
Salah satu kejayaan besar Iran menewaskan Israel dan Amerika Syarikat dalam Perang Dua Belas Hari yang ‘berakhir’ 24 Jun 2025 lalu adalah pastinya; pengkultusan Ayatullah Ali Khamenei ke satu takah yang lebih tinggi iaitu takah atau status kanun yang nampaknya bakal sukar disaingi oleh siapa pun.
Selepas dua belas hari ini, nama Ali Khamenei malah meledak di Barat dalam kalangan Gen Z. Status atau hantaran lama beliau di Twitter, atau kini platform X dikorek kembali dan terapung semula untuk tatapan semua.
Misalnya hantaran media sosial beliau yang meminta para suami memuliakan isteri, minat beliau berkebun, dan kecintaan kepada karya-karya sastera menjadikan Khamenei satu enigma. Di sebalik citra hodoh yang diberikan oleh media Barat, Khamenei kini dilihat sebagai tokoh revolusioner, pemberani, pemimpin agung dunia Islam dan penunduk Zionis.
Inilah manusia tua yang ingin dihapuskan oleh Netanyahu, perdana menteri Israel. Tel Aviv bahkan sangat bercita-cita untuk membunuh Khamenei. Donald Trump pula mulanya memperolok-olokkan Khamenei. Erdogan dari dahulu punya angan-angan untuk memiliki nama sebesar beliau. Media Barat suka meramal dan berteka-teki siapakah penggantinya.
Akan tetapi siapakah Ali Khamenei? Siapakah sosok yang digelar oleh rakyat Iran sebagai ‘rahbar‘ atau pemimpin ulung (dalam bahasa Inggeris, supreme leader) ini?
Dalam dunia Syiah Imamiyyah, Khamenei adalah seorang marja’ dan dalam masa yang sama adalah seorang wali faqih. Apakah maksud terma atau gelar ini?
Sebelum membincangkan konsep yang dinyatakan di atas, ada baiknya untuk mendedahkan profil Ali Khamenei terlebih dahulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1939, dan merupakan anak kedua kepada seorang ulama di Mashhad, Iran, Javad Khamenei. Ketika berusia 18 tahun beliau berangkat ke Najaf, Iraq untuk mempelajari ilmu agama dan menjadi murid kepada Ayatullah Hossein Borujerdi and Ayatullah Ruhollah Khomeini. Terasuh di bawah dua tangan ulama berkaliber ini, Ali Khamenei tumbuh deras.
Dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an, Khamenei mengikuti protes menentang monarki Iran yang diperhambakan oleh Amerika Syarikat, dan ini membawa kepada penangkapan beliau. Setelah Republik Islam Iran didirikan pada tahun 1979, Khamenei dilantik menjadi salah seorang ahli Šūrā-ye enqelāb-e eslāmi iaitu sebuah badan peralihan kerajaan ketika revolusi. Ini diikuti dengan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri pertahanan, dan sebagai pemimpin solat Jumaat di Tehran. Di Iran, pemimpin solat Jumaat mempunyai pengaruh besar.
Selepas Presiden Mohamad Ali Rajaei dibunuh, Khamenei dilantik sebagai penggantinya pada tahun 1982. Beliau terpilih dengan jumlah undi besar.
Khamenei sendiri menjadi sasaran bunuh, mencederakan bahu kanannya menyebabkan kecacatan kekal. Sepanjang karier politiknya, Khamenei diketahui aktif memimpin bala tentera ketika Perang Iran-Iraq antara tahun 1980 sehingga 1988. Bukan itu sahaja beliau adalah komander kepada Islamic Revolutionary Guard Corps, pasukan elit tentera Iran yang bertanggungjawab menumpaskan Iraq.
Ekoran kematian Ayatullah Khomeini pada tahun 1989, Khamenei dilantik oleh Majlis-e Khebregan, atau badan faqih yang dianggotai oleh 88 orang. Badan ini terdiri dari para ulama yang akan diundi pula oleh rakyat.
Majlis-e Khebregan ini akan memilih seorang rahbar, atau pemimpin ulung yang wewenangnya menentukan arah politik negara, mempunyai kuasa mengisytiharkan perang, penyataan damai, pergerakan tentera, sehinggalah kepada mengampunkan pesalah dan banduan dengan saranan ketua hakim negara.
Pemilihan rahbar ini atau wali faqih berasal dari konsep dan gagasan Khomeini mengenai ‘pemimpin agama dan politik yang memimpin negara Iran dan masyarakat Syiah Imamiyah’ sepanjang ketiadaannya Imam Mahdi, iaitu imam akhir zaman yang menurut ajaran Syiah, akan kembali kelak dengan izin Allah.
Perlu difahami, konsep yang dinamai wilayatul faqih ini masih dibincang, dan didebatkan sesuai dengan mazhab ini yang dianggap progresif dalam isu berkait politik Islam (dalam kerangka mazhab Syiah).
Selain menjadi rahbar atau wali faqih, Khamenei juga seorang marja’ atau mujtahid dalam mazhab Syiah Imamiyyah setanding dengan marja’ lain seperti Ayatullah Ali Sistani yang menetap di Najaf, Iraq. Sebagai marja’ beliau pemimpin agama masyarakat Syiah. Dalam erti kata lain, terdapat komuniti Syiah di luar Iran yang memilih untuk mengikuti asas-asas dan idea fikah kontemporari daripada beliau. Kebetulan, Khamenei adalah rahbar, dan juga seorang marja’ yang menjadikan peranan beliau mengatasi politik dan juga agama (fikah).
Ini menjadikan hasrat Zionis untuk membunuh beliau, mempunyai impak dan kesan ganda yang berbahaya. Membunuh Khamenei bukan sahaja bererti membunuh pemimpin agung Iran, tetapi juga membunuh seorang mujtahid atau ulama besar dalam mazhab Syiah yang mempunyai wewenang fatwa. Antara pengikut kepada Khamenei sebagai marja’ adalah pasukan tentera Hezbullah yang berpangkalan di Lubnan.
Membunuh Khamenei juga dengan itu mempunyai risiko untuk membangkitkan masyarakat Syiah yang jumlahnya luar biasa di seluruh dunia, termasuklah di Barat, dan Timur Tengah.
Media Barat yang obses dengan soal wali faqih ini sering mengaitkan jawatan ini sepertinya Pope untuk masyarakat Katolik. Meskipun perbandingan ini tidak sepenuhnya tepat, ia dapat menjadi satu analogi dalam menjelaskan kepentingan Khamenei kepada masyarakat Syiah di seluruh dunia.
Kegilaan dan ketidafahaman kepada konsep-konsep rumit dalam mazhab Syiah ini membawa kepada angan-angan dan teka-teki siapakah yang akan menggantikan beliau sekiranya Khamenei meninggal dunia kelak?
Salah satu nama yang sering disebut di Barat ialah, puteranya Khamenei sendiri iaitu Mojtaba. Khayalan dan tebakan ini menunjukkan bahawa media Barat tidak bersedia dan enggan cuba memahami struktur kuasa dan wewenang komuniti Syiah ini. Apatah lagi Mojtaba masih bertaraf Hujjatul Islam, yang lebih rendah dari tingkatan Ayatullah.
Seperti dinyatakan posisi rahbar ini bukanlah bersifat dinasti, dan akan dikembalikan kepada sejumlah 88 orang ulama besar Syiah yang akan menentukan siapakah wali faqih seterusnya.
Perang Dua Belas Hari yang bermula pada Hari Raya Ghadir (hari pertabalan Saidina Ali sebagai pengganti Rasulullah, iaitu menurut sarwa pandang Syiah Imamiyah) sehinggalah dua hari sebelum Muharam ini; adalah merupakan satu insiden yang besar dan signifikan dalam perkembangan sejarah Syiah, dan juga politik dunia.
2025 adalah tahun yang bersejarah. Belum ada negara yang mengalahkan Zionis dan Amerika serentak. Tidak ada pemimpin Arab dan Turki yang dapat menandingi kehebatan beliau setakat ini. Pesaing terhampir, Erdogan adalah anggota Nato, iaitu pasukan negara-negara blok Amerika Syarikat. Manakala pemimpin Qatar, Arab Saudi, UAE dan lain-lain lagi dianggap menikus dan gagal, khusus dalam isu Gaza, Palestin.
Memang Muharam ini Khamenei kehilangan sebahagian besar panglima perangnya. Ia akan menjadi Muharam yang paling diperkabungi oleh masyarakat Syiah. Namun demikian barang diingat, dalam mazhab Syiah yang memiliki paradigma Karbala, kesyahidan bukanlah pengakhiran; tetapi adalah pemugaran dan pembukaan jalan untuk kemunculan bakat baharu.
Hal ini tentulah mendebarkan kita semua, kerana apa lagi muslihat helah Zionis selepas ini memandangkan kerja melagakan Sunni-Syiah tidak lagi akan berhasil malah kelihatannya Perang Dua Belas Hari ini menjadikan minoriti Syiah sebagai mercu tanda umat Islam secara keseluruhan.
Justeru, hari-hari mencabar menanti kita di hadapan. Hari-hari yang mendebarkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.