Wartawan balas budi

Wartawan balas budi

Sepetang bersama pasangan diraja raikan lebih 100 legenda sukan negara dalam majlis Sports Flame.

Kewartawanan bukan pun satu kerjaya yang menjanjikan kekayaan mahupun kemasyhuran, sebaliknya empat wartawan veteran inilah antara yang banyak menjadikan atlet negara sebagai idola masyarakat, suri teladan dan terkenal hingga ke akhir hayat menerusi hasil penulisan mereka.

Tidak pernah dilakukan pada era sebelum mereka, gandingan George Das, 77, R Velu, 73, Fauzi Omar, 68, dan Lazarus Rokk, 68, yang merupakan nama-nama besar dalam kewartawanan sukan di antara 1971 dan 2006 – pengalaman mereka dalam melaporkan sukan negara melebihi 100 tahun jika dgabungkan – memilih untuk membalas budi legenda sukan negara atas cerita kegemilangan, drama, dan air mata yang dikongsi mereka.

Daripada idea asal mereka untuk menganjurkan majlis bertemu mesra secara kecil-kecilan yang dinamakan “Sports Flame” pada 2011, ia kemudian menjadi acara tahunan bagi keempat-empatnya meraikan atlet, jurulatih dan pegawai dari era 1960-an, 70-an dan awal 80-an. Mereka yang membiayai sendiri acara berkenaan harus tidak pernah terduga yang ia suatu hari akan menjadi satu majlis gala.

Berbanding dahulunya ia satu acara skala kecil, petang esok pula satu perhimpunan santai Sports Flame akan berlangsung pada skala lebih besar yang akan turut diserikan oleh keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Hotel Concorde Kuala Lumpur. Acara ini turut disokong oleh FMT.

Kira-kira 120 nama besar, yang kebanyakannya kita tidak dengar, tidak lihat, dan tidak lagi baca tentang mereka, akan menghadiri satu majlis yang luar biasa, terikat oleh kecintaan mereka terhadap sukan dan juga kepada satu sama lain baik sebagai kawan mahupun lawan suatu masa dahulu.

Tentunya bahagian yang menyeronokkan adalah apabila rakan sepasukan dan pesaing bertemu selepas sekian lama, dengan beberapa daripada mereka memakai blazer lama dari Sukan Olimpik, Sukan Asia, dan hoki Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur. Edisi pertama Sports Flame menyaksikan bekas pemain daripada skuad hoki Piala Dunia 1975 bertemu pemain India, Aslam Sher Khan – bermain di posisi pertahanan yang menyingkirkan negara tuan rumah daripada mara ke final – buat pertama kali selepas 36 tahun.

Sports Flame idea yang diusulkan Velu kepada Das selepas pemergian legenda hoki dan pentadbir sukan terbilang, Ho Koh Chye, pada 2008. Apa yang asalnya satu perjumpaan makan malam 10 personaliti sukan berbeza setiap bulan berkembang menjadi tujuh edisi tahunan yang santai dan mesra. Ia melibatkan kira-kira 100 ikon, termasuk beberapa nama terkenal dalam kalangan peminat tempatan dari Singapura, Indonesia, dan India.

Fauzi menyimpulkan: “Tujuannya ialah untuk mengimbau kenangan paling berharga bekas-bekas atlet negara dari era 60-an hingga awal 80-an. Selepas berfikir lebih mendalam, akhirnya kami buat keputusan untuk menghimpunkan kira-kira 100 personaliti sukan dalam satu majlis tahunan.

“Kami ingin berkongsi keterujaan kami menulis tentang jaguh-jaguh sukan ini sepanjang kami bergiat dalam bidang ini. Tanpa mereka siapalah kami, lebih-lebih lagi selepas segala kejayaan yang dikecapi untuk negara, mereka ini umpama golongan yang dilupakan,” tambahnya.

Das, yang bermula sebagai wartawan sukan pada 1971 mewakili rakan-rakannya mengakui tugas mereka membuat liputan mungkin perlahan. Namun, dengan kepercayaan yang terjalin, pelopor sukan menjadi kawan. Bersama-sama, mereka membantu membina sentimen kebangsaan hingga membuatkan orang ramai berasa dekat dengan tujuan dan kebanggaan yang sama. Persahabatan inilah yang mencipta sesuatu yang sangat erat, penuh keinsanan, dan segemilang sukan melalui Sports Flame.

“Kami memulakan Sports Flame untuk memberi penghormatan kepada personaliti berkenaan, terutama dari tahun 70-an, dan termasuk beberapa dari tahun 60-an dan awal 80-an. Merekalah yang membuat tugas liputan kami menyeronokkan,”kata Das.

“Sukan mengeratkan kami,” kata Velu pula. “Mereka bukan orang yang anda pernah temu bual dan lupakan kemudian. Sports Flame menyediakan satu platform untuk memperbaharui persahabatan, dan sebahagian mereka begitu bersemangat untuk melakukan ini sehingga mereka menawarkan diri untuk menyumbang bagi membantu pembiayaannya.”

Dalam pada itu, sukan sentiasa menjadi sebahagian penting dalam tempoh lima tahun Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, sama ada dengan menghadiri pertandingan untuk memberi sokongan atau menyantuni personaliti sukan di Istana Negara. Januari lalu, anggota skuad juara Piala Thomas 1967 diraikan dalam satu majlis minum petang. Turut diraikan bulan lalu ialah veteran hoki, termasuk anggota skuad Piala Dunia 1975 yang dianjurkan Malaysia.

“Yang di-Pertuan Agong sendiri adalah seorang bekas ahli sukan dan pentadbir sukan. Keberangkatan baginda ke acara Sports Flame kali ini juga sebagai seorang rakan. Kami melihatnya sebagai satu kesempatan buat legenda sukan negara masa lalu mengucapkan selamat berangkat pulang ke Pahang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong (tempoh Al-Sultan Abdullah di Istana Negara akan berakhir pada 30 Jan),” kata Rokk.

Sejurus berita mengenainya tersiar, ramai bekas atlet dari era 1960-an, 70-an, dan awal 80-an yang menghubungi penganjur bagi menyatakan minat menghadirinya tapi terpaksa akur bahawa tempat adalah terhad.

Fauzi menambah sejarah legenda berkenaan satu hamparan yang kaya dengan kehidupan sukan yang bagi mereka wahana ekspresi, kesetiaan kepada sukan, dan tanggungjawab kepada negara.

“Kami membina persahabatan atas ikatan pengalaman yang dikongsi bersama dalam kehidupan peribadi dan profesional,” katanya. “Kami tidak akan menjadi sesiapa dalam kewartawanan sukan tanpa mereka.”

Untuk mengabadikan wira-wira sukan Malaysia yang gemilang pada masa lalu atas pengorbanan dan kehebatan mereka, Das dan kumpulannya turut mengendalikan mysportsflame.com.

Pada 2018, mereka menghasilkan sebuah buku, “Sports Flame – Stories Never Told Before”, yang ditulis oleh beberapa legenda dan penulis sukan terkenal, yang kesemuanya menulis tentang pengalaman sendiri.

“Ini (majlis Sports Flame petang esok) cara kami mengucapkan terima kasih kepada veteran sukan negara dan menunjukkan bahawa penulis sukan dari era mereka tidak melupakan mereka. Sports Flame juga mengenai rasa bangga mencapai impian di peringkat tertinggi, mengharungi cabaran yang datang bersamanya, dan membawa kegemilangan kepada Malaysia,” tambah Das menutup cerita.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.