
MCA melenting apabila Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan tempoh hari mencadangkan parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan kerana sering menyerang kerajaan Madani dengan inaccurate and half-baked facts.
Sama ada guna fakta tidak betul serta separuh masak atau tidak, yang pasti sememangnya MCA gemar mengkritik (baca: menghentam) kerajaan atas alasan bertindak bagai ‘watch dog‘ yang menegur dan melakukan check and balance ke atas kerajaan.
Cuma hakikatnya, pada hemat saya, MCA tidak senang musuh ketatnya DAP duduk selesa dalam kerajaan apa lagi pemimpin tertinggi MCA tidak dipilih untuk menganggotai Jemaah Menteri, juga tidak diberi tempat dan peranan dalam pentadbiran tidak seperti pada pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob dulu.
Bagaimanapun apabila MCA menyerang kerajaan perpaduan ia secara sedar atau tidak, secara langsung atau sebaliknya, ia turut menyerang Umno rakannya dalam BN yang berada dalam pentadbiran PMX.
Oleh itu saya setuju dengan saranan Syahredzan bahawa elok MCA tinggalkan kerajaan jika ia tidak sehaluan dengan pemerintah, malah bagi saya molek juga tinggalkan BN atas dasar prinsip yang pernah saya tulis sebelum ini yakni the right thing to do based on principle.
Tetapi mungkinkah jika MCA tinggalkan kerajaan sekali gus ia keluar atau terkeluar daripada BN? Secara automatik?
Menurut laporan The Vibes 14 Jun lalu yang memetik akhbar Singapura The Straits Times, Presiden MCA Wee Ka Siong beritahu pemimpin tertinggi partinya untuk menggunakan mesyuarat bahagian yang bermula 1 Jun lalu untuk mencadangkan sama ada MCA harus kekal bersama BN dan atas apa pula syaratnya jika kekal. Dikatakan MCA ada 191 bahagian di seluruh negara. Sejak kebelakangan ini kalangan pemimpin dan akar umbi MCA semakin tidak berpuas hati kerana mereka menyifatkan parti semakin dipinggirkan oleh Umno yang menjadi tulang belakang BN.
Mahu tinggalkan BN bukan perkara baru buat MCA (malah MIC juga). Kedua-dua parti pernah berhasrat berbuat demikian apabila BN tumbang dan hilang kuasa pada PRU 2018 tetapi akhirnya memilih untuk kekal bersama BN hinggalah ke hari ini. Namun kali ini nampak ada beza.
Pada 12 Jun lalu MCA Alor Star dalam mesyuarat perwakilannya memutuskan untuk menggesa kepimpinan MCA pusat berundur daripada BN dan kerajaan Madani. Sehingga artikel ini ditulis tidak ada lagi bahagian MCA yang mengambil keputusan serupa.
Katalah MCA benar-benar tinggalkan BN, apa langkah seterusnya demi kelangsungan politiknya? Mungkin satu pilihan ialah menyertai Perikatan Nasional. Saya rasa PN akan mengalu-alukan untuk mendapat wajah kepelbagaian. Namun dalam PN sudah ada Gerakan rakan setia gabungan itu selama ini.
PN masih dilihat sebagai gabungan Melayu walaupun Gerakan parti berbilang kaum dengan majoriti Cina. Apa agaknya akan Gerakan kata jika MCA diterima masuk PN? Bukanlah rahsia there is no love lost between MCA and Gerakan.
Apa pun MCA mungkin (seperti Gerakan) boleh melupakan ketidaksenangan mereka terhadap PAS yang merupakan parti utama dalam PN. Namun bolehkah MCA diterima pengundi Cina? Dalam BN pun kejayaannya banyak dicipta dengan sokongan pengundi Melayu tetapi orang Melayu sudah menoleh muka sejak PRU 2008.
Lantas persoalan penting apa nilai tambahan yang boleh MCA bawa kepada PN?
Satu lagi opsyen ialah MCA membentuk gabungan baru bersama beberapa parti kecil sedia ada. Persoalannya will it work? Bolehkah mencipta kejayaan di peti undi? Pada pendapat saya tidak.
Kata seorang bekas wartawan yang banyak membuat liputan mengenai MCA suatu masa dulu, jika parti itu tinggalkan BN “pergi pun tak kurang, ada pun tak lebih”. Katanya lagi:
“The writing is on the wall. The days of getting a free ride from the Malays, Indians and Chinese voters are long gone.”
Saya setuju. Sebenarnya MCA sudah lama hilang sokongan masyarakat Cina yang mereka dakwa mereka wakili. Berdasarkan itu semua jujur saya katakan MCA tidak berani tinggalkan BN. Ramai penganalisis dan pemerhati politik tidak yakin MCA bertindak keluar BN kerana secara bersendirian akan membawa padah.
Berkata Puad Zarkashi, ahli majlis kerja tertinggi Umno:
“Sudah tentu Umno mahu MCA kekal dalam BN. Tetapi jika MCA memilih untuk keluar, maka ia benar-benar sedang menggali kuburnya sendiri.”
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.