Air mata Liverpool

Air mata Liverpool

Tragedi demi tragedi melanda kelab bola sepak Inggeris itu tetapi mereka ada semangat atau kemampuan untuk bangkit.

Mohsin Abdullah

Saya bukan penyokong Liverpool FC. Namun oleh kerana sering lepak dengan ramai kawan yang sememangnya peminat dan penyokong tegar kelab bola sepak Inggeris itu, rakan-rakan lain khususnya penyokong Man U ‘cop’ saya penyokong Liverpool. Itu ‘no hal’ buat saya.

Sebenarnya, saya pernah mengagumi pasukan Liverpool zaman Ian Rush dan John Barnes dahulu. Zaman Steven Gerard jadi kapten, saya dah tak minat. Tetapi Liverpool zaman Mohamed Salah dan Diogo Jota saya kagumi.

Seperti yang kita tahu, Jota terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol Khamis lalu bersama adiknya, Andre Silva. Kematiannya mengejut dan menyedihkan dunia, bukan sahaja dunia sukan. Kesedihan yang dirasai Liverpool FC, pemain, pegawai dan penyokong amat menyayat hati. Diberitakan upacara pengebumian Jota dijadual berlangsung hari ini di Portugal, negara asalnya.

Hanya dua minggu lalu Jota mendirikan rumah tangga. Hari yang cukup bahagia buatnya. Sebelum itu, yakni pada Mei, Jota juga bergembira. Bersama rakan-rakan yang dipimpin Arne Slot, Jota meraikan kejayaan Liverpool FC menjadi juara EPL musim 2024/2025. Kejayaan diukir dengan persembahan bergaya sepanjang musim yang menyaksikan kejuaraan disahkan seawal 27 April lagi apabila menewaskan Tottenham Hotspurs di Anfield. Waktu itu, ada empat perlawanan berbaki. Begitu hebat pasukan itu dan Jota memainkan peranan besar.

Bagaimanapun, pada 26 Mei, hari yang sepatutnya penuh kegembiraan dan kebanggaan bertukar ngeri apabila seorang lelaki berusia 53 tahun memandu kenderaan merempuh penyokong Liverpool FC meraikan para pemain yang sedang berarak dengan menaiki bas mengelilingi kota Liverpool. Kira kira 50 orang termasuk kanak-kanak cedera. Jota dan Liverpool dilanda kesedihan.

Itu bukan kali pertama Liverpool FC dicengkam kesedihan. Pada 15 April 1989, perlawanan separuh akhir Piala FA diadakan di stadium Hillsborough di Sheffield – Liverpool bertemu Nottingham Forest. Ribuan penonton membanjiri stadium yang jelas tidak dapat menampung kehadiran begitu ramai penyokong, dengan penyokong Liverpool FC dikatakan lebih ramai.

Dilaporkan komandan polis sewaktu perlawanan, David Duckenfield, mengarahkan pintu keluar C dibuka. Lantas ratusan lagi penonton masuk ke bahagian tengah stadium. Asak mengasak dan himpit menghimpit berlaku. Orang di hadapan didorong beban orang di belakang yang menghimpit. Mereka tersepit antara himpitan manusia dengan pagar penghalang yang mengelilingi padang. Pagar besi ini didirikan sememangnya untuk menghalang penonton menyerbu masuk ke padang. Ia dilihat waktu itu antara aspek keselamatan di stadium merata dunia. Stadium di Malaysia pun ada pagar seperti itu. Setelah apa yang berlaku di Hillsborough, semua stadium di dunia merobohkan pagar penghalang sedemikian .

Himpitan yang berlaku di Hillsborough mengakibatkan 97 terbunuh, 766 cedera, menurut perangkaan rasmi. Majoritinya penyokong Liverpool. Peristiwa hitam itu, yang dikenali sebagai ‘The Hillsborough Disaster’, disifatkan sebagai ‘the deadliest in British sporting history’.

Menurut laporan, daripada jumlah itu, 94 orang terkorban pada hari kejadian, seorang lagi meninggal dunia di hospital beberapa hari kemudian. Pada 1993, seorang lelaki bernama Tony Bland meninggal dunia dan pada 2021, seorang lagi lelaki meninggal dunia. Andrew Devine ialah mangsa korban tragedi Hillsborough yang ke-97. Bland dan Devine dilaporkan mengalami kecederaan otak disebabkan tragedi itu.

Jelas kesan tragedi Hillsborough – secara fizikal, mental dan emosi – dirasai dan berlarutan terutama oleh Liverpool FC. Untuk rekod, dinyatakan perlawanan yang terhenti pada 15 April 1989 diulangi pada 7 Mac 1989 di Old Trafford, dimenangi Liverpool. Pasukan itu meneruskan cabaran merangkul Piala FA musim itu. Liverpool FC mampu bangkit setelah mengalami kesedihan. Semangat atau kemampuan itu ada dalam setiap pasukan kelab itu sehingga kini.

Bagaimanapun, selain kematian dan kecederaan di Hillsborough, turut menyedihkan ialah penyokong Liverpool FC dipersalahkan oleh pelbagai pihak, termasuk media dan polis yang menuduh mereka mencetuskan tragedi. ‘Drunk thugs and hooligans’ antara tuduhan yang dilemparkan.

“Let’s be honest about this – people were against us. We had the media against us, as well as the establishment. Everything was against us. The only people that weren’t against us was our own city. That’s why I am so grateful to my city and so proud of my city. They always believed in us.”

Itu kata-kata Margaret Aspinall, pengerusi kumpulan sokongan keluarga Hillsborough. Anaknya, James yang berusia 18 tahun terbunuh dalam tragedi itu.

‘City’ yang disebut Aspinall tentulah bandaraya Liverpool. Beliau merujuk keputusan ‘second coroner’s hearing’ pada 26 April 2016, antara beberapa ‘hearing’ dan ‘inquiry’ yang dijalankan sejak 1989 hingga 2021, termasuk kes jenayah dan sivil di mahkamah.

David Cameron – ketika itu perdana menteri – dalam reaksinya terhadap keputusan 26 April itu berkata, “All families and survivors now have official confirmation of what they always knew was the case – that the Liverpool fans were utterly blameless in the disaster that unfolded at Hillsborough.”

Beberapa watak termasuk pegawai polis sudah didakwa. Namun belum ada sesiapa yang dihukum. Adakah ini bererti siasatan sudah berakhir? Ini dapatan carian di Google: “No, the Hillsborough tragedy inquiries are not completely over. While the inquests and some criminal investigations have concluded, the fight for justice and accountability continues with a focus on legal and institutional reforms.”

Liverpool FC mengambil lagu nyanyian Gerry and the Pacemakers berjudul ‘You’ll never walk alone’ sebagai ‘anthem’. Lagu ini asal irama ‘musical carousel’ Rodgers and Hammerstein pada 1945. Ramai artis merakamnya semula. Gerry and the Pacemakers yang berasal dari Liverpool berbuat demikian pada 1963 .

Liverpool FC mendedikasikan lagu itu kepada mangsa dan keluarga tragedi Hillsborough dalam usaha mereka mencari keadilan.

Sekarang Liverpool FC bersedih dan bermuram kerana kematian Jota. Namun, pasti mereka tidak bersendirian dalam mengharungi cabaran dan kesedihan. Termasuk orang yang tak pernah suka Liverpool FC – seolah-olah mereka menyanyikan lagu Gerry and the Pacemakers.

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.