
Jangka hayat Rafizi Ramli bergelar timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuma berbaki empat hari lagi. Ia hampir sesuatu yang pasti — “kiamatlah kalau saya menang” — dengan tempoh yang tinggal itu menjadi persediaan untuknya membiasakan diri dengan peranan sebagai mantan selepas ini.
Tapi tidaklah seawal dijangkakannya hingga ada yang tidak sabar-sabar lagi menunjukkannya pintu keluar sebelum sampai waktunya.
Dari tertutupnya pencalonan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 9 Mei lalu apabila puteri sulung perdana menteri Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding timbalan presiden selepas timbul gelombang sokongan terhadapnya pada saat-saat akhir, Rafizi awal-awal lagi sudah meramalkan bagaimana ia akan berkesudahan — kekalahan di pihaknya.
Menggelarnya sebagai satu pola nasional untuk beliau dipastikan tidak akan menang susulan berlakunya fenomena ‘kepala tanpa badan’ (ketua cabang dimenangi individu dari satu kumpulan tetapi keseluruhan ahli jawatankuasanya terdiri dari orang kumpulan berlainan) ketika pemilihan peringkat cabang dari 11-20 April, harus Rafizi sendiri tidak jangka ia akan sampai ke tahap seburuk ini.
Penolakan terang-terang oleh pimpinan negeri dan ketua-ketua cabang PKR di Sabah pada Sabtu harus dianggapnya satu ‘pengusiran’ pada ketika pemilihan MPP di Johor Bahru pada Jumaat ini belum lagi berlangsung, jauh sekali dimuktamadkan.
Dengan jadual Jelajah Hiruk diaturnya di Kota Kinabalu pada hari sama sudah dimaklumkan lebih awal, PKR Sabah sebaliknya turut menganjurkan majlis Pelancaran Jentera PRN-17 Keadilan Negeri Sabah pada hari dan waktu yang sama — cuma dewannya berbeza – dan tanpa kehadirannya.
Sekurang-kurangnya 21 daripada 25 cabang PKR di Sabah hadir memberi sokongan terbuka kepada Izzah pada pemilihan kali ini.
“Saya masih lagi timbalan presiden parti ini, saya masih lagi pengarah pilihan raya parti ini. Tak cantik la hanya kerana saya hadir (di Kota Kinabalu) pada hari ini, yang kita dah umum awal untuk saya berkempen berjumpa dengan kawan-kawan dari Sabah, tup tup tiba-tiba ada pelancaran jentera yang dibuat pada hari yang sama… tak cantik.
“Saya mungkin tak secantik Nurul Izzah lah tetapi orang luar boleh nampak, ini apa PKR ni? Pengarah pilihan rayanya masih lagi Rafizi. Yang kamu buat kamu ketepikan dia, kemudian kamu lancar sendiri, yang lancar semua ini tak ada kena-mengena dengan pilihan raya sebelum ini pun. Mereka belum terlibat pun dalam perbincangan dengan parti-parti di Sabah,” katanya dalam ceramahnya di Grand Ballroom, ITCC, Kota Kinabalu.
Apakah begini selayaknya diperlakukan ke atas seorang yang telah banyak berjuang atas nama reformasi dan seorang jeneral pejuang yang telah banyak memenangkan parti?
Tapi Rafizi tetap Rafizi yang dikenali gemar melawan arus. Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’ masing-masing sebanyak tiga kali daripadanya pada penutup ceramahnya itu tetap lantang dan bersahut dengan bersemangat meski sebilangan besar yang menghadirinya tidak pun memiliki kelayakan mengundi sebagai perwakilan.
Dilaporkan sehingga ke hari ini pun ramai calon yang tewas dalam fenomena ‘badan tanpa kepala’ terus tidak berpuas hati dan menolak keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang dipengerusikan Dr Zaliha Mustafa bahawa tidak berlaku kecacatan dalam sistem pemilihan selepas disahkan juruaudit antarabangsa.
Bukan setakat dianggap mereka tidak masuk akal, malah keputusan pelik berkenaan tidak pernah berlaku dalam tradisi pemilihan sebelum ini. Soalan ramai ialah apakah fenomena yang sama akan turut terbawa-bawa dalam pemilihan peringkat MPP pada Jumaat nanti.
Menyifatkan keputusannya mempertahankan jawatan nombor dua sebagai tindakan “berani mati” dalam keadaan beliau tahu akan kalah berdepan Izzah, Rafizi mengakui dirinya seorang yang keras kepala dan tidak akan beri kemenangan percuma kepada lawannya.
Malah, beliau turut berkongsi sebelum ini bahawa wang depositnya sebanyak RM35,000 terpaksa didahulukan oleh seorang kawan beberapa jam sebelum pencalonan ditutup hanya kerana kad kreditnya mempunyai had pindahan RM30,000.
“Saya ingat awal itu, isyarat yang digerakkan supaya saya kononnya patah hati, tak apalah saya tak bertanding, jadi (Izzah) menang tanpa bertanding. Jadi masalah kerana saya keras kepala. Saya tahu masuk pertandingan ini berani mati, tak ubah macam saudara-saudari dekat Sarawak. Masuk bertanding menang belum tentu, kalah confirm,” katanya di Jelajah Hiruk Sarawak di Pusat Konvensyen Penview, Kuching pada Sabtu malam.
Jelajahnya itu berbaki dua peringkat lagi di Dewan Cempaka, Taman Komuniti Ipoh malam tadi dan di Hotel New York, Johor Bahru malam esok.
Jelas sekali seperti dikatakannya bahawa perebutan jawatan nombor dua dengan Izzah berlangsung atas padang yang tidak sama rata — segala-galanya telah dirancang dan disusun rapi bagi memastikan kemenangan Puteri Reformasi itu yang tidak bertanding pada 2022 tapi kemudian mengisi salah satu lantikan naib presiden.
“Isyarat itu telah jelas, keseluruhan parti telah digerakkan agar saya kalah dengan Nurul Izzah… memang jelaslah, (tapi) tak ada masalah. Saya datang (Sarawak) bukan nak kata tolonglah bagi saya menang, itu hak masing-masing.
“Saya masuk (pemilihan) saya menerima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat. Gila ke apa kau menang… dalam keadaan segala-galanya telah disusun, ini sebenarnya pertandingan atas padang tak sama rata,” katanya lagi.
Kini sudah timbul ura-ura Rafizi bertindak balas dengan keengganannya merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di di Johor Bahru pada 22 Mei atas rasa dirinya dipinggirkan.
Malah, ia bukan lagi ura-ura dengan terdedahnya laporan bahawa Rafizi sudah mengutus surat kepada Anwar mengenai pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan tersebut.
Penyandang Ketua Pemuda PKR Adam Adli adalah antara yang tampil merayu agar Rafizi mengubah fikirannya sebagai melengkapkan tradisi dalam kongres PKR manakala Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh sekadar berkata sama ada Rafizi akan merasmikan majlis itu atau tidak belum disahkan.
Memang benar bahawa sebarang keputusan Rafizi memulaukan Kongres Pemuda dan Wanita PKR tidak akan membantunya meraih sokongan atau simpati. Pada masa sama, kehadirannya untuk merasmikan persidangan berkenaan juga tidak akan memenangkannya.
Sekurang-kurangnya seorang pengamat politik PKR, Halim Romli — penyokong tegar Rafizi — meramalkan parti itu akan terpaksa membayar harga yang mahal atas ketidakadilan ke atas Rafizi, yang keluarnya beliau daripada kepimpinan nanti mungkin dituruti sebilangan ahli dan penyokong atas pagar parti itu.
Sambil menyindir mereka yang menjulang Izzah secara keterlaluan bukan saja tidak beradab terhadap Rafizi, malah mengetepikan sikap sebenar reformis yang kononnya menjadi prinsip perjuangan mereka selama ini.
“Tolonglah Anwar, lakukanlah sesuatu agar parti tidak jadi tambah buruk dan terdedah kepada serangan pembangkang menjelang PRU16 nanti,” katanya dalam siaran langsung hariannya kelmarin sambil berharap perwakilan akan kembali kepada kewarasan mereka untuk memilih calon yang benar-benar lebih layak.
Nampaknya seperti mana perwakilan tidak akan berganjak daripada pendirian menjulang Izzah sebagai ‘penyelamat’ parti seperti naratif yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, begitu juga Rafizi yang akan berundur daripada kepimpinan dan Kabinet kerajaan perpaduan.
Kata orang jika pangkalnya manis tapi hujungnya pahit, maka yang pahit itulah yang akan terus terasa.
Que sera, sera (apa yang akan terjadi biarlah terjadi) jika itu sudah keputusan majoriti dalam PKR.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.