
Seperti bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin, saya turut jadi antara saksi paling dekat ketika pasukan kebangsaan Malaysia berada di kedudukan terendahnya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) — tangga ke-178 pada Mac 2018.
Bertugas membuat liputan bola sepak untuk akhbar Berita Harian sejak 1982 — lama sebelum Hamidin menyertai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebagai setiausaha eksekutif pada 1 Ogos 1995 — jatuh bangun kesebelasan negara sentiasa menjadi tajuk utama akhbar dengan kecenderungan ramai pembaca lebih dahulu menatap muka belakang berbanding muka depan.
Hari ini kedudukan berkenaan sudah banyak meningkat dengan tangga berkenaan menjadi milik Barbados yang ditemani negara bukan gah dengan bola sepaknya seperti Mauritius (176), Montserrat (177) dan Kemboja (180).
Sebagai sebuah negara yang dua kali layak ke Sukan Olimpik — Munich 1972 dan Moscow 1980 yang bagaimanapun diboikot — Malaysia bermula di tangga ke-123 sewaktu ranking dunia Fifa mula diperkenalkan pada Ogos 1993 dan mengambil masa empat tahun untuk mencapai kedudukan tertingginya di tangga ke-87 pada Mei 1997 ketika anak tempatan Wan Jamak Wan Hassan menjadi ketua jurulatihnya.
Kali terakhir Malaysia mengisi kelompok 100 teratas ialah di tangga ke-96 pada 1996 dan sejak itu mengalami turun naik di antara 120-180 dunia ketika gergasi Asia seperti Korea Selatan dan Jepun yang biasa kita tundukkan dalam pusingan kelayakan peringkat Asia mahupun dalam Pestabola Merdeka semakin jauh meninggalkan kita.
Jepun (17) layak tujuh kali ke setiap Piala Dunia sejak 1998 sambil Korea (23) melakukannya 12 kali termasuk 11 edisi berturut-turut sejak 1986.
Selepas penantian panjang selama 19 tahun, kemas kini ranking Fifa pada 10 Julai lalu mengangkat Malaysia ke tangga ke-125 dunia — kali pertama menghampiri kelompok 120 terbaik dunia sejak Mei 2008 ketika pasukan negara dilatih oleh Norizan Bakar.
Ia adalah hasil awal daripada ‘revolusi’ Harimau Malaya diilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang dengan kedatangan tujuh pemain warisan terbaru menyaksikan skuad kebangsaan menundukkan Vietnam 4-0 dalam pusingan kelayakan Piala Asia 10 Jun lalu.
Secara kebetulan sehari selepas kemas kini ranking Fifa itu, dilaporkan bahawa Harimau Malaya dijangka menerima sentuhan pemain warisan kelapan dengan pengesahan pemain tengah kelahiran Sepanyol, Nacho Mendez, 27, yang berdarah warisan daripada datuknya yang berasal dari Pulau Pinang.
Berbanding keriuhan ditimbulkan media dan warganet negara jiran sebelumnya gara-gara pertikaian terhadap keabsahan Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo sebagai berdarah warisan, penjelasan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 5 Julai bagi menjawab persoalan itu nampaknya sudah dapat menjernihkan keadaan.
“Peningkatan berterusan memerlukan usaha menyeluruh. Jika semua pihak bekerjasama dan memberi sokongan penuh, saya percaya tidak mustahil untuk kita menembusi kelompok 100 teratas dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” kata Hamidin ketika ditemui media selepas menerima Anugerah Kepimpinan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada Isnin.
Sebagai rekod, Hamidin pada April 2023 meramalkan Harimau Malaya berpotensi menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia — sesuatu yang kini terbukti tidak pun tersasar.
“Dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Tunku Mahkota Ismail, saya percaya kita berada di landasan tepat untuk terus bergerak ke depan. Cuma kita tidak boleh sesekali bersikap alpa. Kita perlu terus berevolusi dan cari jalan untuk meningkatkan prestasi pasukan, jika tidak kita berisiko merosot semula,” tambah Hamidin yang dilantik presiden kehormat dalam Kongres Luar Biasa FAM, 30 Jun lalu.
Selepas menyaksikan keberkesanan pemain-pemain warisan baharu yang didatangkan, usaha terus memperkuatkan Harimau Malaya tidak akan berhenti setakat ini hingga dilaporkan bahawa FAM sudah mengesan sekurang-kurangnya 37 pemain warisan berdarah Malaysia-Argentina yang sedang melalui proses dikenal pasti keabsahan mereka untuk diserapkan selepas ini.
“Saya terkejut apabila mengetahui terdapat ramainya pemain berdarah warisan di luar negara yang boleh menyarung jersi Harimau Malaya. Namun, ada proses yang perlu dilalui untuk kita meneliti pemain diaspora ini. Mereka perlu memuktamadkan beberapa perkara dan ini adalah prosesnya,” kata ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya Rob Friend menjelaskan kehadiran ramai pemain berstatus warisan dalam skuad negara adalah disebabkan rangkaian dan hubungan yang kukuh dimiliki pengurusan skuad Harimau Malaya ketika ini.
Selain Tunku Mahkota Ismail yang dianggap pencetus dan penggerak utama kepada revolusi pasukan kebangsaan, Friend mengakui hubungan erat dimiliki barisan pengurusan pasukan menjadi nadi penting merekrut tonggak berkenaan yang rata-ratanya disyaratkan tergolong dalam gred A.
“Kemudian kami akan memasuki strategi seterusnya. Kunci atas usaha ini adalah rangkaian yang saya miliki di beberapa liga Eropah. Mereka bukanlah jawapan buat Malaysia tetapi ia akan meningkatkan kekuatan pasukan negara. Mereka akan membawa mentaliti berbeza dan menjadi suntikan buat pemain sedia ada untuk mempamerkan permainan yang lebih baik,” katanya.
Ujian terdekat buat Harimau Malaya ialah penyertaan sebagai pasukan jemputan dalam CAFA Nations Cup 2025 disertai lapan negara di Uzbekistan dan Tajikistan bermula 29 Ogos. Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama-sama Afghanistan, Iran dan Tajikistan. Ujian terbesar pasukan kebangsaan adalah aksi kedua menentang pasukan ke-18 dunia, Iran, pada 1 Sept sebelum berdepan Afghanistan pada Khamis, 4 Sep.
Sasaran terpenting bagaimanapun kekal untuk Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi, dengan aksi kelayakan berbaki ialah pertemuan dengan Laos pada 9 dan14 Okt, Nepal (18 Nov) dan aksi timbal balik di Vietnam pada 31 Mac tahun depan.
Seperti Hamidin yang dikenali seorang yang optimis, saya turut percaya Harimau Malaya akan lambat-laun dapat menembusi kelompok top 100 — cuma diharapkan ia akan berlaku lebih cepat berbanding lambat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.