Alahai lebai!

Alahai lebai!

Cuba lihat keliling, apakah ummah semakin berilmu, berlapang dada dalam menerima perbezaan pandangan dan aman atau semakin berserabut, sombong dan kalut?

Tidak usah ‘intro’ panjang-panjang, mari kita lihat langsung di media sosial hari ini yang sering sahaja ada perdebatan, perbalahan pendapat, hentam-menghentam sehingga boleh kita sebutkan sebagai mengumpat; suatu perbuatan berdosa di dalam Islam – ironinya sedap sungguh dilakukan oleh para penggiat agama. Sindir-menyindir dan perkelahian ini mengheret para penyokong mereka bertelagah sehingga mengeluarkan ucapan dan komen jijik, malah berlanjutan sampai ke fitnah-memfitnah.

Gila apa ini dalam pada nak menegakkan kebenaran sampai menghalalkan tohmahan? Sewel apakah ini dalam menegakkan agama kamu melabel puak itu dan puak ini dengan gelaran tak senonoh? Itukah Islam hari ini? Sepatutnya makin ramai para agamawan maka makin berilmu sesebuah masyarakat itu tetapi sebaliknya hari ini makin ramai ‘lebai’ mewujudkan suasana yang makin haru-biru. Telah timbul segolongan yang menjadi pemuja kepada seseorang ustaz dan fanatik dengan sesuatu aliran. Mengapa ketaksuban begini boleh? Apa yang tak kena? Makin berilmu masyarakat mestilah lebih kaya sifat ehsannya dan baik pula hubungan sesama manusianya tetapi anehnya hari ini kita terbelah dua.

Golongan yang terjebak dengan ketaksuban ini menjadi berpuak-puak sedang masyarakat di luar sana pula bersikap nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hilang rasa persaudaraan sesama seagama. Mereka saban hari bergocoh berkenaan siapa paling pandai.

Perbandingannya begini. Kalau selalu kita dengar ada gusti lengan atau sabung ayam sebagai hiburan, hari ini di zaman medsos penonton-penonton dihiburkan dengan acara baharu iaitu acara ‘laga lebai’. Ha! Ha! Ha! Maafkan saya sebab bagi saya ini amat memalukan imej Islam sebagai sebuah agama yang suci. Setahu saya dalam berdakwah wajib mencontohi sifat para rasul dan nabi iaitu siddiq, amanah, tabligh, dan fathonah. Dengan bahasa Melayu mudahnya ialah benar, jujur ikhlas, menyampaikan, dan bijaksana. Maka, yang mereka sedang buat ini apa dia?

“Tapi dalam kaedah berdakwah formulanya kau cuba terbalikkan turutan siddiq – amanah – tabligh – fathonah itu kepada bijaksana- menyampaikan- dengan ikhlas – benar,” kata seorang kawan saya yang cenderung ke arah sufisme.

“Ahli sufi terdahulu seperti Junaid Al Baghdadi, Rabiatul Adawiyah dan lain-lain dikatakan akan meminta secebis-dua nasihat daripada rakan seangkatan mereka malah mereka masing-masing saling berlumba memuji ilmu rakan-rakan mereka. Bagi mereka orang lain lebih berilmu, bukan diri sendiri sahaja yang ‘terer’. Tak macam hari ini. Mempertikaikan tahap ilmu pihak lain dan berbangga-bangga dengan kelulusan akademik yang diperolehi.”

Bagi saya empat sifat wajib pada rasul dan nabi itu ada kaitannya dengan psikologi manusia. Ciri-ciri tersebut dibekalkan kepada para nabi dan rasul sebagai suatu pengajaran untuk dicontohi oleh pendakwah dalam menghadapi berbagai karektor manusia. Kita mengetahui para nabi sentiasa berhadapan sama ada musuh yang sentiasa mengancam, orang-orang yang belum memeluk Islam serta mereka yang telah menjadi muslim. Di sinilah perlunya kebijaksanaan. Untuk menghadapi musuh seperti Abu Jahal dan Abu Lahab bagaimana.

Yang lebih memerlukan kita mengkaji ialah bagaimana Rasulullah menghadapi seseorang yang telah memeluk Islam sejak hari pertama baginda mendapat wahyu berbanding dengan seorang yang memeluk Islam pada hari-hari terakhir usia baginda adakah sama sedangkan pengetahuan mereka jauh bagai langit dengan bumi. Bagaimana Rasulullah melayan Saidina Umar yang pernah menjadi samseng? Apakah setelah memeluk Islam Umar terus menjadi seperti Abu Bakr yang tidak pernah langsung menentang pendapat Rasulullah? Pasti kedua sahabat itu ada perbezaan karakter yang menuntut kepintaran untuk menanganinya.

Adakah sama Rasulullah ‘tune’ pemikirannya ketika berbual dengan seniman dan penyair seperti Abdullah bin Rawahah dan Hassan bin Tsabit berbanding berbual dengan seorang peniaga atau pengembala? Rasulullah pernah didatangi seorang pencuri untuk meminta nasihat sebelum memeluk Islam, pernah berhadapan dengan orang yang mengaku berzina, pernah menyantuni orang kelainan upaya. Rasulullah juga pernah berjenaka dalam berdakwah ketika ditanya oleh seorang nenek tua. Tidaklah baginda keras, serius, dan tegak sahaja. Bagaimana Rasulullah berhadapan dengan wanita-wanita sama ada isteri-isteri baginda yang baik, anak perempuan baginda yang solehah dan ketika yang lain pula bertentang dengan seorang wanita tegas seperti Khaula binti Tsa’labah. Kalau tiada fatanah bagaimana?

Apa lawan perkataan bijaksana? Isy! Tak sedap pula saya nak sebut. Nak kata sesuatu itu halal, kena ada kaedah agar sesuatu perkara itu tidak pula menjadi keterlaluan kalau dibuat. Nak kata sesuatu itu haram perlukan kebijaksanaan agar pihak yang disentuh tidak terluka sehingga putus asa dan cabut lari.

Terus-terang bagi saya apabila melihat keadaan hari ini ia amat menjijikkan. Mungkin amalan berpuak-puak dan pemujaan keterlaluan kepada agamawan ini membuat mereka berasa seronok dan berasa mereka sedang duduk di maqam yang benar berdasarkan kepercayaan mereka menepati ciri yang dikatakan ‘satu golongan daripada 73 yang sampai’. Kritikan terhadap mereka tidak mereka rasakan kerana menganggap itu merupakan satu ujian Tuhan dalam menjalankan dakwah.

Masalahnya cuba lihat keliling, apakah ummah semakin berilmu, berlapang dada dalam menerima perbezaan pandangan dan aman atau semakin berserabut, sombong dan kalut? Perbetulkanlah semua ini dulu, lebai. Cari kedamaian bukan kemasyhuran. Alahai lebai, alahai!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.