KRU dan tangkal pelaris

KRU dan tangkal pelaris

KRU berjaya menjadi profesional dalam hal ini kerana mereka tahu kelebihan dan kelemahan masing-masing.

ronasina

Saya hadir ke konsert ‘GenKRU Day 4’ malam minggu lalu. Ini betul-betul pandir! Tak pernah konsert artis tanah air berskala besar dibuat selama empat hari dan keempat-empat harinya penuh sesak. Bukan main-main punya sesak. Kita bukan bercakap tentang dalam dewan tetapi ini di Axiata Arena yang boleh menampung 10,000 orang. Jika empat hari kita boleh buat anggaran kasar bahawa KRU yang sudah masuk usia 50-an berjaya menghimpunkan 40,000 penonton. Ini mengingatkan saya pada konsert Ikhlas oleh artis daripada Roslan Aziz Production pada 1992. Itulah konsert artis tanah air yang paling berjaya membuatkan Stadium Merdeka menjadi kecil. Dan pada malam keempat konsert GenKRU itu menyaksikan nama mereka tercatat dalam The Malaysia Book Of Records kerana berjaya menjadi artis Malaysia pertama membuat rekod konsert begitu.

Rata-rata yang datang ke konsert GenKRU adalah peminat tegarnya berusia lewat 30-an hingga pertengahan 40-an. Jumlah peminat wanitanya lebih tinggi dan saya dapat lihat mereka menyanyi beramai-ramai mengikut nyanyian KRU dengan penuh perasaan. Macam Sabariah bergolek atas katil mendengar suara Kassim Selamat di corong radio. Saya pasti ketika mereka remaja dahulu mereka angau sama Yusri.

Tiga beradik ini Norman, Yusry dan Edry adalah fenomena dan pernah mencetuskan kontroversi suatu masa dahulu. Slogan ‘Krumania’ mereka terlalu besar sehingga dicemburui ‘polis-polis moral’ yang konon melihat ‘gejala’ ini tidak bagus untuk muda-mudi zaman itu.

“Yang remeh dipropaganda
Bagai satu dosa
Tergamam diamku menggeleng kepala
Walau kau lihat ku begini
Tak pernah ku lupa agama dan budaya
Citarasa kita nyata berbeza-beza.”

Itu luahan KRU dalam lagunya yang berjudul Negatif ekoran daripada cemuhan pihak-pihak tertentu dahulu. ‘Fikir cara terbuka, jangan pandang negatif saja’ tegas mereka dalam sebaris lirik lagu tersebut. Yang penting kita sama-sama menghormati, kata mereka lagi.

Gelombang Krumania merisaukan pak long dan mak long skema waktu itu. Istilah ‘mania’ dan ‘fanatik’ membimbangkan hakim-hakim moral. Menyanyi rap dan berpakaian baju kalis air adalah tidak senonoh bagi mereka. Anak muda harus sentiasa berbaju skema dan tidak perlu ada cita rasa. Situasi sebegitu pernah berlaku sebelum datangnya rap dan hip-hop lagi iaitu pada zaman rock sedang menggila. Pun sama juga. Lelaki berambut panjang wajar diburu dan ditogelkan. Soal moral muda-mudi ini sering dijadikan mainan oleh orang politik, orang akademik dan orang agama. Ini tidak pelik. Di barat pun, Elvis Presley pernah dicop berbahaya oleh sang politikus kononnya menggugat ketenteraman kaum. Akibatnya dia ditahan kerana melanggar larangan yang dikenakan kepadanya supaya tidak melakukan gerak tarian unik ciptaannya. Elvis bantai menari juga lalu dia dikenakan hukuman menjalani latihan tentera. Sampai begitu sekali orang atasan mengeksploitasikan isu.

Saya selalu ketawa tentang komplen polis moral terhadap muda-mudi ini. Moral orang tua mabuk-mabuk di kelab malam dan berskandal di hotel serta kondo mewah tidak pernah diperkatakan. Perintah berkurung hanya untuk anak muda, tidak kepada pak cik tua yang merenyam atau pak cik kaki judi. ‘Double standard’ sungguh! Eh! Ke situ pula.

Saya tahu KRU ada tangkal pelaris yang membuatkan mereka menjadi cukup berpengaruh. Mereka ada formula untuk berjaya dan resipi untuk terus kekal relevan sampai sekarang. Tangkal azimat paling mujarab ialah diri mereka itu sendiri. Perawakan mereka menarik. Sebab itu saya kata tadi, peminat wanita sangat menggilai mereka. Ada beberapa penyanyi lelaki punyai aura sebegini. Antaranya M Nasir, Jamal Abdillah, Mawi dan Anuar Zain. Saya selalu nampak dan cukup suka melihat reaksi perempuan apabila berpeluang bercakap dengan artis berkarisma seperti itu. Macam nak pitam mereka selepas artis pujaan mereka berlalu. Mereka terpukau dengan aura artis ini yang disifatkan ‘lain macam’.

Figura tiga beradik KRU ini sungguh meyakinkan malah pertalian adik-beradik yang kemas, akrab dan sekepala itu sendiri membuatkan peminat kagum. Bukanlah adik-beradik tak bergaduh tetapi saya percaya kejayaan akan mudah dicapai jika adik-beradik bersatu dan bekerjasama untuk berjaya kerana ciri sedarah-daging itu sendiri adalah faktor yang amat kuat.

Sebaliknya, itulah sebenarnya yang susah. Menyatukan adik-beradik untuk sama berusaha sampai berjaya itulah yang paling susah berbanding bersama kawan-kawan sebab adik-beradik lagilah banyak mehnah dan penyakitnya. Isu peribadi pun boleh bercampur-baur dengan isu karier sehingga boleh membantutkan kejayaan. Berniaga apa pun, restoran misalnya jika dengan adik-beradik pun susah. Ada merajuk dan sebagainya. Tetapi jika berjaya ketepikan itu, memang boleh naiklah!

KRU berjaya menjadi profesional dalam hal ini kerana mereka tahu kelebihan dan kelemahan masing-masing. Di situ mereka lengkap-melengkapi. Melihat tiga beradik ini orang sekali gus dapat menilai bagaimana latar belakang keluarga mereka. Orang dapat menyimpulkan yang mereka datang dari keluarga yang kuat menyokong. Kedua orang tua meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap mereka. Paling penting, merestui anak-anak mereka. Sebab itulah KRU ada lagu Penjunjung Namaku yang menceritakan penghargaan terhadap kedua orang tua mereka. Lagu ini bukan sahaja selalu membuat KRU tersangkut menghabiskannya sebab sebak, peminat yang menyanyikan pun mengalir air mata.

“Ayahku
Terlalu menyayangi aku
Mendedikasikan hidupnya kepadaku
Dan ibu
Sentiasa ada bersama
Walau serendah mana aku
Dia tetap menjunjung namaku.”

Norman, Yusry dan Edry jarang kita dengar cerita mereka kalau tiada apa yang hendak diceritakan. Tiga beradik ini selalunya akan keluar apabila mereka ada produk baru yang hendak diterbitkan. Mereka diidolakan kerana sentiasa meneroka teknologi terkini. Melalui muzik, lagu, muzik video, animasi sehinggalah filem – mereka gigih bereksperimen. Hasil kerja mereka tidak tersekat dengan waktu. Adakalanya buah tangan mereka mendahului zaman. Muzik video Telinga Ke Tulang nyanyian kumpulan Spider pun menjadi hebat apabila KRU yang bikin sewaktu lagu itu menjadi runut bunyi filem Cicak Man terbitan KRU Studio.

Strategi KRU juga licik. Ketika mereka barangkali sibuk dan sukar beri komitmen untuk beraksi tetapi pada masa yang sama terus prolifik dalam menghasilkan lagu; mereka rekrut bakat-bakat baru. Maka lahirlah kumpulan Elite, Juliana Banos, Ezlynn, kumpulan Phyne Ballerz dan lain-lain. Malah, KRU pernah menubuhkan kumpulan Tyco, iaitu sebuah kumpulan yang terdiri daripada mereka juga tetapi dalam bentuk maya. Itulah kreatifnya mereka yang sentiasa mengikut cita rasa semasa. Kumpulan Rabbani, di tangan KRU menjadi berbeza berbanding kumpulan nasyid lain yang pada waktu itu tumbuh banyak seperti cendawan lepas hujan.

Terakhir, senjata paling ampuh untuk kekal relevan ialah lagu-lagu mestilah sedap. Lagu rap tentulah rancak dan KRU berjaya membentuk acuan mereka sendiri. Untuk lebih memikat lagi, lirik lagu mestilah ‘angkat’ dan puji wanita. Mesti awek suka, beb! Lagu-lagu KRU kebanyakannya begitulah.

“Di sebalik semua lelaki di dunia
Pastinya didukung seorang wanita
Dia berkorban untuk
Memberi yang mampu
Demi insan yang disanjung dalam hidup
Tenangkan hatinya bila resah
Setia di dalam ceria dan gundah
Itulah saja balasan diminta
Seorang wanita.”

Itu lagu yang membuatkan perempuan cair. Tajuknya pun Wanita. Dan banyak lagu KRU menceritakan terpikatnya lelaki kepada wanita kerana ciri kewanitaannya. Sampai pejam-pejam mata dengan tangan memegang dada peminat perempuan dibuatnya sebab menghayati nyanyian mereka.

Ya, yang pasti KRU buat semuanya sendiri. Mereka sendiri tentukan ideologi mereka, hala tuju muzik mereka, bukan menurut kemahuan pihak lain. Tidaklah terjadi pada sesetengah kumpulan – berebut lagu, berebut nama dan paling sedih, karya yang dibawa pun hak milik orang lain.

Dari rangkuman ke semuanya, itulah tangkal hikmat yang membuatkan KRU gah di liganya. Persefahaman, berpenampilan kacak dan bersih, berpelajaran, kreatif, sentiasa berani berdepan dengan kemajuan yang datang. Lelaki yang ada pakej ini bukan sahaja disukai wanita tetapi pak cik dan mak cik pun tak ragu-ragu nak ambil buat menantu. Percayalah!

Walaupun saya ‘rockers’, lagu-lagu KRU masuk juga ke telinga saya dan melekat di dalam kepala. Maka, pada malam konsert ada beberapa lagu yang boleh saya ikut bernyanyi. Tabik sama KRU. Tak pernah saya alami selama ini bila tiga lagu pembukaan KRU membuatkan bulu roma saya meremang terus-terusan. Auranya saya dapat rasa apatah lagi apabila melihat reaksi penonton yang ikut sama bernyanyi sehingga Axiata Arena bergema gamat. Gila betul penangan Norman, Yusry dan Edry. Memang betul-betul Krumania!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.