
Setiap suku kata dalam hujahnya diperhalusi, intonasinya dihakimi sambil bahasa tubuhnya diperinci sebagai tanda Rafizi Ramli kini umpama diletakkan di bawah mikroskop untuk ‘musuh-musuh’ sentiasa mahu mencari kesalahannya agar bekas timbalan presiden PKR itu dapat diadili pada suatu hari.
Seorang ketua cabang PKR di Sarawak mempertahankan bahawa kenyataan bekas menteri ekonomi itu harus dibaca dengan tepat kerana banyak mengandungi kiasan yang sentiasa dinanti untuk dieksploitasi, diputar belit dan dimanfaatkan bagi terus menggambarkan dirinya sebagai seorang pengkhianat parti.
“Kenapalah barisan MPP (Majlis Pimpian Pusat) ni macam budak-budak? Kenapalah kamu orang nak menjawab isu ini sampai nak bercerita bersumpah la? Bila kamu tak faham maksud sesuatu susahlah, kalau kiasan bahasa pun kamu orang tak faham, susah la. Macam mana kamu nak mengurus parti yang besar ni satu Malaysia kalau kamu tak tahu maksud yang Rafizi cakap.
“20 minit yang Rafizi maksudkan Anwar Ibrahim menjerit ni bukan maksudnya dia marah Rafizi. Maksudnya Anwar terpaksa 20 minit bertegang leher untuk nak menyokong isu sistem (pengundian) ni untuk dia nak tidak ada perbalahan sewaktu meyuarat (MPP) itu. Ini benda yang paling ‘simple’ la, macam mana orang di JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) kalau bahasa kiasan, bahasa yang macam ni pun kamu orang tak faham?,” soal ketua cabang Mas Gading, Daniel Jani, dalam siaran TikTok hariannya.
Terdahulu, Rafizi dalam episod ketiga audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ Jumaat lalu menceritakan bagaimana beliau bertegang leher dengan Anwar berhubung aspek teknikal sistem pengundian PKR termasuk kod sumber, pelayan dan penggunaan blockchain yang didakwanya boleh dimanipulasi untuk memberi kelebihan kepada calon tertentu dalam mesyuarat MPP sebelum pemilihan 23 Mei lalu.
Tampil mempertahankan Anwar selaku presiden PKR, dua ahli MPP — Ketua PKR Perlis Noor Amin Ahmad dan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik — yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan berkata versi Rafizi mengenai ‘pergaduhan besar’ itu tidak menggambarkan apa sebenarnya berlaku.
“Siapa yang mengatakan bahawa presiden menjerit memarahinya selama 20 minit dalam mesyuarat tersebut, sama ada beliau menipu, ataupun berhalusinasi atau penghidap skizofrenia yang kronik,” kata Maszlee di Facebook lewat malam Sabtu.
Hairannya hanya dua ahli MPP yang menidakkan perkara itu seolah-olah mereka diarah untuk berbuat demikian — di sebalik Maszlee bertegas majoriti ahli MPP lain dalam mesyuarat itu menjadi saksi — walhal ia seperti tidak masuk akal untuk Rafizi mencipta cerita yang kononnya diada-adakan.
Ambil contoh ketika ditanya sama ada beliau menerima pandangan sebahagian masyarakat yang menamakannya sebagai calon perdana menteri berikut menggantikan Anwar di sebalik kalah pemilihan timbalan presiden PKR, jawapan Rafizi turut mengundang tafsiran berbeza-beza.
“Saya tengok siapa yang sibuk nak jadi perdana menteri atau kena lambung jadi perdana menteri selalunya tak jadi perdana menterilah. Keduanya politik ini sangat sukar dibaca. Kalau zaman 90-an dulu lain kita hanya ada satu parti dalam Umno. Keadaan sekarang sangat berbeza, you boleh jadi perdana menteri hari ini, minggu depan you tak jadi perdana menteri. Ini sebahagian daripada hasil perjuangan reformasi.
“Dari muda, saya nak tengok ada demokrasi kompetitif di Malaysia supaya sebagai rakyat kita nak ahli-ahli politik ni biar dia datang tunduk kat kita dan tunjukkan apa kamu boleh tawarkan dan siapa yang layak biar kami pilih, bukannya aku duduk kat luar tengok dia main politik dalam parti dia tup tup dia jadi perdana menteri, aku tak pilih dia pun. Jadi, benda tu terlalu kompleks.
“Tanya saya la minat saya bukan soal perdana menteri ke, saya tak ada minat sangat kat khidmat awam ni untuk jadi penjawat awam, Ahli Parlimen ke apa semua. Satu sebabnya persoanaliti saya sangat berbeza. Saya mulut longkang orang kata, tak reti bekerjasama dengan orang, keras kepala. Kalau menjadi perdana menteri maksudnya aku kena berubah, tak apalah aku tak payah jadi.
“Bagi sayalah kalau rakyat nakkan calon yang baik untuk jadi perdana menteri, sebenarnya dia bukan soal calon itu, bukan soal aku ke orang lain ke, dia soal rakyat. Rakyat kena faham dan kita kena betul-betul tumpu supaya kita ubah budaya politik dalam negara kita ini. Maksudnya kita boleh menyokong parti ini tapi kita tak boleh 100% jilat hanya kerana dia parti kita.
“Hanya dengan masyarakat menjadi objektif dan kritikal, hanya begitu barulah ada banyak calon yang ada peluang untuk jadi perdana menteri tanpa dia bertukar-tukar kulit dahulu sebab budaya sekarang kena bertukar-tukar kulit, kena cium orang tu cium orang ni barulah kamu boleh jadi perdana menteri.
“Kalau kamu bagus pun, kalau kamu mempertahankan diri sebagai satu ‘substance’, orang kata kamu tak pandai main politik sebab tu kamu tak jadi perdana menteri. Benda tu tak pernah ada dalam ‘horizon’ saya dan saya tiada niat untuk berubah. Kalau contohnya dalam politik orang rasa kamu ni tak sesuai, tak apalah saya akan bawa tenaga dan fokus saya ke tempat lain, ada banyak cara untuk kita berkhidmat dan cari keredaan Allah.
“Kecualilah rakyat, kita kena set budaya dengan betul, maka ia bukan lagi soal calon. Sesiapa saja yang bagus, yang mampu bawa perubahan, maka dia akan ada jalan yang baik untuk naiklah. Itu sebenarnya bagi saya pengakhiran yang baik untuk masyarakat, iaitu anda mahukan seramai boleh bakat tulen yang berpegang kepada kata-kata, bukannya seorang berkerjaya politik yang terpaksa menanti 30 tahun dan sepanjang perjalanannya itu bertukar kiri kanan semata-mata untuk kekal jadi perdana menteri,” katanya.
Mudah untuk menyimpulkan Rafizi tidak berminat pun nak jadi perdana menteri tetapi seperti ditegur oleh Daniel Jani, hujah Ahli Parlimen Pandan itu harus dibaca sebagai sarat dengan kiasan yang makna sebenarnya mungkin berlainan. Pengumumannya pada Selasa bahawa tumpuan baharunya kini ialah membina jaringan perusahaan sosial melalui platform Ayuh Malaysia susulan peletakan jawatannya daripada Kabinet membayangkan beliau mahu kekal relevan dalam arus perdana politik.
“Tumpuan saya kini ialah membina jaringan rakyat melalui perusahaan sosial,” kata Rafizi dalam kenyataan yang mengembalikan nostalgia kepada 2022.
Selepas berundur daripada politik pada 2018 susulan didapati bersalah dalam kes membabitkan skandal National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi — yang tewas kepada Azmin Ali dalam pemilihan timbalan presiden pada 2018 — mengumumkan kempen Ayuh Malaysia pada 15 Mac 2022 untuk kembali bertanding jawatan itu dan kemudian menang ke atas Saifuddin Nasution Ismail.
Sebagaimana Ayuh Malaysia ketika itu yang turut disasarkannya kepada memenangi hati pengundi atas pagar dalam PRU15, kempen terbarunya itu juga bermatlamat yang sama sambil ingin menunjukkan bahawa beliau mungkin tewas dalam pemilihan timbalan presiden 23 Mei lalu tapi belum benar-benar ditundukkan sepenuhnya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.