
“Mereka (pemain warisan berpangkalan di luar negara) melakukan perjalanan 40 jam dan mengorbankan percutian (selepas berakhir musim liga di luar negara) untuk berada di sini. Perkara utama di sini ialah mereka semuanya rakyat Malaysia,” kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
“Semuanya sudah bersedia untuk melakukan apa yang diharapkan daripada mereka – melaksanakan tugas sebagai anggota pasukan untuk dapatkan kemenangan dan menghantar pulang penyokong dengan senyuman.
“Ada rasa kekeluargaan dalam kalangan mereka. Apabila anda bermain untuk keluarga, anda bermain untuk saling membantu (tidak kira asal dari mana). Jadi, kita boleh jadi kuasa yang sukar dihalang,” tambah jurulatih berbangsa Australia itu menjelang perlawanan menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kata-kata Cklamovski itu seakan-akan mengulangi hujah ketua pasukan Matthew Davies menjelang pertemuan dengan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) 26 Mac lalu: “Sama ada pemain warisan atau naturalisasi, apabila menyarung jersi Malaysia, mereka adalah pemain Malaysia. Baik pemain muda dari Kuala Lumpur atau pemain warisan dari Sepanyol, kita perlu menilai mereka secara saksama.”
Cuma, berbeza dengan hanya Hector Hevel sebagai satu-satunya pemain warisan terbaru yang ditampilkan dalam kemenangan 2-0 ketika itu, Cklamovski kini memiliki tambahan tujuh lagi – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Jefte Betancor – dalam fasa terbaru ‘revolusi’ Harimau Malaya ini.
Andai direnungkan semula, harus ramai yang mentertawakan apabila tiga pemain warisan terawal yang disasarkan Malaysia – Ferdy Druijf dan Iggy Houben, kedua-duanya kelahiran Belanda dan bekas pemain Newcastle United Isaac Hayden – semuanya menafikan memiliki pertalian darah dengan Malaysia pada Mac lalu.
Menyangkal persepsi negatif penyokong di media sosial susulan perkhabaran itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya bersabar dan tidak terlalu terburu-buru menghebohkan perkara yang belum pasti.
“Di Johor, kami buat kerja tak perlu heboh-heboh, ‘hype’ sampai ke langit, beri harapan palsu dan akhirnya tiada apa-apa. Cara kami di Johor, tindakan lebih utama daripada kata-kata. Kami tidak bercakap tetapi realisasikannya. Apabila kami bercakap, kami akan buktikan.
“Dah bertahun-tahun kami buktikan setiap benda yang diumumkan akan dilaksanakan dan menjadi realiti. Tetapi tak semua orang faham dan tak perlu kita salahkan mereka (sebab) mereka tak biasa. Dion Cools, Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkin, Corbin Ong, Endrick Dos Santos, Romel Morales…tahu-tahu dah jadi (pemain warisan),” katanya.
Diam tak diam sejak projek ‘revolusi’ Harimau Malaya ini dicetuskan oleh TMJ pada Disember lalu, rancangan mendapatkan pemain warisan dari luar negara dilabel ‘gred A’ semakin menjadi realiti hingga Cklamovski sendiri mengakui pemilihan 23 pemain untuk aksi malam ini daripada senarai 30 pemain terpilih – termasuk 12 anak tempatan – menghadirkan tugas paling sukar buatnya.
“Setiap seorang pemain ini telah memberi inspirasi kepada saya selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Saya sangat suka bekerja dengan pemain-pemain ini, tapi sebilangan mereka akan tercicir (untuk berdepan Vietnam). Namun, penting untuk mereka mengetahui mereka telah menyumbang kepada prestasi pasukan.
“Tapi, apa yang sedang kami bina melebihi daripada satu perlawanan penting (malam ini). Kami sedang membina sebuah pasukan kebangsaan untuk melakukan sesuatu yang istimewa di masa depan. Mungkin sesetengah orang menghormati projek ini dan mungkin sesetengah yang lain menentangnya.
“Perlu diingat bahawa kami sedang membina sesuatu yang istimewa untuk jangka panjang. Untuk malam esok kami perlukan semua pemain yang diturunkan memberi terbaik dan sokongan penuh penyokong Malaysia,” katanya.
Cklamovski turut berkongsi pertikaian sesetengah pihak terutama dari luar negara terhadap status pemain warisan baharu Harimau Malaya – mendakwa pemain-pemain ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Malaysia hingga ada meminta agar Fifa menyiasat status mereka – tidak menjejaskan fokus pasukan ketika ini.
“Ia tidak mengganggu kami secara dalaman. Kami sudah membuat persiapan yang bagus dan kami ada pemain baharu yang tiba dari luar negara dan mereka merupakan rakyat Malaysia. Mereka datang dengan rasa bangga (sebagai rakyat Malaysia) dan anda boleh lihat betapa bangganya mereka setiap kali turun berlatih dan membina suasana kekeluargaan dalam skuad kebangsaan.
“Kami tidak sabar menunjukkannya pada malam esok. Sebagai gangguan, mungkin ia gangguan kepada anda semua (media). Kami seronok membicarakannya dan fokus menjadi satu pasukan yang kuat. Itu yang kami lakukan setiap hari,” tambahnya.
Dalam menghormati cabaran Vietnam yang dianggapnya memiliki mentaliti yang kuat dan semangat juang tinggi selaku pasukan di tangga ke-109 dunia, berbanding 131 di pihak Malaysia, jurulatih itu mengingatkan agar keupayaan Harimau Malaya tidak dipandang rendah.
“Mungkin juga sebilangan rakyat Malaysia sendiri merendah-rendahkan apa maknanya projek Harimau Malaya ini buat kami. Dan kami akan gunakan itu sebagai satu lagi cabaran untuk mengubah sedikit sejarah dan mungkin juga mengubah pemikiran peminat bola sepak di negara ini. Malam esok amat penting untuk menyempurnakan satu tugas,” katanya lagi.
Cklamovski tidak pun perlu diingatkan bahawa bagaimana penyokong Malaysia akan menilai kejayaan ‘revolusi’ Harimau Malaya akan bergantung kepada keputusan malam ini – Vietnam yang tidak pernah tewas kepada kita selama 11 tahun perlu ditundukkan.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.