Piala Asia: Tiada sesal jika itu saja tahap kita

Piala Asia: Tiada sesal jika itu saja tahap kita

Harimau Malaya selaku antara pasukan tercorot tidak melakukan persiapan secukupnya menjelang kempen di Qatar.

Jadi, apa kalau kita mampu bertahan seminit sahaja lagi? Kalau pun kita raih satu mata daripada Bahrain malam tadi, apakah ada jaminan kita mampu mara? Kecualilah tiga mata sudah dalam tangan – tidak terkecuali daripada perlawanan pertama menentang Jordan – kita masih tak mampu berangan-angan, dengan lawan terkuat Korea Selatan menanti dalam perlawanan terakhir Khamis ini.

Takdir bola sepak kita dalam kempen Piala Asia 2023 ini harus sudah tertulis awal-awal lagi dari detik Harimau Malaya melayakkan diri secara merit selepas 42 tahun apabila menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam 14 Jun 2022. Tapi kita tidak melakukan ikhtiar secukupnya untuk mengubah takdir itu. Benarlah ungkapan apabila kita gagal untuk merancang, maka kita merancang untuk gagal.

Kesudahannya, takdir kita gagal melepasi peringkat kumpulan dalam tiga percubaan sebelumnya pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan pada 2007 yang dianjurkan bersama oleh Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam berlanjutan lagi kecuali ada keajaiban yang tercipta kali ini. Tapi keajaiban itu tidak pernah ada sebenarnya pada ketika tidak banyak yang mampu kita lakukan di sebalik membariskan empat pemain naturalisasi dan 10 pemain warisan buat julung-julung kali di peringkat Piala Asia.

Tidak usahlah kita bincangkan tuntutan Malaysia untuk semakan VAR bagi mendapatkan sepakan penalti malam tadi apabila bola terkena tangan seorang pemain Bahrain pada minit ke-52. Itu dikira sudah tertebus apabila lawan juga dinafikan sepakan penalti setelah penyerangnya dijatuhkan ketika berkedudukan baik untuk menyudahkan jaringan sebelum bola dikeluarkan di atas garisan gol oleh Dominic Tan.

Kesudahannya ia berkisar kepada pasukan mana yang mendapatkan gol. Hakikat bahawa Ali Madan menyudahkan jaringan kemenangan Bahrain ketika layar gergasi di Stadium Jassim bin Hamad, Al Rayyan menunjukkan masa 4:50 daripada tambahan masa 5:00 minit yang diberikan ternyata satu hakikat perit tapi bola sepak juga sudah kerap berlaku kejam kepada pasukan yang patut menerimanya serta bersifat adil kepada lawan yang ternyata lebih berhak.

Pada penghujungnya, kita semua dikerah terima hakikat bahawa Malaysia bukan lagi sebuah pasukan bertaraf Asia. Kita pernah menikmati kedudukan itu ketika layak selaku antara tiga wakil Asia bersama Iran dan Myanmar ke Sukan Olimpik Munich 1972 serta bersama Kuwait dan Iran ke Sukan Olimpik Moscow 1980 yang diboikot Malaysia. Pingat gangsa dalam Sukan Asia Tehran 1974 kekal sebagai pencapaian tertinggi skuad bola sepak negara – yang menempuh era kegelapan selama lebih 40 tahun sejak temasya Moscow itu.

Daripada membiarkan penyokong Harimau Malaya terus dihanyutkan rasa terkilan, mari kita imbau kembali perjalanan skuad kita sejak mengesahkan kelayakan ke Qatar. Selaku antara lima pasukan dengan ranking dunia terendah di tangga ke-130 – selain Lebanon 106, Thailand 113, Indonesia 149, dan Hong Kong 150 – kita tidak akan mendapat undian mudah dalam mana-mana daripada enam kumpulan pada pusingan akhir.

Dalam majlis undian pada Mei tahun lalu, Malaysia diundi dalam Balang 4 bersama-sama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong, dan Indonesia. Ini bermakna kita tidak akan diundi bersama-sama negara berkenaan dan hanya akan bertemu di peringkat kalah mati jika berjaya layak. Undian itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan (ke-23 dunia), Jordan (87), dan Bahrain (86). Maknanya di atas kertas, Malaysia tidak usah bermimpi untuk dapatkan keajaiban kecuali sekadar untuk menyedapkan hati.

Malaysia sedia ‘langgar’ Piala Asia 2023 kata satu tajuk berita ketika itu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dipetik berkata tiada apa yang perlu digentarkan oleh barisan pemain negara yang akan bersandarkan kepada persediaan penuh untuk melawan negara-negara lebih kuat. Cuma daripada segi realitinya persediaan yang diharungi hanya ala kadar dan tidak pun membayangkan Malaysia bersungguh-sungguh untuk kembali ke kancah Piala Asia selepas lebih 40 tahun.

Menyifatkan pasukan yang dapat dihimpunkannya sebagai terbaik kecuali ketiadaan tiga pemain pertahanan – Sharul Nazeem Zulpakar, Azam Azmi Murad, dan Feroz Baharudin – ketua jurulatih Kim Pan-Gon turut menjelaskan keputusan menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Paulo Josue, 34, Brendan Gan, 35, dan Natxo Insa, 37, untuk memastikan pasukan lebih seimbang di bahagian pertahanan dan serangan selain dapat membimbing pemain muda dalam perlawanan berprofil tinggi. Sama ada Pan-Gon kecewa dengan pilihannya atau mereka yang menghampakan dia.

Tapi jurulatih berusia 54 tahun dari Korea Selatan itu yang mempunyai kontrak dengan FAM sejak 21 Jan 2022 sehingga 31 Dis 2025 kemudian meluahkan rasa terkilan kerana mendapat hanya satu perlawanan memanas badan menentang Syria (91 dunia) manakala pertemuan dengan Arab Saudi (56) dibatalkan. Harus tidak salah keputusan jurulatih Arab Saudi Roberto Mancini itu kerana tiada apa-apa akan menguntungkan pasukannya dan tinggallah Malaysia terkapai-kapai tanpa ujian dihajatinya sebelum sepak mula kejohanan. Janji-janji untuk Harimau Malaya melakukan persiapan terbaik terlalu mudah dilupakan.

Keputusan 2-2 Korea Selatan dengan Jordan semalam untuk skuad Taeguk Warriors itu berada di tangga kedua harus berita buruk buat Malaysia sambil Son Heung-Min dan rakan-rakan mahu memburu kemenangan besar untuk menjuarai Kumpulan E. Kebimbangan Hamidin untuk Malaysia pulang dengan tangan kosong – tiada mata dan tiada sebarang jaringan – nampaknya akan jadi kenyataan tapi tiada apa yang harus disesali jika itulah realiti tahap kemampuan kita sebagai pasukan penyendal dalam kejohanan ini.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Asia dengan menduduki tempat ketiga Kumpulan B di Kuwait pada 1980 kini tertonjol sebagai sesuatu yang tidak mampu diulangi. Pan-Gon boleh terus menyalahkan diri sendiri dalam kekalahan empat gol kepada Jordan dan terbaru gol detik terakhir kepada Bahrain, di sebalik kegagalan Harimau Malaya sebenarnya tidak harus terpikul di bahunya bersendirian walaupun keputusannya seperti memasukkan Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh masing-masing di tempat Syamer Kutty Abba dan Faisal Halim pada separuh masa kedua malam tadi mengundang persoalan.

Pada analisis akhir, kita semua harus terima hakikat bahawa Harimau Malaya bukan pun bertaraf Asia lama sebelum pemain-pemainnya menjejakkan kaki di Doha pada 1 Januari lalu – cuma silapnya sama seperti Pan-Gon kerana menaruh harapan terlalu tinggi – dan kegagalan terbaru dalam kempen kali ini sekadar mengesahkan lagi kehakikian perkara itu.

Cabaran Hamidin supaya skuad kita mara ke pusingan 16 terakhir atau sekurang-kurangnya mengelakkan pulang dengan tangan kosong sekadar akan tersimpan di Arkib Negara untuk rujukan generasi masa depan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.