
Pada 26 Disember 2023 yang lalu, negara kehilangan seorang sasterawan iaitu Saleha Abdul Rashid atau dikenali sebagai Salmi Manja. Allahyarham meninggalkan empat anak dan 11 cucu merupakan antara pengarang wanita paling tegar mencetuskan kesedaran menuntut keadilan sosial dan kebebasan hak wanita. Khusus dalam novel seperti ‘Rindu Hilang di Telapak Tangan’, dan ‘Hari Mana Bulan Mana’ yang banyak menyorot sosio-politik Singapura sebelum pemisahan Malaysia dan republik tersebut.
Di sebalik karya prosa beliau yang sedap dibaca (entah mengapa mengingatkan saya kepada Annie Thérèse Blanche Ernaux, novelis Perancis penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2022), Salmi juga memberikan kita sejumlah puisi segar.
Terdapat beberapa puisi Salmi yang berpesan kepada sang kekasih agar tidak curang, suatu mesej yang akan ditemukan dalam karyanya secara berulangan. Sebagai misalan, Salmi dalam sajak ‘Permohonan’ yang dituju khusus kepada pasukan beruniform Malaysia yang berkhidmat di Congo sebagai Tentera Pengaman PBB, mengingatkan secara demikian puitis tetapi menghiris tajam. Pesan Salmi itu berbunyi:
Kekasihku,
di pelabuhan pertama kau ada di sana
sedang aku ketinggalan
kita sudah berjauhan
saling tinggal meninggal.
Kekasihku,
di pelabuhan kedua ada kapal-kapal untukmu
sedang aku dalam kebeningan
kau akan sebentar berhijrah
kita saling rela-merela.
Kekasihku,
aku gadismu baharu remaja tiga tahun
dan kau begitu kesateria
mencintai dari sejak kelahiran
kita saling memberi dan menerima
Kekasihku,
dakaplah Tuhan walau di mana ada
cumbuilah Ia seerat-erat imanmu
seperti kau mencumbuiku sepenuh waja
kita saling puja-memuja.
Kekasihku,
kenangkanlah pada permohonanku
tak usah sekali-kali diangankan
untuk menghiris puas
daging kekasih yang tak kau kenal.
Terdapat banyak puisi Salmi Manja yang dapat dihujahkan indah, lembut, puitis dan memberikan sisi kewanitaan yang menyerlah. Puisi-puisi itu jika dibaca misalnya setanding karya-karya Usman Awang, dan penyair lain sezaman dengannya. Kebanyakan puisi beliau ini dikarangi di Singapura pada hujung 1950-an, dan di Petaling Jaya awal dekad 1960-an.
Terlepas karya beliau dapat dikatakan sangat bersifat peribadi, karya Salmi Manja juga garau garang dan tidak semestinya mesra merayu semata-mata. Puisi seperti ‘Untuk Umat Manusia’, ‘Mesra Rasa’ dan ‘Suara’ membawa kita kepada tema paling kuat detaknya ketika rantau atau khususnya negara sedang di ambang kemerdekaan.
Ketika masih ada penjajahan merajalela di ceruk dunia, Salmi memberi pembacanya sajak yang manja tetapi sangat memagut rasa. Nota dan notis penyair ini dalam merakam kegelisahan perang masih relevan untuk dibaca dan dilantunkan hari ini. Ini terkesan begitu kuat dalam puisi ‘Perpisahan’ yang rasanya menitis perlahan tetapi membiak dalam jiwa:
Merah-merah mata, derai-derai mutiara
pandangan kelam, hati suram
tanda mesra kenangan silam
berpisah kita untuk sementara.
Ada bintang, ada bulan ada cahaya
ada kasih, ada syurga, ada neraka
kita rindu pada damai antara manusia
kita rangkum kasih hati pada segala
Pada bisik senyum merkah adik bertitah:
“Tuhan Pemurah kita sembah kita bermadah
pinta kurnia pengisi hidup penuh erti”
sesudah itu kita rela bersemadi di bumi.
Jika hidup masih berlanjut kita berpaut
kita benci pada perang pembawa maut.
Jika budi ada erti pengisi hidup
berikan semua supaya damai tetap berlanjut.
Harus diingat meskipun seorang ustazah justeru agamawan, Salmi menghindari sifat menggurui tetapi memilih jalan belai berbudi.
Di sebuah karya lain, kekuatan kepenyairan Salmi Manja menekan hati kita memberikan pembaca perasaan yang demikian dihantui. Sebuah puisi yang bagus haruslah memberi kesan menghantui di mana pembaca tertangkap, tertawan, dan ditenggek perasaan seni yang merengkuh tengkuk. Ini terserlah dalam puisi ‘Manusia dan Kesejahteraan’:
Kelelahan kita semakin parah tenatnya
berserta kekejaman mengatasi kedamaian
titik pertemuan menjadi tentangan
ta’ siapa mau beralah.
Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
janjikan harapan semanis janji orang bercinta
setiap pembicaraan tanpa persatuan
kejujuran mati di hati.
Hari ini tak payah parau bertanya
ketuaan dunia akan tenggelam juga
dalam kebodohan manusia
yang kian bermuka dua.
Demi kelak dewasanya anakku
kau bikinlah perhitungan sendiri
untuk menjengah neraka kecintaan manusia
mencucuri bahang api neraka.
Tambah mengimbau sorotan kitab Muhammad!
Tambah mengimbau sorotan kitab Esa!
Hanya kesejahteraan membunga api!
Bait-bait di atas benar-benar membalik-balikkan kesenian dengan cara dan kaedah tersendiri. Ungkap-ungkapan ‘kejujuran mati di hati’, ‘neraka kecintaan manusia’ dan ‘kesejahteraan membunga api’ dalam bentuk pesan moral untuk anaknya merenggut perhatian kita. Salmi mahu berbicara soal kebejatan perang, dan dalam masa sama mendorong kita mengecam proses damai atau perundingan yang penuh kejahilan dan agenda kemunafikan. Sesuatu yang sangat menjentik kita dewasa ini tentunya.
Dalam banyaknya puisi-puisi Salmi Manja, yang paling saya sukai tentunya karya almarhum yang bertajuk ‘Antara Puspa-Puspa’, yang menghantar isyarat wanita lembut jelita sambil wangi mengharum; tetapi awas mereka juga tekun berkhidmat dan berjasa. Malah menjadi tunjang negara. Puisi ini berbunyi begini:
Banyak puspa-puspa cantik terserlah
menguntum senyum menyergah megah:
aku indah, hai, aku indah
(pinta kumbang biar menyungkur — menyembah!)
Aku seroja lembut dan kacak
aku melati comel berkelopak
aku mawar kerinduan embun bertapak
aku teratai di kolam tak beriak.
Semua bermegah!
Di-hujung desa puspa-puspa bersenda di tengah musim padi
tiada bimbang kulit perang dirayapi keringat, dihangusi matahari
sesekali berderai suara kasih terlalu indah di dalam hati.
Demikian mesra puspa-puspa di desa
penuh budi dalam kepapaan harta.
Semua bermesra!
Pemergian Salmi Manja di usia 86 tahun kerana sakit tua menutup satu lagi lembaran kepenyairan negara ini yang pernah manis. Dalam bidang kesusasteraan yang didominasi kaum lelaki, Salmi hadir dan berkuasa dalam daerahnya.
Sayang Salmi tidak begitu banyak berkarya. Akan tetapi ya, bukan jumlah yang penting kadang-kadang; tetapi mutu dan kekuatannya. Itu ada pada kerja Salmi Manja, sedikit tetapi berkuasa. Sayang lagi sayang sumbangan beliau yang penuh bunga ini terabai.
Karya Salmi Manja tidak harus tenggelam karam, apatah lagi hanyut merata. Ia harus kekal membakar, menyalai kesejahteraan manusia dengan penuh hemah. Moga-moga karya beliau yang beberapa ini akan menemui penerbitan semula. Amin Ilahi Amin.
Agar jasa arwah berkumandang pahala secara abadi.
Al-Fatihah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.