Harimau Malaya salin kulit

Harimau Malaya salin kulit

Tidak timbul soal pasukan menipu untuk dapatkan pemain berdarah warisan seperti dicemburui lawan.

hishamuddin-aun

“Pemain naturalisasi Indonesia berdarah Indonesia. Beda dengan negara-negara lain, mereka melakukan naturalisasi enggak ada darahnya mereka. Kalau kita jelas ada darah kita, itu yang patut kita bangga,” kata Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir.

“Jadi kalau tim nasional lain berkata-kata mengenai Indonesia, biarkan aja. Mestinya mereka yang lebih malu. Kenapa? Mereka menaturalisasi pemain-pemain yang tidak ada darah mereka. Kalau kita ada darah kita gitu. Iya kan,” katanya dalam video TikTok dikongsikan Novamahendra28 yang tular beberapa hari lalu.

Sesetengah komen di bawah video berkenaan mengandaikan Erick menyindir Malaysia yang baru mendapatkan beberapa pemain warisan dilabel gred A menjelang aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Itu tak berkemungkinan kerana semua orang tahu Erick dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim – figura yang mengasas dan menggerakkan ‘revolusi’ Harimau Malaya – bersahabat baik dan berkongsi wawasan untuk meningkatkan mutu pasukan-pasukan Asean, tidak terkecuali dengan menaturalisasi pemain asing selain menjejaki pemain berdarah warisan yang beraksi di luar negara.

Indonesia yang Februari lalu mengumumkan tambahan tiga lagi pemain warisan – bekas penjaga gol Juventus Emil Audero Mulyadi, produk akademi Ajax Amsterdam Dean Ruben James dan bekas pemain muda Belanda Joey Pelupessy – sah mara ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas China di Jakarta pada Khamis.

Sang Garuda satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang tinggal untuk hampir layak ke Piala Dunia 2026 yang meluangkan 48 slot dalam pusingan akhir yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, maka tidak salah untuk Malaysia menyusuri langkah serupa untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Harimau Malaya pula akan memperagakan enam lagi pemain berdarah warisan – Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Jefte Betancor – sebagai tambahan kepada Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang diperkenalkan Mac lalu.

Machuca, Garces dan Holgado lahir di Argentina, Figueiredo berasal dari Brazil, Irazabal, Betancor dan Palmero pula kelahiran Sepanyol, manakala Hevel berasal dari Belanda.

Daripada temu bual media tempatan, tonggak kelab Sabah FK di Azerbaijan, Irazabal menyatakan beliau memiliki susur galur menerusi datuknya yang berasal dari Malaysia, Hevel mengesahkan datuknya berasal dari Melaka, manakala media Argentina, radiogoal.com, melaporkan Garces mempunyai hubungan dengan Malaysia melalui neneknya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial barisan kemungkinan kesebelasan Harimau Malaya yang membariskan Syihan Hazmi Mohamed (penjaga gol), Dion Cools, Garces, Irazabal dan Palmero (pertahanan), Hevel, Nooa Laine, Endrick Dos Santos (tengah), serta Machuca, Holgado dan Betancor (serangan). Tiada tempat terluang buat Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2024/2025, Arif Aiman Hanapi.

Sedemikian drastiknya Harimau Malaya akan bersalin kulit hingga satu hantaran Indonesian Football News di laman Facebook menyatakan ramai penyokong termasuk dari Indonesia, Vietnam dan Thailand mempersoalkan keabsahan susur galur dan salasilah pemain terbabit yang menjadi pemain berdarah warisan baharu buat skuad bimbingan Peter Cklamovski.

Penyokong Asean turut menuntut Fifa melakukan siasatan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan rata-rata mereka dikatakan tidak percaya pemain yang dipanggil FAM memiliki darah keturunan dengan rakyat Malaysia apatah lagi selepas mereka tampil dari benua Amerika Selatan.

“Saya percaya 100% tidak ada satu pun pemain Argentina ini memiliki datuk ataupun nenek Malaysia atau berlatar belakang Malaysia. Mereka sedang membeli pemain, pasti Fifa akan melarang mereka jika menerima bantahan negara Asean,” ciap seorang pengguna X.

Namun, dakwaan sedemikian seperti tidak masuk akal kerana FAM tentunya tidak akan mengambil risiko digantung andai didapati pemain berkenaan tidak mempunyai pertalian darah warisan dengan Malaysia.

Sebagai rekod, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2017 menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen kewarganegaraan pemain Timor Leste.

Siasatan Jawatankuasa Disiplin AFC mendapati 12 pemain kelahiran Brazil didaftarkan dengan sijil kelahiran dan pembaptisan palsu untuk beraksi bersama pasukan Timor Leste dalam pelbagai perlawanan bola sepak. De Araujo digantung daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama tiga tahun dan didenda USD9,000.

Peminat tempatan pula berbelah-bahagi dengan kemasukan ramai pemain warisan baharu – kebanyakannya khuatir ia akan menutup peluang pemain tempatan – tetapi lebih 30,000 tiket perlawanan Malaysia-Vietnam yang sudah terjual setakat kelmarin membayangkan keterujaan ramai terhadap projek Harimau Malaya ini.

“Semua tahu Tunku Mahkota Ismail memiliki rangkaian dan hubungan cukup erat dengan pemain industri bola sepak dari seluruh dunia. Tunku Ismail dan Rob Friend (Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya) melakukan tugas revolusi cukup sempurna dan kita harus menyokong,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Syed Yazid Syed Omar, yang menyeru supaya peminat tidak mudah terpedaya dengan tuduhan liar.

Friend dalam satu wawancara di Astro Arena minggu lalu mengungkapkan: “Saya boleh katakan ada pelbagai proses (dapatkan pemain dari luar negara). Kami hadir dengan pengalaman global. Kami ada rangkaian yang besar dari segi pencari bakat dan ejen pemain. Menggunakan rangkaian kami ialah perkara nombor satu. Itu adalah proses yang dilakukan pasukan-pasukan kebangsaan negara lain untuk mengenal pasti pemain-pemain ini.”

Friend – bekas penyerang antarabangsa Kanada selain seorang pemimpin bola sepak moden yang berprestasi tinggi dan mampu membawa perubahan strategik kepada pasukan kebangsaan – bekerjasama rapat dengan Cklamovski dalam memastikan pemain-pemain luar negara yang dibawa masuk adalah pemain yang benar-benar mampu membawa cabaran buat Harimau Malaya.

Tidak terhad kepada pemain warisan yang baru didaftarkan, dilaporkan juga ada 37 pemain memiliki pertalian darah Argentina-Malaysia yang sedang disaring untuk memenuhi keperluan pasukan kebangsaan pada masa akan datang.

September lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan bagi memperkasakan pasukan bola sepak negara berkata: “RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus dan jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya (sebagai) antara gergasi di Asia.”

Apa pun, selepas mengalahkan Nepal 2-0 – gol pertama sumbangan Hevel dalam penampilan sulungnya – di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 26 Mac lalu, kemenangan ke atas Vietnam malam esok sangat ditagih untuk ‘revolusi’ Harimau Malaya mendapat kepercayaan segera penyokong.

“Semua orang bertanya mengenai pemain warisan. Ia hebat kerana saya boleh merasai minat dan sokongan daripada peminat bola sepak Malaysia. Itulah yang saya berasa bola sepak Malaysia sebagai istimewa,” kata Cklamovski dalam sidang medianya Isnin lepas.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada separuh akhir Piala AFF 2014, dengan kemenangan 5-4 secara agregat. Sejak itu, Vietnam tidak pernah tewas dalam lapan pertemuan seterusnya menentang Malaysia, dengan satu-satunya keputusan seri 2-2 dicatat dalam Piala AFF 2018.

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.