Cakaplah elok-elok!

Cakaplah elok-elok!

Apa salahnya kita ucapkan kata-kata yang manis kepada orang lain, terutamanya saat mereka dilanda duka.

ronasina

Satu babak dalam filem Forrest Gump (arahan Robert Zemeckis – 1994) ketika orang-orang di kaki lima kedai memandang aneh kepada Forrest yang cara berjalannya pelik sebab kakinya cacat membuat ibu Forrest berasa tersinggung lalu memarahi mereka, ‘haven’t you ever seen a little boy with braces on his legs before?’ (Tak pernahkah kamu tengok budak kecil memakai pendakap kaki sebelum ini?)

Si ibu tidak mahu anaknya berasa kekurangan, lalu dia memberikan kata-kata perangsang kepada Forrest yang masih kanak-kanak agar jangan mudah patah semangat. Forrest diajar supaya tidak berasa hina dengan pandangan jelik dan ejekan orang ramai, sebaliknya mesti yakin dengan diri sendiri. Meskipun paras IQnya sangat rendah berbanding kanak-kanak sebayanya, namun kata-kata positif si ibu mampu dihadam mudah oleh Forrest. Bagi Forrest, setiap nasihat dan pesanan ibunya adalah azimat yang membuatkan hatinya tenang dan semangatnya jadi kuat.

Ini mengimbau ingatan saya yang pernah mempunyai dua anak perempuan ‘Cerebral Palsy’. Saya dan isteri sering bawa mereka keluar berjalan di tempat awam. Seperti ibu Forrest, pandangan pelik orang awam ketika melihat anak-anak saya terlantar lemah di dalam kereta tolak membuat saya cukup tersinggung. Seperti ibu Forrest yang berang, saya bertanya kepada mereka yang memandang, “kamu tengok apa? ‘Alien’ ke?”

Mereka pun terkerenyin tak tahu nak jawab apa dan cepat-cepat mengalih pandangan. Itu belum lagi kami disoal dengan pertanyaan yang melukakan seperti ‘anak awak kenan ke?’ dan bermacam-macam lagi sehingga ‘mood’ kami yang mahu membawa anak-anak keluar bersiar-siar makan angin langsung terpotong. Oh, ya! Maksud ‘kenan’ dalam masyarakat kita ialah kecacatan yang menimpa anak sewaktu lahir akibat balasan tuhan terhadap ibu bapanya yang menzalimi binatang sewaktu si ibu sedang mengandung anak itu. Astaghfirullah al-Azim!

Bukan tidak ada orang yang bercakap dan menyantuni kami dengan baik, tetapi kehadiran mereka yang negatif ini lebih ramai dan lebih memeritkan perasaan. Atas sebab inilah saya rasa kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa malas keluar. Betapa tidak, bayangkan sejam kita di taman kanak-kanak, kita harus menjawab pertanyaan daripada beberapa orang yang berbeza. Letihlah! Takkan nak buang masa seharian melayan semua itu?

Suatu ketika, anak saya sakit dan dimasukkan ke ICU. Seorang rakan datang ziarah. Sambil melihat penuh simpati keadaan anak saya yang dipakaikan alat bantuan pernafasan dan tiub, dia memandang ke arah saya lalu berkata, “Aku rasa kau harus buat solat taubat mohon tuhan ampunkan dosa-dosa kau.”

Saya terkedu. Darah saya naik ke kepala, tetapi saya harus segera bersabar. Pertama, saya mesti faham yang kawan saya ini bermaksud baik, cuba menasihati. Cuma saya berasa kata-katanya itu tidak membantu saya. Dia telah membuatkan saya bersangka buruk terhadap Tuhan. Marah sangatkah Tuhan kepada saya sehingga anak saya yang tidak tahu apa-apa itu pula yang disakiti? Saya berkecil hati kepada Tuhan akibat kata-kata kawan saya itu. Akhirnya saya akur, tak usah buang masa marah-marah dia. Itu yang dia belajar, itu yang dia dapat dan itu yang dia faham, nak buat macam mana? Tenang sajalah.

Kemudian datang seorang kawan lagi. “Kau kena tenang sebab ujian ini diberikan oleh tuhan untuk mengangkat maqam kau naik ke atas satu tahap lagi. Tuhan takkan memberati kita. Mungkin zahirnya kita nampak anak kau sakit, tetapi entah-entah dia langsung tak rasa pun. Takkanlah yang Maha Mengasihani nak buat dia sakit? Tuhan mahu kita lebih sedar bahawa kita ini tiada daya upaya dan segala sesuatu itu adalah milik-Nya. Kita hanya meminjam nikmat-nikmat kurniaan-Nya.”

Saya terduduk. Kata-kata kawan saya ini ibarat air sejuk mencurah ke dalam tekak saya yang setahun dahaga. Semangat saya jadi segar dan jiwa saya tenang. Saya mampu tidur dengan perasaan yang cukup lega. Bagi kawan saya, tuhan tak benci saya. Menurutnya, tuhan menguji saya dengan sedikit dukacita sebelum memberikan kebahagiaan yang jauh berlipat kali ganda pada hari muka kelak.

Sejak itu, saya belajar memilih kata-kata. Kadangkala menyuruh orang lain bersabar tidak cukup untuk membuat jiwa mereka terubat. Silap-silap ia akan membuat mereka jadi lebih kecewa. Kita harus tahu bagaimana hendak bercakap supaya orang yang berasa mereka sedang berada di bawah dapat menumpang semangat kita.

Saya suami isteri pernah membawa anak ke sekolah khas anak-anak istimewa di sebuah daerah di Jakarta Selatan. Kami tinggal di rumah sewa di belakang deretan blok kedai. Ia seakan sebuah kampung setinggan yang kecil. Setiap pagi saya akan menolak kereta sorong melalui lorong kecil di antara rumah-rumah kayu yang tidak tersusun kedudukannya itu untuk menuju ke sekolah yang berada tidak jauh di seberang jalan yang sentiasa macet (sesak).

Apa yang membahagiakan saya ialah sepanjang saya berjalan, kami akan disapa oleh jiran tetangga dengan sapaan yang cukup ikhlas. Mereka tidak melihat kami dengan pandangan aneh, mentelah pula kami ini orang luar. Sepatutnya begitu, tetapi tidak – mereka cukup mesra.

“Mahu ke sekolah ya, si manis?” sapa seorang jiran kepada anak saya. Saya senyum dan membalas dengan baik. Hati saya jadi cair.

“Wah! Cantik sekali dia hari ini.” sapa seorang lelaki tua berketayap jawa yang membuatkan perasaan saya berbunga-bunga.

“Mudah-mudahan baik-baik aja ya? Amin!” sampuk pula isterinya dengan tangan menadah doa.

Kali ini, saya pula yang memandang mereka dengan aneh. Sebab penghargaan begini tak pernah saya rasa di tempat asal saya.

Kereta yang sesak di jalan raya, dengan motosikal yang laju memang cukup menakutkan, tetapi tiba-tiba mereka boleh sahaja berhenti dan memberi laluan untuk kami melintas. Saya berasa seperti sedang diberkati Tuhan dengan mengurniakan perjalanan yang lancar setiap hari waktu pergi dan balik dari sekolah.

“Nah! Untuk si cantik.” kata seorang lelaki yang sudah siap mengikat tangkai-tangkai rambutan merah ketika pohon rambutannya sedang lebat berbuah.

“Terima kasih, pak!” jawab isteri saya. Sesekali isteri saya buat kuih dan berikan kepada mereka.

“Waduh, enak! Kok bisa diguring?” tanya Buk Halimah, tuan rumah yang kami sewa. Dalam memuji keenakan, dia tak sangka rupanya buah cempedak lebih sedap kalau digoreng. Seumur hidupnya dia tak pernah tahu itu. Nah! Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Saya melalui pengalaman-pengalaman manis ini di luar tanah kelahiran saya. Ini amat saya syukuri kerana diberikan peluang merasai kebesaran ini. Mereka rata-ratanya tidak mewah rumah dan harta, tetapi cukup kaya dan amat tinggi budi pekerti. Jujur saya katakan pada awalnya saya sangat ragukan keikhlasan mereka. Apakah mereka hanya buat-buat mesra? Sukar untuk saya hadam kerana yang selalu saya alami adalah sebaliknya. Pandangan tajam, perli dan umpatlah yang selalunya saya hadapi sehingga kami sudah tidak lut lagi dengan kejian. Tetapi di situ, di lorong-lorong setinggan pekan Lebak Bulus, saya seolah-olah berada di dimensi yang lain. Kami diraikan. Kami diterima oleh jiran tetangga dengan senyuman dan sapaan yang mesra lagi membahagiakan.

Sehingga hari ini, saya masih terkenang pengalaman indah itu. Lima tahun selepas anak saya meninggal dunia, saya dan isteri kembali berkunjung ke sana. Menjejak kasih sekitar kejiranan dan juga di sekolah itu. Kami disambut dengan tawa mesra dan air mata terharu. Anak tuan rumah sewa apabila datang melancong ke Kuala Lumpur, kami temui dan layani sebagai tanda mengenang budi.

Apa salahnya kita ucapkan kata-kata yang manis kepada orang lain, terutamanya saat mereka dilanda duka. Mengapa kedukaan selalu dikaitkan dengan dosa dan hukuman, sementara kegembiraan dan kejayaan pula suatu keberkatan? Silap-silap kejayaan kita adalah suatu perangkap. Tetapi, takkanlah kita nak cakap macam itu, jika kawan kita berjaya. Nanti dikatakan dengki pula. Lalu, kita cakaplah elok-elok walau apa sekalipun keadaan yang menimpa, sama ada kawan kita atau ahli keluarga kita.

Salahkah kalau kita sampaikan khabar gembira kepada orang? Meranakah hidup kita kalau kita buat hati orang lain senang?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.