
Suatu petang di sebuah restoran. Seorang pak cik di meja sebelah menegur saya yang sedang ralit membelek telefon.
“Kamu kerja apa?”
Saya rasa terkacau. Maklumlah saya sedang menulis artikel. Saya melatih diri menulis di telefon pintar kerana ia mudah di bawa ke mana-mana. Sebab itu saya tak kisah melihat orang lain begitu asyik dengan telefon. Mungkin mereka pun penulis seperti saya yang menulis di mana sahaja sempat. Cuma di dalam tandas saya tak amalkan. Saya bukan seorang yang bersifat ‘multitasking’ – boleh buat beberapa kerja dalam satu masa. Terganggu konsentrasi. Ha! Ha!
“Penulis,” jawab saya ringkas.
“Ah! Janji kau kerja boleh cari makan, ye tak?” kata pak cik itu.
Saya senyum tawar, acuh tak acuh. Bukan nak biadab, cuma kalaulah dia faham betapa khusyuknya kita jika sedang berkarya pasti dia takkan mengganggu. Ini memang cukup difahami oleh setiap pasangan kepada para karyawan, baik si isteri begitu juga suami. Mereka tahu jika pasangan mereka sedang berkarya, kami seakan masuk ke alam lain. Ilham tengah ghairah berkocak jangan diganggu. Kalau ilham berharga terlepas, takkan dapat dah bahagian yang sedap itu. Ia takkan sama sedapnya seperti ilham asal walaupun kita menulis poin yang sama.
“Zaman sekarang ni asalkan ada kerja sudahlah. Boleh cari makan. Boleh tanggung anak-bini,” bebel si pak cik lagi.
Asalkan ada kerja? Tapi saya buat kerja yang saya suka, pak cik. Saya bukan buat sesuatu yang ‘asalkan’. Ada bezanya saya dengan mereka yang buat kerja ‘asalkan’ seperti yang pak cik maksudkan itu.
Agaknya tak ada langsung dalam kamus hidup pak cik ini bahawa menulis ini pun satu karier. Kerja main-main agaknya sebab itulah ketika kita sedang memerah otak menulis, senang-senang sahaja kita diajak berborak kosong.
Tetapi tak bolehlah kita salahkan pak cik tersebut atas kenyataan ‘asalkan ada kerja’ itu. Dia generasi ‘boomers’, budaya dia lain. Itu pandangan kawan saya, Nami, seorang penulis dan novelis yang sering mendakwa dirinya generasi ‘millennial’. Generasi boomers, bagi Nami, mempunyai pemikiran bahawa pekerjaan adalah segalanya dalam kehidupan. Hidup mati adalah kerja, kerja, kerja. Kalau boleh setia dengan tempat kerja. Tidur pun mimpi kerja. Ada kerja ada gaji maka ada masa depan. Ada masa depan bermakna layak bina keluarga.
“Zaman sekarang dah lain terutama Gen Z. Selain bekerja, mereka mahu hidup mereka diimbangi dengan sosial juga. Mereka mahu juga masa mengopi, bercuti dan mengembara. Ada duit pergi tonton konsert, membeli-belah dan bersuka-ria. Tidaklah terikat dengan kerja sahaja sampai nak ambil cuti pun tak berani,” ujarnya lagi lewat tulisan-tulisannya di Facebook.
Memang benar. Sebab itu kita sering terbaca ‘pak cik dan mak cik’ yang menjadi boss dalam sesebuah syarikat merungut melihat budak-budak sekarang banyak songeh ketika memohon kerja.
“Ada cuti tak?” “Eh, saya tak buat kerja yang di luar skop.” “Maaf, saya tak masuk meeting petang ni sebab dah lepas waktu bekerja.”
“Memang mengada-ngada betul! Lembik. Biadab,” marah Mat Zaharan, kawan saya yang duduk di meja sumber manusia di syarikat tempat dia bekerja. Bukan seorang dua malah ramai budak muda sekarang begitu, dakwa Mat Zaharan. Soalnya, benarkah generasi mereka memang lembik atau generasi otai yang melampau keras?
“Aku dulu masa baru kerja, boss suruh pergi kedai beli nasi ayam pun aku pergi, tau?” ungkit Mat Zaharan.
“Iyalah. Zaman ni dah boleh order online,” seloroh saya. Mat Zaharan menggeleng kepala.
Saya boleh simpulkan bahawa perjuangan dan dilema setiap generasi berubah. Pak cik-pak cik yang membebel ini hidup di zaman kena kejar pekerjaan. Ini dipanggil Gen X, yang lebih kurang baya-baya saya. Nak-nak mesti kerja kerajaan, baru terjamin. Ini kerana mereka mendapat tekanan daripada orang tua mereka yang kebanyakannya bekerja sendiri seperti pekebun, petani, tukang kayu dan seumpamanya.
Orang tua mereka, si boomers ini, melalui zaman keras (hard times) dan tak mahu anak mereka jadi seperti mereka. Jadi, sebaik habis sekolah, ibu bapa kepada pak cik-pak cik ini menggesa mereka agar keluar segera dari rumah untuk cari kerja. Rebut peluang cepat sebelum umur meningkat. Jadi peon pun tak mengapa. Asalkan ada kerja. Ha, nampak? Asalkan ada kerja. Melainkan keluarga yang betul-betul mampu sahaja yang hantar anak belajar tinggi. Yang lain, termasuklah saya — harus cari kerja.
Hari ini, Gen X seperti kamilah yang kian menua dan masuk usia pencen. Merekalah yang duduk di kerusi pengarah. Kebanyakan mereka pun dah bermenantu. Seperti orang tua boomers mereka juga dahulu yang mahukan anak-anak lebih baik, mereka juga sama tetapi Gen X lebih stabil dan mampu menyediakan keselesaan untuk anak-anak di rumah berbanding hidup mereka dahulu yang serba daif. Anak-anak pun mesti sekolah lebih tinggi daripada mereka juga.
Cuma, pada masa yang sama mereka juga ada tanggungjawab yang perlu dipikul iaitu membantu ibu bapa mereka tadi memberi duit belanja untuk adik-adik yang masih kecil. Adik-adik Gen X inilah Gen Y atau Millenials. Jadi, ada dua tanggungjawab di situ. Menanggung anak isteri serta menanggung adik-adik.
Dari situ, agaknyalah, si Gen X berasa bengang sebab adik-adik Millennial atau Gen Y mereka dirasakan lebih bertuah dan berpeluang sebab mereka hidup ketika ibu bapa mereka sudah stabil kewangan dan dapat bantuan pula daripada abang dan kakak Gen X. Mereka pun membanding-bandingkan kelasakan hidup mereka dengan adik-adik mereka Gen Y. Dulu jika mahu ambil lesen memandu kenderaan, mereka berusaha berhempas-pulas mencari duit sendiri. Adik-adik mereka senang sebab mak ayah tanggung, kata mereka.
Kini adik-adik Gen Y mereka yang sudah punya ijazah, ada lesen kereta (ditanggung oleh mak ayah), ada pekerjaan yang baik dan telahpun berkeluarga. Bagi abang dan kakak Gen X, adik-adik mereka ini melahirkan anak-anak yang manja lagi lembik sebab semuanya sudah sedia terbentang. Inilah Gen Z. Di ruang tamu sudah ada TV skrin besar, ada gajet model terkini, ada motosikal dan ada kereta.
Gen Z mahu duduk bersenang-lenang selepas tamat SPM pun mak-ayah tak kisah. Sudah dapat ijazah, tak perlu kerja lagi pun tak mengapa. Mak ayah boleh tanggung. Kalau nak minta kerja, cari tempat yang menawarkan gaji serta kemudahan menarik. Kalau tak ada, duduk rumah saja. Tunggu! jangan kerja lagi — pergi sambung ‘master’ pulak. Jangan risau tentang nak kena kahwin. Ini bukan zaman dulu. Hari ini, anak perempuan membujang sampai umur 40 bukan hal yang perlu dirisaukan lagi. Bukan zaman 90-an — umur 26 sudah digelar orang anak dara tua. Anak lelaki lagilah! Pergi berjalan dulu. Kahwin nanti ayah tanggung. Huh!
Perumpamaan kawan saya Nami tadi ibarat muzik. Gen X tak minat muzik seangkatan usianya tetapi lebih minat dengan senior mereka iaitu rock kapak. Millennial atau Gen Y pula pada era belasan sangat meminati angkatan Gen X seperti Butterfingers, KRU dan lain-lain. Selepas Gen Y ini sudah lain. Semuanya serba pantas. K-Pop sudah masuk. Mereka, Gen Z ini ialah generasi selepas Gen Y. Budaya mereka adalah Gen ‘Why’. Generasi yang akan bertanya dan mempersoalkan semula apa yang datang.
Anak saudara saya sendiri, perempuan — baru 21 tahun, kerana sangat akrab dengan saya maka dia berani bertanya kepada saya kalau boleh carikan kerja kosong untuknya. Sebelum ini dia menjalani latihan praktikal di syarikat penerbitan milik kawan saya. Saya yang suruh masuk praktikal di situ. Kini dia sudah mahu bekerja. Ketika bertanya kepada saya, dia siap menggariskan syarat. Tak mahu kerjanya begini dan begitu. Mahu begitu dan begini. Ewah, kau!
Betullah, mereka nampak apa yang mereka mahu sahaja. Inilah yang saya perhatikan. Dari satu segi ia memang betul untuk diri kita tetapi belum tentu ia baik. Atau barangkali ia baik tapi belum tentu betul. Kita perlu terangkan juga begini dan begitu berdasarkan pengalaman yang kita tempuh supaya mereka nampak apa yang mereka tak pernah nampak.
Itulah seperti kata G Michael Hopf dalam novelnya berjudul Those Who Remain (2016), “Hard times create strong men. Strong men create good times. Good times create weak men. And, weak men create hard times.”
Mungkin roda ini akan berputar semula mengikut zaman. Suatu hari nanti Gen Z ini akan berkata kepada anak-cucu mereka, “zaman korang ni senang. Tak susah macam kami dulu…”
Susah? Mereka susah? Kita lagi susah. Tapi, tok nenek kita pun kata kita lebih senang berbanding zaman mereka. Tak ada sudahnya!
“Saya tak buat kerja asalkan buat kerja, pak cik. Saya jadikan hobi sebagai kerja. Apa zaman pun ada saja orang macam saya yang menjadikan hobi dan bakat sebagai mata pencarian. Alhamdulillah, hidup juga macam orang lain,” kata saya kepada pak cik tadi sambil ketawa.
Pak cik seakan tergamam kerana tak semena-mena saya bercakap sedangkan dari tadi ketika dia bercerita panjang tentang kerjaya anak-anak dia saya hanya angguk-angguk sambil mata tetap menghadap skrin telefon. Seperti tak berminat ambil tahu. Tahu-tahu menjawab pula seperti seorang peninju yang bingkas bangun menumbuk selepas terperonyok dibelasah. Takkanlah asyik nak diperlekehkan setiap masa. Sesekali kena pertahankan diri juga!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.