Aku, Melanau Mukah

Aku, Melanau Mukah

Balik-balik petaknya adalah bangsa Balik-balik kotaknya adalah agama. Banyak keadaan sebetulnya, ia mengenai darjat.

Namaku Hailee, orang Melanau dari Mukah, Sarawak. Sesama kami, merujuk diri sendiri sebagai a-likow atau orang kawasan sungai.

Sebagai orang Melanau aku berbangga. Mana tidaknya, orang Melanau adalah antara penduduk asal negeri Sarawak. Melanau bukan calang-calang bangsa. Suatu masa yang lampau kami pernah menguasai kawasan pesisiran pantai Sarawak, termasuk Brunei.

Datukku pernah bercerita sebuah cerita yang menyayat hati. “Moyang kita dulu bangsa dipen dagen lebok”.

Apa itu Tok?” Tanyaku ghairah dengan mata menuntut. Balik-balik petaknya adalah bangsa. Balik-balik kotaknya adalah agama. Dalam banyak keadaan, sebetulnya ia mengenai darjat.

Datuk tidak segera menyahut. Hanya matanya berair. Dalam struktur masyarakat Melanau terdapat beberapa darjat dirujuk sebagai bangsa.

Yang pertama, tertinggi teratas dan termulia ialah “bangsa sembilan pikul” yang merupakan golongan bangsawan. Mereka berkahwin sesama mereka. Kuasa politik juga di tangan mereka, kekal berpengaruh dan selalunya orang kaya-kaya.

Kalau di rumah panjang dahulu kala, lokasi tempat rumah bangsa sembilan pikul ini adalah di kamar “a-matahei” yang berada di tengah. Jadinya, puak bangsawan ini berada di pusat.

Yang kedua, “bangsa tujuh pikul”. Masih kelas atasan. Mereka juga diberi kebebasan untuk melakukan apa jua urusan dalam kehidupan. Kadang-kali mereka dinamai “bumi atang”. Mereka ini orang dagang, pengeluar barang hutan dan agak rapat dengan orang atasan.

Yang ketiga pula “bangsa tujuh betirih”, kumpulan hamba dimerdekakan. Kelas bawah. Mereka bebas untuk mendirikan rumah, menerokai tanah dan mengendalikan urusan keluarga sendiri-sendiri, tetapi tiada kuasa politik dan ekonomi.

Aku menanti datuk mengatakan bahawa kami adalah bangsa tujuh betirih, atau turut dikenali sebagai “bangsa bumi giga”. Akan tetapi datuk tidak menyatakan apa-apa.

‘Kita yang keempat.’ Kata datuk, setelah hening agak lama.

‘Ada yang keempat setelah yang bawahan?’ Soalku naif.

Datuk mengangguk, “Bangsa dipen” atau “kulad benukan”. Bangsa untuk dihinjak.’

Aku terlongo. Balik-balik petaknya adalah bangsa. Balik-balik kotaknya adalah agama. Padahal dalam banyak keadaan, sebetulnya ia mengenai darjat.

Dalam masyarakat Melanau tradisional, kelompok “dipen” ini adalah hamba. “Dipen dagen lebok” adalah hamba sahaya yang terpaksa tinggal dengan tuannya. Sedang “dipen gak luar lebok” diizin untuk tinggal di kediaman sendiri.

“Bagaimana seseorang boleh menjadi hamba, datuk?”

Mata datuk kian berair: “Jika keturunan kita hamba, atau tidak mampu menjelaskan hutang, jatuh miskin dan akhir sekali kalau kita anak yatim piatu sebatang kara.”

“Itu sungguh tidak adil sekali. Bahawa manusia diangkat dan dijatuhkan oleh sistem buta.” Aku terkilan sekali.

Kemudian datang James Brooke. Pada tahun 1888, Inggeris menamatkan sistem perhambaan ini. Maka sejak itu, secara rasmi tiada lagi hamba.

Namun begitu beban psikologi Melanau dari bangsa dipen amat berat. Kata datuk, moyangku memilih untuk melawan sistem yang tidak adil ini.

“Moyangku pejuang? Bagaimana dia melakukannya?”

Datuk membalas sepatah, “Islam.”

Aku kian memahami: “Masuk Islam?”, tanyaku ingin mengesahkan.

Sekitar tahun 1846, kaum Melanau di Oya, Mukah, Igan dan Rejang sudah mulai mengambil budaya Melayu. Kami orang Melanau sudah memesrai pakaian Melayu, dan sudah ramai memeluk Islam.

Jadi begitulah, aku akhirnya menjadi Melayu. Walaupun sebetulnya aku Melanau.

Pegawai-pegawai Brooke kemudian membantu pengukuhan identiti Melanau sebagai Melayu. Ini kerana mereka dengan mudah mengelompokkan orang Islam sebagai Melayu. Semacam kalau Islam, tentulah Melayu. Demikian British memutuskan.

Hal ini misalnya pernah disinggung oleh J L Noakes dalam kajian lapangannya pada tahun 1949. Dalam tahun 1930an, orang Inggeris yang hilang sabar kerana bangsa Melanau kurang peduli dengan identiti khusus bangsa sendiri telah membantu proses penyerapan Melanau menjadi Melayu.

Ini untuk memudahkan Inggeris menentu-nentukan kepelbagaian etnik yang ada di Sarawak.

Tup-tup moyang menjadi Melayu. Anaknya juga senang-senang didakwa Melayu. Datukku makanya Melayu dan keturunan kami menjadi Melayu. Semata-mata kerana Islam.

Mereka leluhurku memeluk Islam kerana ingin merdeka. Meskipun hari ini, kemerdekaan itu masih jauh sekali.

Jadi Islam menjadi ketentuan. Balik-balik petaknya adalah bangsa. Balik-balik kotaknya adalah agama. Selalunya ia mengenai darjat.

Padahal nenekku, yang juga seorang Melanau, masih kuat meyakini roh jahat atau “ipok” akan berkeliaran ketika kilat sabung dan petir menyambar.

Nenek misalnya masih terlalu percaya kepada “Ipok kala” yang memberi keluarga rezeki, maka kerana itu upacara “kaul” (upacara berubat) harus dianjurkan.

Aku masih ingat nenek menceritakan yang dunia Melanau itu ada 15 lapis semuanya. Nenek memberitahuku, cucu tunggalnya, yang 7 lapis terletak di atas, 7 lapis lagi di bawah dan lapis yang didiami manusia ini adalah “likow dagan dua”, bumi yang kita huni.

Jadi alam itu sangat rumit. Alam itu juga ada aneka macam.

Hanya setelah nenek meninggal dunia barulah aku mengerti, nenek adalah seorang bomoh yang sering diundang untuk melakukan upacara “berbayoh”.

Maka itu menjelaskan mengapa di rumah datuk sering ada lilin, kemenyan, mayang pinang, bunga cempaka dan jarum.

Nenek dikatakan mempunyai kemampuan melihat roh jahat menerusi gendangnya. Kata datuk, kalau nenek bergelut dengan hantu ketika upacara berbayoh, nenek akan seperti ahli sihir yang mempunyai kemampuan menundukkan makhluk ngeri seperti Valak, dalam filem seram Hollywood.

“Bagaimana kita bebas daripada menjadi hamba?”

Datuk memandang mataku dalam-dalam.

“Apabila Mukah diserahkan kepada Brooke dalam tahun 1861. Kesultanan Brunei menyerahkan daerah ini kepada Inggeris, maka ketika itu ramai Melanau yang merupakan golongan bangsawan kehilangan darjat.”

Segala puji kepada Tuhan. Kalau tidak keturunanku adalah hamba dan disayahakan. Maka setelah kesultanan Brunei beredar, status tinggi dalam masyarakat Melanau diturunkan kepada bangsa pengiran.

Untuk mempertahankan keutuhan orang kelas-kelas di atas maka di pangkal nama diletakkan Awangku atau Dayang.

Oleh sebab keturunan kami beroleh kebebasan makanya moyang berhasil membuka kebun kecil-kecilan menanam sagu. Ketika era pendudukan Jepun sagu hasil titik peluh datuk menjadi punca rezeki sekeluarga.

Setelah Jepun kalah perang, Brooke kembali. Namun demikian orang Melanau telah memiliki kesedaran politik tinggi. Beberapa pertubuhan diasaskan dan digerakkan untuk menentang Brooke.

Pergerakan Pemuda Melayu ditubuhkan pada tahun 1946. Orang Melanau menyertainya serta-merta dianggap Melayu.

Cawangan pertubuhan ini merebak ke Daro, Igan, Matu, Mukah, Oya dan Dalat. Di Dalat malah terdapat sub-organisasi diberi nama Kelab Kesetiaan Dalat, manakala di Matu terdapat Kesetiaan Kaum Muda Matu.

Itulah detik mula Melayu dan Melanau berganding bahu melawan penjajah dan mengharapkan pemerintahan sendiri.

Aku melihat sejarah bangsaku bergerak. Arah mana ia bergerak?

Bila mana pada tahun 1958 Persatuan Melanau Sarawak ditubuhkan, ia mula-mula menghimpunkan orang Melanau di Sibu.

Ketika itu Melanau pelbagai kepercayaan agama ikut berhimpun dalam 1 wadah untuk membela nasib bangsa. Jawatankuasa pertama persatuan itu terdiri daripada mereka aneka latar belakang.

Ada nama seperti Benedict Epe, Ignatius Klumai, Charles Egek, Stephen Kule, William Yut, Phillip Atan dan Ambrose Dillah.

Persatuan ini ingin berperanan untuk mengelakkan perseteruan antara Melanau yang berlainan agama. Benar melelahkan. Balik-balik petaknya adalah bangsa. Balik-balik kotaknya adalah agama. Pada banyak ketika, keadaan sebetulnya adalah mengenai darjat.

Aku juga melihat bagaimana Melanau menyertai politik dengan ikut terlibat sama dalam parti politik pertama di Sarawak, iaitu SUPP atau Sarawak United People’s Party pada tahun 1959.

Akan tetapi kaum Melayu merasakan SUPP tidak cocok buat mereka, kerana SUPP lebih ramai dianggotai orang Cina. Ya, balik-balik petaknya adalah bangsa. Balik-balik kotaknya adalah agama. Banyak keadaan sebetulnya, ia mengenai darjat.

Maka Panas ditubuhkan pada tahun 1960, iaitu Parti Negara Sarawak. Ketika itu kaum Melanau tidak menyerlah di sini. Panas kononnya adalah untuk mempertahankan kepentingan politik, agama, dan ekonomi kaum Bumiputera.

Akan tetapi Melanau dari Bahagian Ketiga enggan menyertai Panas kerana terlihat parti itu dikuasai aristokrat Melayu. Banyak keadaan sebetulnya ia mengenai darjat.

Maka dalam tahun 1962, Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) didirikan pula. Antara pengasas utamanya adalah Abdul Rahman Ya’kub.

Sebahagian besar terlibat adalah orang Melanau dan Melayu dari Sibu. Mereka kebanyakannya adalah guru dan pegawai kerajaan.

Pada tahun 1963 itulah Perikatan memenangi pilihanraya dan Stephen Kalong Ningkan mengetuai kerajaan.

Dua orang Melanau terpilih dalam kabinet negeri yang pertama, iaitu Abdul Taib Mahmud dan Awang Hipni Pengiran Annu. Tidak lama kemudian, mendadak Ningkan dijatuhkan.

Akhir tahun 1966, Barjasa dan Panas mengambil keputusan untuk bergabung dengan nama baru Bumiputera. Ia dipimpin oleh Ikhwan Zaini, dan Taib Mahmud bertindak sebagai setiausaha agung.

Di situ bermula Melanau dan Melayu kian erat bergandingan. Langkah ini juga sebagai satu reaksi terhadap kepimpinan Ningkan yang dianggap tidak melindungi kaum Bumiputera dengan membenarkan orang Cina membeli tanah milik masyarakat peribumi.

Pada tahun 1970, Abdul Rahman Ya’kub menjadi ketua menteri Sarawak dan Taib Mahmud mengambil alih pada tahun 1981.

Jeniri Amir dalam “Masyarakat Melanau di Sarawak” (2015) menyatakan kepimpinan Abdul Rahman sempat mencipta keriuhan kerana dituduh “mengamalkan cauvinisme Melanau” atau “pro Melanau”.

Lihat, di mana-mana pun, petaknya adalah bangsa. Manakala kotaknya adalah agama. Orang lupa perseteruan sebenar ialah darjat.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.