
Apa ada pada nama? Macam-macam ada. Bagi parti politik ia memberi gambaran matlamat dan lebih penting perjuangannya. Dalam erti kata lain, the name tells what the party stands for.
Contoh. MCA singkatan untuk Malaysian (asalnya Malayan) Chinese Party. Langsung semua tahu ia parti orang Cina untuk orang Cina, berjuang untuk kebaikan masyarakat Cina. Setuju atau tidak soal lain. Pada permukaan sekurang-kurangnya, begitulah apa yang ditonjolkan kepada khalayak.
MIC pula ialah Malaysian (asal Malayan) Indian Congress. Pengasasnya memilih ‘kongres’ dan bukan ‘parti’ kerana mungkin dipengaruhi parti yang waktu itu amat kuat di India iaitu Indian National Congress. MIC ialah parti orang India untuk orang India walaupun ada juga segelintir ahli daripada masyarakat Sikh.
Ada juga PAS. Parti Islam Se-Malaysia. Itu nama rasminya. Jika ikut nama itu singkatannya patut PIS tetapi bunyinya macam tak kena malah lucu, jadi mereka mahu dikenali sebagai PAS. Apa pun namanya ia mendakwa parti memperjuangkan Islam. Walaupun ia parti untuk orang Islam rata-rata ia dipimpin dan dianggotai orang Melayu. Tidak ada atau mungkin juga tidak ramai orang bangsa lain yang beragama Islam dalam PAS. Saya bercakap mengenai ahli ‘ori’, bukan ahli bersekutu.
DAP pula Democratic Action Party. Tengok nama jelas ia parti yang menitikberatkan demokrasi. Namanya tidak menyebut secara khusus apa-apa bangsa, lantas ia parti untuk semua rakyat yang berbilang kaum dan agama, walaupun majoriti ahli orang Cina.
PKR. Parti Keadilan Rakyat. Menerusi namanya umum tahu ia parti yang menegakkan keadilan untuk rakyat. Ia juga terbuka untuk semua rakyat tetapi majoriti ahli orang Melayu.
Beralih ke Parti Amanah Negara atau PAN tetapi lebih senang dikenali sebagai Amanah. Sedap namanya dan memberi gambaran ia parti “beramanah’. Ia menggambarkan dirinya sebagai parti yang punya ideologi Islam ‘progresif dan reformis’. Majoriti ahli orang Melayu.
Sekarang bercakap mengenai Bersatu, singkatan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Ketua Pemuda Hilman Idham dipetik portal Suara Kebangsaan berkata Bersatu bukan parti Melayu tetapi kebangsaan selari perlembagaannya membela seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Kenyataannya mencetus kemarahan termasuk dalam kalangan sayap Pemuda yang dipimpinnya. Antaranya Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin, exco Pemuda.
Wan Meor menyangkal ketuanya dan menyifatkan pendirian Hilman ‘jauh menyimpang’ daripada tujuan asal penubuhan parti iaitu memperjuangkan nasib pribumi dan rumpunnya dalam kalangan anak Sabah serta Sarawak. Seperti Hilman, beliau juga menampilkan perlembagaan parti untuk memperkukuh hujah. Wan Meor memetik Fasal 1 tentang nama parti, Fasal 2 mengenai takrif ‘Pribumi’ dan Fasal 6 berhubung matlamat.
“Maka Bersatu secara jelas sebuah parti Melayu yang memperjuangkan hak dan nasib orang Melayu dan kaum Pribumi/Bumiputera,” kata beliau kepada FMT.
Hilman tetap pertahan “perjuangan Bersatu adalah perjuangan kebangsaan dan itu dimaktub dalam perlembagaan”. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (yang baru-baru ini gagal merebut jawatan ketua Bersatu Machang) Wan Ahmad Fayhsal turut masuk campur — mengingatkan Hilman supaya lebih banyak ‘ulangkaji’ asas penubuhan parti.
Oleh kerana semua pihak mendakwa bercakap berdasarkan perlembagaan, apa takrif ‘pribumi’ mengikut perlembagaan Bersatu? Menurutnya pribumi bermaksud warganegara Malaysia berbangsa Melayu dan Bumiputera termasuk Orang Asli dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan undang-undang negara.
Pada hemat saya, mungkin Hilman melihat Bersatu sebagai parti kebangsaan untuk menarik sokongan semua bangsa supaya parti tidak kelihatan terikat dengan sesuatu bangsa sahaja.
Wan Meor dan Wan Fayhsal pula mahu Bersatu dilihat sebagai parti Melayu agar orang Melayu tertarik dan memberi sokongan. Imbau semasa Bersatu diasaskan Dr Mahathir Mohamad pada 2016, beliau sememangnya mahu Bersatu mengambil alih peranan Umno sebagai parti untuk orang Melayu. Sebagai perdana menteri ke-7 beliau impikan semua ahli Umno menyertai Bersatu sekali gus Umno terbubar, namun impian itu tidak tercapai.
Apa pun mengenai isu di depan mata, eloklah ia menyelesaikan kemelut. Agak kelakar jika Bersatu datang kepada rakyat (semasa pilihan raya misalnya) dengan persoalan ia parti Melayu atau parti kebangsaan masih tidak terjawab. Anggapannya kelak Bersatu tidak bersatu.
Kata penganalisis Lau Zhe Wei kepada FMT, apa yang berlaku sekadar ‘isu naratif’. Pergeseran antara ketua Pemuda dan pemimpin lain dikatakan petanda perbalahan antara puak dalam Bersatu belum selesai.
Saranan saya, oleh kerana Bersatu lahir daripada Umno elok ia perhatikan nama parti asal mereka. Umno ialah United Malays National Organisation. Ini pun pelik — parti Melayu guna nama Inggeris tetapi bukan itu yang perlu dihiraukan.
Tengok nama asalnya yakni Pekembar, singkatan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Kebangsaan ada Melayu pun ada. Tapau dua-dua.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.