
12 Oktober adalah Hari Penglihatan Sedunia. Untuk beberapa hari ini saya menguliti buku berjudul ‘Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU’ yang merupakan tulisan seorang aktivis OKU bernama Mohd Rosli Ibrahim.
Nama Rosli agak terkenal khusus di kuliah-kuliah jalanan di Youtube. Beliau dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan namun matanya tidaklah seluruhnya tidak nampak. Rosli mempunyai penglihatan terhad, iaitu dari segi medan penglihatan atau jarak.
Berasal dari Kelantan, ibu bapa Rosli yang mengetahui pentingnya pendidikan berusaha menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru. Ketika masih anak-anak, bapanya suka membawa pulang buku-buku yang dibuang dan dari situ minat membaca beliau menyala.
Dalam satu laporan yang pernah saya baca, Rosli pernah mengungkapkan persoalan penghormatan untuk masyarakat OKU. Kata beliau jika masyarakat berupaya menghormati OKU maka ia masyarakat yang sebenar cantik. Minat membaca itu kemudian menumbuh menjadi penulisan. Antara karya beliau sebelumnya adalah ‘O.K.U Bangkit’ dan ‘Gelap Mata’. Perlahan-lahan juga oleh kesabarannya membaca Rosli menekuni subjek OKU dalam kebudayaan Melayu dan Islam. Apa yang beliau cerna sebahagian besarnya terdampar dalam ‘Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU’.
Buku ini mengandungi 31 bab-bab pendek semuanya seputar nasib OKU yang tersisih. Suara Rosli lirih tetapi bersipongang. Dalam sebuah karangannya Rosli mempertikaikan mengapa budaya di Kelantan, dan Terengganu tidak memandang sedikit pun terhadap OKU. Bahkan menurut beliau dalam kerangka Kelantan, orang OKU disebut ‘tok fakir’ yang sebetulnya menggambarkan betapa rendahnya martabat mereka.
Teguran dan kritikan Rosli anak kelahiran Pasir Mas terhadap ‘Kerajaan Islam Kelantan’ amat berbisa. Misalnya beliau mengulas kata-kata seorang agamawan dari negeri tersebut yang mengejek perihal longkang tidak bertutup di Kota Bharu dengan alasan ‘longkang bukan aurat’. Kenyataan ini dikeluarkan dalam sebuah ceramah di Dewan Kompleks MAB pada 2011.
Apabila Kota Bharu diisytiharkan sebagai ‘bandar raya Islam’ Rosli menempik keras dan menempelak dalam tulisannya betapa bandar itu tidak pun mesra OKU justeru apa yang Islaminya.
Catatan Rosli begini:
“Saya mempertikaikan pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam yang jelas tidak mematuhi spesifikasi Bangunan Seragam. Longkang-longkang tidak ditutup dengan rapi. Namun seorang agamawan pula memberikan reaksi balas terhadap kritikan tersebut, dengan hujah bahawa longkang bukanlah aurat yang perlu ditutup. Kesimpulan yang boleh dianalisis daripada tulisan di atas adalah:
1. Jika potensi seekor anjing digilap sepenuhnya ia mampu memberikan faedah kepada manusia, apa lagi jika potensi OKU (seorang manusia) disuburkan selayaknya. Maka ia bakal menghasilkan pulangan kepada masyarakat.
2. Kerajaan melayani NGO-NGO OKU seperti ‘anjing’. NGO OKU hanya diberikan geran pengurusan. Berpeluang menghadiri sambutan hari OKU tetapi segala tuntutan dan cadangan NGO OKU dicampak ke dalam tong sampah.
3. Dalam keadaan masyarakat yang masih kurang peka membantu OKU penglihatan dalam mobiliti harian, anjing dapat dijadikan alternatif masa hadapan dalam mengimbangi kesedaran awam yang statik.
4. Kebolehcapaian perkhidmatan awam merupakan asas-asas utama dalam mengupayakan kehidupan seharian OKU dalam kehidupan mereka.
5. Kesan negatif jika tidak mematuhi spesifikasi Bangunan Seragam ialah kemungkinan berlakunya kemalangan dan kecederaan fizikal kepada semua orang.”
Tulis Rosli lagi, Allah sedang “menguji gerakan Islam dengan sedikit kuasa di Kelantan, namun mengapakah tidak ada apa-apa dasar khusus berkaitan OKU di negeri tersebut?”
Dalam satu tulisan lain beliau malah mengingatkan betapa, “negara haram Israel antara negara yang mempunyai perlindungan undang-undang terhadap OKU.”
Tidak malukah Malaysia, atau secara khusus apa yang disentuh aktivis OKU ini ialah negeri diperintah sebuah parti Islam. Jika negeri Yahudi boleh meladeni OKU dengan baik mengapa tidak kita yang terpaling Islam?
Dalam sebuah tulisan yang lain, begitu perit dan sedih sekali membaca Rosli pernah tidak bersembahyang Jumaat untuk satu tempoh yang lama kerana prasarana ibadat di negara ini sama sekali tidak menjadikan orang cacat penglihatan dan OKU secara umumnya sebagai setaraf.
Sulit untuk Rosli menunaikan ibadah solat Jumaat kerana untuk tiba di masjid sendiri terlalu rumit dek sikap masyarakat, dan ketidaksemenggahan bangunan masjid yang indah tetapi tidak mesra OKU.
Rosli mengejutkan apabila memberitahu masyarakat Malaysia amat jauh dari kecantikan sebenar. Sikap kita sama sekali tidak mengendahkan posisi orang OKU. Dalam hal ini Rosli menulis;
“Masyarakat yang tidak mempedulikan OKU akan menterjemahkan sikap mereka dengan membina bangunan-bangunan yang tidak memenuhi keperluan OKU. Inilah caranya masyarakat melakukan penyisihan sosial terhadap OKU. Mungkin ramai orang tidak menyedari bahawa apabila sebuah bangunan dibina dalam keadaan tidak mesra OKU, ia akan menghalang OKU terlibat secara berkesan dalam masyarakat.”
Azab dari itu Rosli mengungkap kembali pengalaman OKU cacat penglihatan yang berniaga rumah ke rumah dan diusir serta terjepit jari di pintu. Bahkan ada dalam kalangan OKU ditahan dan ditelanjangkan di dalam lokap.
Ada banyak pengalaman dan ilmu baharu daripada Rosli yang beliau tuangkan di dalam buku ini dengan penuh mantap dan keyakinan. Membaca “Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU” mencelikkan kita akan sikap terhadap minoriti yang sepatutnya diberikan hak asasi setaraf mereka yang ‘chantek’.
Membaca buku ini mendatangkan keinsafan. Rosli menggariskan tujuh kelompok dalam masyarakat yang sepatutnya berperanan mengupayakan OKU tetapi dalam banyak keadaan memilih menjadi halangan. Kumpulan itu ada dalam kalangan kita.
Iaitu menurut Rosli, “masyarakat awam yang sebati dengan paradigma simpati”; keduanya, kelompok media yang membawa “watak sebagai pelahap bangkai paling licik”; juga “ahli politik” yang kata Rosli “memanipulasi segala isu untuk kepentingan kemandirian sendiri”.
Rosli juga menitik kelompok agamawan yang kata beliau; “para peniaga candu ‘sabar’ dan ‘takdir’ yang menyamar bagaikan malaikat rahmat”. Sekali dengan mereka para pendukung ‘gerakan Islam’ yang “masih terlalu mabuk dengan slogan-slogan kudus, tetapi tidak turun ke lapangan mendekati isu secara menyeluruh”.
Rosli turut menyelar kelompok aliran kiri yang “larut dalam dogma-dogma bahasa baku Marxisme yang tidak merakyatkan”; akhir sekali catat Rosli adalah para aktivis yang memilih untuk “tidak ada jaringan sesama sendiri”. Tambah Rosli, aktivis ini “masing-masing ‘merasa hebat’ dengan apa yang mereka perjuangkan” dan “tidak ambil peduli dengan apa-apa di luar tempurung perjuangan mereka”.
Menatap buku karya Rosli ini amat menggugah. Ia meninggalkan kesan berpanjangan. Muatan buku ini sebetulnya sangat melongokan. Tulisan Rosli disulami ayat puitis dan fakta menggigit mendorong kita terus-terusan membaca tanpa sedar ke halaman akhir.
Tahniah Soeloeh Merdeka di bawah Kawah Buku yang berani menerbitkan karya ini. Sejujurnya orang seperti Rosli sangat kita perlukan di tengah masyarakat yang perlu disedarkan perangai dan ‘kechantekan’ mereka.
Saya jujur mengatakan, orang seperti Rosli inilah yang wajar diangkat menjadi senator dan memperjuangkan nasib masyarakat, baik berupaya mahupun kurang upaya; bukan mereka yang plastik memperjuangkan hak sepihak.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.