiran negeri, menteri besar boleh diibaratkan sebagai perdana menteri peringkat negeri. Bagaimanapun, PAS tidak berkenan dengan Azmin dan ini bukanlah rahsia besar.

Ok, kita bercakap pula pasal apa yang dikata Azlan Zainal yang saya sebut tadi: “Calon PM dari PN masih jadi teka-teki. Antara dua parti dalam PN (yakni PAS dan Bersatu) sedang berantakan, tiada lagi sepakat.”

Menurut Azlan, sebelum ini nama Hamzah dicadang sebagai pengganti Muhyiddin (sebagai pengerusi PN) tetapi dengan syarat misi tebuk atap 2.0 dapat direalisasikan. “Hamzah gagal — jadi Muhyiddin U-turn. Keputusan beliau menyebabkan PAS tak puas hati,” kata Azlan.

Sejak itu, dakwa beliau, berlaku krisis dalaman PN tapi nampak pura-pura seperti bahagia seolah tiada masalah. Percaturan, kata Azlan, terus berlaku terutama dalam Bersatu yang sedar ia tidak punya negeri yang diperintah, tidak seperti PAS, kekal empat yakni Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Azmin dilantik setiausaha agung PN menafikan Takiyuddin Hassan (setiausaha agung PAS) yang katanya telah dipersetujui awal antara PAS dan Bersatu,” menurut Azlan. Selang beberapa hari, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan bendahari PN. Hakikatnya, PAS tidak ada jawatan dalam teraju utama PN.

Saya kira bertambah marah PAS dengan Muhyiddin. PAS, bak kata Azlan, waktu ini cenderung mendokong Hamzah bukan Muhyiddin. Pasti kisahnya belum berakhir. Oh, cantiknya politik.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.