
Pengalaman seorang penulis bola sepak tempatan harus tidak lengkap tanpa membuat liputan satu perlawanan di Stadium Kubu di kemuncak kegemilangan pasukan Melaka dalam Liga Malaysia pada musim 1983.
Stadium dibina pada 1954 dengan berkapasiti 15,000 itu memberi pengalaman unik yang benar-benar menguji kecekalan seorang wartawan di tengah-tengah suasana hiruk-pikuk, termasuk penonton yang tidak henti-henti menyakat.
“Hoi reporter! Tulis baik-baik ya. Jangan nak macam-macam,” pekikan yang sudah terbiasa daripada penonton yang duduk terlalu rapat dengan satu meja panjang dengan susunan kerusi berhimpit-himpit untuk wartawan bertugas, yang sering disorakkan, “Ini Melaka tau. Jangan nak cari pasal dengan ‘team’ ini.”
Jarang stadium dengan tempat duduk tangga kambing itu tidak dipenuhi hingga ke maksimum. Penonton sudah pun berpusu-pusu masuk tiga jam sebelum sepak mula pada jam 5 petang, dengan beribu-ribu lagi yang ketiadaan tiket terpaksa berlegar-legar di luar saja pada 1983 itu.
Bertitik-tolak daripada tangga kesembilan pada musim sulung liga pada 1982, Ketua Menteri Mohd Adib Adam, yang juga presiden Persatuan Bolasepak Amatur Melaka (MAFA) ketika itu, mengilhamkan kebangkitan pasukan negeri dengan himpunan pemain terbaik.
Menyusuli kepulangan kapten kebangsaan, Soh Chin Ann, dari pasukan Selangor pada 1979 serta Ramli Junit (Selangor) dan G Torairaju (Negeri Sembilan), skuad negeri diperkuatkan oleh anak tempatan, antaranya Wong Kou Fou, Ng Kim Soon, Lim Chuan Chin, Rahim Abdullah, Jantan Ali, Othman Bakar, Hashim Marman, Akop Itam, Azmi Hassan, Mahazir Taha, A. Narayan, Hwan Ee Fat, dan Zainal Nordin.
Bekas penyerang, Azmi, mengungkapkan: “Keprihatinan dan kesungguhan (Adib) melihat Melaka maju dalam bola sepak membakar semangat pemain yang ketika itu dibarisi anak jati Hang Tuah. Kami bermain habis-habisan untuk memastikan Melaka berada dalam kelompok teratas liga.”
Di bawah bimbingan jurulatih yang mesra dipanggil Cikgu Halim Darimi, Melaka muncul juara Liga Malaysia 1983 yang ditandingi 16 pasukan dengan mengutip 22 mata – cuma satu mata mengatasi juara bertahan, Pulau Pinang.
Dari situlah saya mengenali Chin Ann, seorang pemain yang bersahaja dan tenang, namun pantas memintas dan melakukan sepakan deras di muka gawang walaupun sebagai pemain pertahanan hingga kelibatnya sentiasa digeruni pasukan lawan.
Kerjaya antarabangsanya bermula pada usia 19 tahun di Kejohanan Piala Raja Thai pada 1969, yang berkesudahan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf rekod penampilan antarabangsanya dalam 195 perlawanan kategori A – ketiga tertinggi di belakang Cristiano Ronaldo (200) dan bekas penyerang Kuwait, Bader Ahmed Al-Mutawa (196).
Malah, dia memiliki jumlah caps tertinggi dengan 195 penampilannya itu sehingga Bader Ahmed memintasnya pada 2022.
Persaraannya pada 1984 memahatkan namanya sebagai satu-satunya pemain yang mewakili skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik Munich 1972, di samping menjadi kapten barisan ke Sukan Olimpik Moscow 1980, yang bagaimanapun diboikot Malaysia berikutan pencerobohan tentera Soviet di Afghanistan.
Jurulatih skuad ke Munich itu, Jalil Che Din, adalah orang yang memberikannya gelaran ‘Tauke’ kerana ketenangannya beraksi di atas padang.
“Sewaktu saya bermain, jurulatih mengatakan saya terlalu bersahaja hingga apabila saya dapat bola, saya seolah-olah tak pedulikan pemain lain… hingga mereka kata saya dah macam tauke (bos),” dia dipetik berkata.
Di antara kedua-dua Sukan Olimpik itu, Chin Ann turut berperanan penting dalam memenangkan Malaysia pingat gangsa bola sepak Sukan Asia Tehran 1974 – kejayaan terbesar Harimau Malaya hingga ke hari ini.
Barisan di Tehran itu menampilkan R Arumugam, Hanafiah Ali, Wong Kou Fou, P Umaparam, M Chandran, Soh Chin Ann, Shukor Salleh, Wan Zawawi, Ali Bakar, Mohamed Bakar, Syed Ahmad, Mokhtar Dahari, Isa Bakar, Harun Jusoh, Namat Abdullah dan Santokh Singh.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C, tewas 3-8 kepada Israel, seri 1-1 dengan Jepun, dan kemudian membelasah Filipina 11-0. Mara ke Kumpulan 1 separuh akhir, Malaysia tewas 0-1 kepada tuan rumah, Iran, seri 0-0 dengan Iraq dan menewaskan Korea Selatan 3-2. Dalam penentuan pingat gangsa, Malaysia menewaskan Korea Utara 2-1 hasil kedua-dua gol Isa Bakar (minit 48, 81).
Deretan kejayaan lain turut diraih Chin Ann daripada pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979, juara Pestabola Merdeka – ketika itu kejohanan jemputan tertua dan terbesar di Asia – 1973, 1974, 1976 dan 1979 hinggalah kepada juara Piala Raja Thai tiga kali pada 1972, 1976 dan 1978.
Pernah dalam Pestabola Merdeka 1980, Malaysia yang diketuainya ketinggalan 0-1 kepada Korea Selatan; menyaksikan dia meninggalkan posisinya di pertahanan untuk naik membantu serangan dan menjaringkan gol penyamaan 1-1 hingga tamat.
Kejayaan peribadi Chin Ann pula merangkumi status selaku pemain bola sepak lelaki pertama di dunia membuat 200 penampilan atau lebih dalam perlawanan antarabangsa, pemain dengan ‘caps’ terbanyak pada abad ke-20, dan pemain Asia pertama mencapai 100 atau lebih kemenangan untuk pasukan kebangsaan.
Keanggotaan dalam Barisan Bintang-bintang Piala Asia 1980, Barisan Bintang-bintang Asia 1982, Kelab Abad AFC 1999, Dewan Kemasyhuran Asia 2014, Kesebelasan Terbaik Sepanjang Zaman Goal.com 2020 dan Pasukan Impian Malaysia IFFHS 2022; semua turut dikecapi.
Anehnya, di sebalik segala kemasyhuran itu, Chin Ann, sehingga selewat tahun 2000, dilaporkan tidak faham mengapa namanya disalah eja oleh media sebagai “Soh Chin Aun” hingga dia terpaksa menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti untuk membetulkannya.
Ada sisi berbeza yang menyerlahkannya sebagai pemain berjersi nombor 3 yang hanya berstokin hingga ke paras buku lali. Di sebalik tidak biasa menggunakan pelindung keting sepanjang tempohnya bermain, dia tidak pernah pula mengalami kecederaan serius kecuali luka kecil dan calar-balar.
Habuan kewangan juga bukan dorongan utamanya sambil mendedahkan elaun latihan hariannya ketika mewakili Selangor (1971–1978), hanya kira-kira RM2 hingga RM5 tetapi ia tidak membuat dia dan rakan sepasukannya merungut atau berasa kecewa.
“Ketika mewakili Malaysia pun, kami hanya menerima elaun RM10 untuk satu perlawanan dan jika beraksi di gelanggang sendiri, dapat RM5. Tetapi ia bukan alasan atau halangan untuk kami beraksi bermati-matian demi nama negara,” katanya dalam satu laporan Berita Harian bertarikh 29 September 2015.
Dalam sejarah bola sepak Malaysia, Chin Ann kekal sebagai satu nama yang tidak akan luput ditelan peredaran masa di samping imejnya yang mekar terhadap kemahiran, kesungguhan, kecekalan, dan aura kepemimpinannya.
“Bukan mudah untuk mewakili negara. Kami terpaksa bekerja keras dan banyak berkorban untuk mendapatkan tempat dalam pasukan. Dengan lencana kebangsaan di dada, ia adalah satu rasa yang tidak dapat dilupakan.
“Saya harap pemain muda hari ini akan bekerja keras dan menaikkan semangat juang untuk memartabatkan negara di persada antarabangsa,” katanya seperti dipetik akhbar British, Daily Express.
Pesannya kepada pemain-pemain hari ini dalam mengusahakan peningkatan ialah supaya sentiasa menanamkan sifat bencikan kekalahan.
“Saya bermain untuk menang. Jika tewas lebih 2-0, kami akan dikutuk dan dikritik hebat oleh penyokong. Kami tidak akan keluar rumah hampir seminggu sehingga kami tidak mampu untuk keluar ke kedai kopi sekalipun,” katanya.
Hari ini (Jumaat 28 Julai), Chin Ann genap berusia 73 tahun. Selamat hari jadi, Tauke!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.