
‘Hiruk dah damai tapi Damai yang akan terus hiruk-pikuk’, demikian tajuk satu hantaran di TikTok merujuk kepada kem Hiruk dikepalai Rafizi Ramli dan kem Damai yang menjulang Nurul Izzah Anwar dalam pertembungan jawatan timbalan presiden PKR 23 Mei lalu. Tapi ia tidak semestinya bermaksud sedemikian kerana keriuhannya tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.
Hiruk singkatan kepada ‘Hidupkan idealisme reformasi dalam ujian kuasa’ manakala Damai pula ‘Dari akar, membina aspirasi inklusif’ tetapi kem yang menang nampaknya damai dengan pencapaian hasil perancangan setahun mereka, sebaliknya Hiruk pula dikatakan enggan beranjak ke depan selepas pemilihan selesai.
Seperti diketahui ramai, puteri sulung perdana menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Izzah, menang besar dengan 9,803 undi ke atas penyandang Rafizi yang meraih 3,866 undi atau sekadar 28.28% daripada sejumlah 13,669 undi yang direkodkan — berbanding 30,000 undi yang sepatutnya tanpa ada sebarang pencerahan hingga hari ini apa apa terjadi kepada undi selebihnya.
Pemilihan didakwa dicemari kelemahan sistem pengundian dalam talian. Rafizi turut mendakwa bahawa keputusan di peringkat bahagian adalah seperti “badan tanpa kepala” disebabkan ramai pemimpin bahagian yang menentang beliau menang walaupun ahli-ahli selebihnya di dalam ‘pasukan’ mereka kalah.
Terdapat 190 bantahan terhadap keputusan pemilihan peringkat bahagian dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesah dan memuktamadkan keputusan pemilihan bagi semua 220 cabang di seluruh negara pada 5 Mei selepas audit luar mendapati tiada penyelewengan berlaku.
“Orang tanya ke mana kau (kem Hiruk) nak pergi sebab benda dah habis, apa yang kau tak sudah-sudah? Kami dah lama ‘move on’, cuma definisi ‘move on’ kami jauh berbeza dengan definisi ‘move on’ kau. ‘Move on’ mereka ialah tutup semua penipuan dan pengkhianatan, nak ditutup rapat bawah karpet.
“Kami pula akan perincikan satu persatu apa yang berlaku (sepanjang pemilihan). Sasarannya bukan ahli parti tapi suara sebenar, tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat Malaysia yang akan jadi penentu dalam PRU16,” kata Faizal Rahman — peguam dan penyokong Rafizi yang kalah dalam pemilihan ketua cabang Kuala Selangor — dalam perkongsian TikTok hariannya.
Dengan Rafizi akan menyambung kembali audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ setiap Jumaat mulai malam esok, Faizal dan beberapa rakan dalam PKR, antaranya pempengaruh Iswardy Morni dan ketua cabang Mas Gading Sarawak, Daniel Jani, akan menghangatkan lagi suasana dengan masing-masing sudah memulakan pengisian Tik Tok #Gelombang dan #Reformasi 2.0 untuk menjadi semak dan imbang kepada kem Damai dan PKR sebagai sebuah parti.
Ia akan menarik untuk diikuti sama ada kem Damai yang lebih banyak berdiam diri selepas pemilihan selesai — tidak diketahui sama ada Izzah sudah menyampaikan bantahannya kepada perdana menteri mengenai lanjutan kontrak Azam Baki sebagai pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) — akan meneruskan pendekatan yang sama atau terdorong untuk bertindak balas terhadap serangan dari pelbagai penjuru ke atas mereka.
“Semasa kita mulakan #Gelombang dan #Reformasi 2.0 ini, mereka kata kami bermimpi. Ya ini mimpi tapi ini adalah mimpi ngeri buat kamu. Sebab masa mereka merancang, mereka sekadar nak menjatuhkan Rafizi. Mereka tak menjangka yang tindak balas dari kami di bawah ini akan jadi begitu hebat.
“Sebab tiga tahun lepas benda yang sama berlaku tapi dalam skala yang kecil, jadi dia kata OK je tak ada siapa yang lawan pun. Mereka ingat kali ini perkara yang sama berlaku. Bila mereka ambil mudah, meraka berasa semuanya bodoh-bodoh belaka, tiba-tiba satu gelombang yang sangat besar berlaku. Ini sebenarnya bukan kebetulan, bezanya pada tahun ini orang bersuara dan orang mendedahkan dan orang melawan,” kata Faizal.
Rafizi yang melepaskan jawatan menteri ekonomi bermula kelmarin berkata beliau kini boleh tampil lebih lantang kerana tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan, dengan tumpuannya untuk menjawab pelbagai tohmahan serta isu yang melibatkan dirinya menerusi platform ‘Yang Berhenti Menteri’.
“Insya-Allah, saya akan imbangkan ulasan YBM — bakar pun ada, beri pencerahan pun ada. Yang penting, mestilah objektif, berfakta dan memberi pemahaman yang adil kepada semua. Saya sekarang tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan. Jadi saya bebas bersuara,” katanya melalui Facebook dengan pengumumannya itu mencetus keterujaan dalam kalangan pengikutnya yang tidak sabar menantikan kemunculannya.
James Chin dari Universiti Tasmania berpandangan bahawa Rafizi kini berada di tempat yang kukuh secara politik dan mempunyai dua pilihan — tinggalkan PKR dan sertai parti lain atau kembali kepada reputasinya sebagai jaguh reformasi atau jaguh formula dan berusaha membina sokongan kepadanya semula.
“Hakikat bahawa beliau dedahkan bahawa Nurul Izzah menawarkannya jawatan timbalan presiden secara lantikan membayangkan PKR memahami yang beliau perlu dikekalkan dalam parti. Fakta bahawa beliau tewas dengan margin besar mencadangkan kepada anda apa yang telah dilakukan presiden kepada parti,” katanya.
Chin turut melihat Rafizi penting kepada PKR kerana auranya menjadi tarikan kepada demografi tertentu dalam parti itu dan masyarakat amnya kerana dilihat sebagai seorang yang rasional dan menghindarkan diri daripada politik ras.
“Jadi, dia melambangkan idea reformasi PKR dari asalnya parti ini diasaskan untuk membina satu jenis politik baru buat Malaysia. Walaupun memiliki reputasi sebagai seorang yang sangat sukar, Rafizi tertonjol sebagai seseorang yang diperlukan dalam sistem politik negara,” tambahnya.
Persoalannya sejauh mana Rafizi mampu menjaga batas pertuturannya dalam audio siarnya yang akan mula ke udara malam esok?
Faizal tampil dengan jawapannya: “Kalaulah Rafizi diambil tindakan, kau tengoklah (pempengaruh) PAS dah boleh gantung akaun masing-masing, senang hidup diorang. Memang sah PKR ni akan melingkup semua sekali dalam PRU16.
“Bukan atas dasar beliau besar kepala, bukan… sebab naratif yang dibawa ialah beliau menjadi mangsa atas percaturan pemilihan PKR itu sangat-sangat jelas dan orang sekarang ni meragui kemenangan korang (team Damai). Jadi, kenapa nak tambahkan duka-lara tu lagi, itu cerita dia.”
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.