Lambat kahwin rujuklah kerajaan

Lambat kahwin rujuklah kerajaan

Wakil rakyat PAS baru-baru ini lontar cadangan kepada kerajaan supaya beri 'sokongan moral' kepada golongan lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lambat berkahwin.

Kalau wanita kahwin lambat adakah ia satu masalah besar? Jika ikut pandangan Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS, begitulah gamaknya. Ia masalah besar. Adakah wanita lambat kahwin membimbangkan? Kalau ikut Tuan Ibrahim, iya.

“Saya melahirkan kebimbangan dalam peningkatan rakyat Malaysia yang disebut istilah ‘bujang senja’ yang lambat kahwin,” kata beliau ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Parlimen 22 Nov lalu.

Menurut Tuan Ibrahim, laporan bancian penduduk Malaysia pada 2010 menunjukkan 5.56 juta rakyat berumur 30 tahun ke atas belum berkahwin, dan membuat keputusan sama ada untuk berkahwin lambat atau langsung tidak mahu kahwin. Kata beliau daripada jumlah itu 4.8 juta wanita. Beliau bagaimanapun tidak memberi pecahan mengikut bangsa dan agama.

Lalu beliau melontar cadangan kepada kerajaan supaya memberi ‘sokongan moral’ kepada golongan lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lambat atau lewat berkahwin.

“Negara kita ini sensitif soal poligami. Bila sebut poligami macam buat jenayah. Saya fikir kementerian (pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) mesti rasional dalam isu ini di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan, boleh berlaku adil satu sokongan moral perlu diberi.”

Ertinya Tuan Ibrahim menggalakkan lelaki (yang menepati kriteria yang beliau sebut tadi) supaya berkahwin lebih daripada satu, atau penuhi kuota isteri. Begitu?

Apa pun Tuan Ibrahim tidak memberitahu apakah ‘sokongan moral’ yang beliau mahu kerajaan berikan kepada lelaki untuk berpoligami. Adakah kerajaan mesti mengorak langkah mencarikan pasangan untuk si lelaki yang mahu isteri lebih daripada satu? Atau sekadar beri nasihat dan encouragement supaya mereka berpoligami?

Seandai kerajaan berbuat demikian ia akan mendapat tauliah sebagai kerajaan pertama dalam dunia yang menggalakkan rakyatnya berpoligami. Satu pencapaian yang tidak akan boleh dicapai mana-mana kerajaan. Mungkin berpoligami boleh diibaratkan suatu cabang khidmat negara?

Bagaimana pula wanita yang suaminya sudah mendapat sokongan moral lantas bersedia berpoligami? Adakah tanggungjawab kerajaan juga untuk menyakinkan mereka mengizinkan suami mengambil seorang lagi isteri, demi menolong wanita ‘bujang senja’?

Poligami diizinkan Islam. Ada pihak berpendapat poligami boleh membawa kebahagiaan rumah tangga namun ada yang melihat poligami sebagai sesuatu yang boleh meruntuhkan rurmah tangga. Benar ada wanita yang dengan rela hati memberi izin kepada suami berkahwin seorang lagi. Syurga tempat kamu, kata sang suami. Ada wanita yang melepaskan suami berpoligami atas sebab tertentu tetapi hakikatnya tidak rela. Perasaan dipendam dalam hati dan majoriti wanita tidak mahu suami berkahwin lagi. Mereka tidak mahu berkongsi suami dengan si madu.

Adakah tanggungjawab kerajaan juga untuk menyakinkan mereka mengizinkan suami mereka mengambil seorang lagi isteri?

Bagaimana pula wanita yang mahu dikahwinkan? Adakah kerajaan juga mesti memujuk mereka menerima lelaki yang sudah beristeri untuk menjadi suami? Pujuk mereka berkongsi suami hanya kerana mereka belum berkahwin walaupun sudah lanjut usia?

Menurut Tuan Ibrahim, rakyat yang belum atau tidak mahu berkahwin membuat keputusan atas sebab masalah kewangan, tiada calon sesuai, dan kerjaya. Adakah kerajaan mesti menyelesaikan isu itu? Jika iya hebat betul expectation Tuan Ibrahim (baca: PAS) ke atas kerajaan. ‘Hadiah’ daripada PAS kepada kerajaan sempena ulangtahun pertama mungkin?

Bagaimana lelaki yang dalam lingkungan bujang senja yang belum beristeri? Sayang Tuan Ibrahim tidak memberi cadangan macam mana masalah mereka boleh diatasi. Itu semua bagi orang Islam.

Bagaimana pula orang bukan Islam? Pasti dalam statistik yang Tuan Ibrahim huraikan tadi ada juga bilangan orang bukan Islam lelaki dan wanita yang belum berumah tangga meskipun sudah melebihi usia 30 tahun. Apa solution untuk mereka? Perlukah solution untuk mereka?

Untuk berlaku adil perlu dinyatakan Tuan Ibrahim semasa membuat cadangannya berkata isunya bukan soal poligami, sebaliknya peranan kerajaan menyelesaikan ‘masalah’ rakyat belum kahwin. Beliau mengakui cadanganya bukan penyelesaian muktamad. Kata beliau, “ini sekadar untuk dipertimbangkan kementerian mencari jalan (untuk ‘masalah’ ini).

Bagi saya cadangan itu tidak patut dibawa ke Parlimen in the first place. Bukan urusan kerajaan memberi ‘sokongan moral’ untuk memastikan atau membantu rakyatnya yang lambat kahwin supaya bernikah segera.

Pada penghujung ucapan Tuan Ibrahim, Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk Tampin, Mohd Isam Mohd Isa, mencelah dan bertanya “Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) satu ke dua?” Kita faham apa yang dimaksudkan. Jawab Tuan Ibrahim “walaupun saya masih satu, ada tiga lagi masih kosong.” Jelas yang bertanya dan yang menjawab bergurau. ‘Jenaka’ mereka disambut gelak ketawa ramai YB yang berada dalam Dewan ketika itu.

Poligami perkara serius. Namun sering disuntikkan dengan unsur lucu serta gurau senda yang bukan semua orang terima sebagai kelakar. Jika mahu elemen kelakar dalam soal poligami saya syorkan ulang tonton kisah Abang Jamil dalam filem Madu Tiga arahan P Ramlee. Hayati juga lagunya terutama lirik yang berbunyi: “Mesti pandai pembohong mesti pandai temberang tetapi jangan sampai hai pecah temberang.”

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.