
Pada satu sesi wawancara bersama Malaysiakini di Kota Bharu 3 Jun lalu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkongsi pandangan peribadinya mengenai pemilihan parti pada muktamar PAS September ini. Panjang lebar hujah beliau.
Kesimpulannya beliau mahu PAS mengelakkan sebarang pertembungan tajam pada peringkat tertinggi yang berisiko memberi kesan negatif kepada parti. “Yang pimpinan atas biarlah kekal. Itu pandangan saya. Dan kalaulah Tok Guru (Abdul Hadi Awang) kata nak berundur bagi saya timbalan kena naik. Jangan ada orang lain nak pintas sebab struktur parti kita dah begitu”.
Ertinya beliau mahu jawatan itu mesti diisi ulama. Mengimbau artikel saya semalam, nama Mohd Amar antara yang dicadangkan penyokong parti seandainya Hadi melepaskan jawatan. Kalau ada pertembungan di peringkat tertinggi kata Mohd Amar, akan ada kesan kepada PAS ‘kerana setiap orang ada pengikut tersendiri’. Kumpulan yang kalah akan berasa tidak puas hati dan mungkin ada ‘macam-macam cerita yang keluar’.
Umpamanya seperti apa yang berlaku dengan PKR berikutan pertandingan timbalan presiden parti antara Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli 23 Jun lalu. Malah Mohd Amar mengakui “sebelum pertandingan saya doakan Nurul Izzah menang sebab ia bagi kesan perpecahan besar”. Dan kata beliau lagi: “Rafizi seorang yang loose cannon ( apabila kalah ) takkan duduk diam, dia akan terus membedil hingga PRU akan datang.Ini satu kelebihan kepada kita sebagai pembangkang”.
Suasana dalam PKR masih panas walaupun lebih dua minggu berlalu sejak pemilihan parti diadakan. ‘Macam-macam cerita’ keluar. Tak perlu dihuraikan kerana semua sudah maklum. Dan saya kira Rafizi sendiri pun terperanjat beliau ada begitu ramai penyokong yang ‘prihatin’ PKR kerugian besar akibat kehilangan Rafizi.
Lihat sahaja rungutan, keluhan, rintihan di platform media sosial. Ramai yang mengaku pejuang atau penyokong Gerakan Reformasi 1998 dan golongan yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU 2018 kini mengecam dan melemparkan kata-kata kesat dan kasar ke atas Presiden PKR Anwar Ibrahim. Suatu tindakan yang tidak pernah terfikir akan terjadi sejak PKR ditubuhkan 22 tahun lalu.
Sememangnya golongan yang marah dengan PKR sekarang terdiri penyokong tegar. Tetapi saya kata Rafizi sendiri tidak nafikan ada juga orang menyamar sebagai penyokong hanya untuk menangguk air yang keruh. Apa pun saya tidak tahu sama ada pihak yang mengilhamkan perebutan jawatan timbalan presiden parti tempoh hari sedang tepuk dahi menyesal. Waullaualam.
Nampaknya doa Mohd Amar mahu timbul kesan besar perpecahan PKR sudah termakbul. Namun dalam pada itu, keadaan dalam partiya sendiri dewasa ini tidak tenang. Menjelang pemilihan parti September ini, sekarang ‘suasana perang’ sudah kelihatan membabitkan dua kumpulan utama.
Wujud kumpulan berlainan dalam PAS bukan sesuatu yang baru. Sekarang timbul lagi. Ada Geng Ustaz dan ada Geng Publika (saya tidak tahu mengapa dinamakan begitu. Mungkin anggota geng suka bermesyuarat di Publika Shopping Mall Kuala Lumpur?). Si Geng Ustaz baru baru ini mendakwa ada cubaan ‘melanggar presiden’ dan menganggap itu ‘kudis lama dalam parti’.
Malah ketua Geng Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dilapor mencemuh pihak yang mengganggu kepimpinan ulama sebagai ‘syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin’. Pada pandagan saya itu kata kata keterlaluan. Apa tah lagi diluahkan oleh seorang yang digelar ustaz dalam parti yang mengakui Islamis. Tetapi begitulah keadaannya.
Kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre, kali ini Ahmad Samsuri Mokhtar, Takiyuddin Hassan, Sanusi Md Noh – semua nama besar dalam PAS – dan ‘clique’ mereka kini ‘diserang dengan dakwaan ingin melanggar kepimpinan ulama’. “Label label baru seperti HooSAM 2.0, Jebon 2.0.Taksubiyyun Dr Sam dan sebagainya mula keluar, bahkan ada label label lain lebih teruk yang kurang sesuai ditulis di sini”, kata Yusri di laman Facebook beliau.
Menurut beliau, “jika sebelum ini Sanusi dianggap wira menentang PH namun dalam ‘plot’ ini beliau dilihat sebagai pembawa angkara.“Kalau sebelum ini hobi menyanyi beliau dipuji dan dipertahan sekarang beliau mula dilabel sebagai orang ‘besaq’ yang suka berkaraoke dengan konotasi mengejek dan menganjing”, menurut Yusri.
Samsuri atau Dr Sam sekarang dijadikan sasaran fokus kemarahan kelompok jalur agama dalam PAS. Takiyuddin pula didakwa individu yang memainkan peranan untuk mengangkat figura professional sebagai kepimpinan tertinggi PAS.
“Saya jangkakan suhu panas ini tidak mudah untuk sejuk kecuali dengan satu cara sahaja iaitu kumpulan professional mengendur, beralah dan memberi laluan kepada jalur agama. Jika tidak, kehangatannya akan memuncak dan terus memuncak kerana sudah tentu Geng Ustaz sekali-kali tidak akan beundur dan beralah”, kata Yusri.
Yusri mengingatkan kita semua bahawa sepanjang keberadaan dalam politik tanah air, PAS telah melalui beberapa siri pepecahan yang melahirkan parti baru. Antaranya lahir Berjasa pada 1977, Hamim pada 1983 , Akim pada 1995 dan 2015 krisis besar yang melahirkan Amanah.
Setelah 10 tahun agak tenang kata Yusri, politik dalaman PAS kembali berkocak menjelang pemilihan September ini. Lantas penyelidik dan penganalisis terus memberi perhatian terhadap apa yang berlaku dalam PAS sekarang.
Termasuk kata Yusri, adakah PAS akan berpecah lagi pasca muktamar September 2025 ini? Nampaknya setelah berdoa untuk parti orang lain, Mohd Amar kenalah doa untuk parti sendiri.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.