
Oleh Moaz Nair
PAS dan Amanah masing-masing ada prinsip perjuangan mereka tersendiri dalam sistem demokrasi di negara ini. Namun demikian, PAS tidak perlu iri hati melihat tokoh-tokoh Amanah yang pernah dicemuh oleh PAS sebelum ini, kini berada dalam kerajaan persekutuan.
Tokoh Amanah yang dilantik sebagai menteri dan exco adalah mereka yang berkebolehan dan dianggap sebagai peneraju Islam progresif, sesuai dengan selera masyarakat Muslim di kurun ke-21.
PAS yang tidak mesra Amanah dan Pakatan Harapan (PH) akhir-akhir ini dilihat sudah mengubah haluan berpolitik dan ini memeningkan ahli parti dan penyokong bawahan. Mungkin juga bagi pemimpin atasan PAS, Umno sekarang sudah suci bersih.
Tiada akan licin katak puru, jika sentiasa berhujan sekalipun
PAS pada persepsi masyarakat amnya hanya menggunakan agama sebagai perhiasan politik. Ceramah PAS banyak berfokus kepada isu-isu agama dan mereka beranggapan bahawa lebih banyak dihiasi dengan agama maka lebih Islamik parti PAS. Tetapi kata pepatah Melayu, tiada akan licin katak puru, jika sentiasa berhujan sekalipun.
Sebelum PRU14, PAS pernah menyarankan supaya anggota Amanah menyertai DAP atau PKR jika Amanah mahu sangat bersekutu dengan mereka. Namun, Amanah dilihat oleh masyarakat sebagai sebuah parti yang lebih matang dalam pendekatan politik dan agama.
Parti ini berperanan sebagai sebuah parti tersendiri berasaskan al-Islam (to submit to what is essentially a scriptural but universal discipline) dan Islam sebagai tariq al-haya (way of life).
PAS pula tidak pernah disaran oleh Amanah untuk bersama atau menyertai Umno walaupun PAS dan Umno mewakili kaum yang sama.
Amanah membiarkan kedua-dua parti ini menentukan prinsip perjuangan mereka masing-masing. Tetapi akhir-akhir ini, mungkin kerana desakan politik, PAS dan Umno kelihatan sanggup bersama kerana mereka memusuhi PH. Luka lama antara Umno dengan PAS sanggup dilupakan kerana mahu mengejar kuasa politik.
Kini setelah PAS dan Umno tewas di peringkat persekutuan, kedua-dua parti ini sedang mencari pedoman bagaimana mereka boleh kekal relevan dalam arena politik tanah air.
PAS sekarang mengharapkan Umno dan nampaknya Umno pun mengharapkan PAS untuk meneruskan hayat politik mereka. Umno sudah tiada keyakinan lagi untuk bersama parti MCA dan MIC, dua buah parti yang bersama mereka sejak Merdeka.
Prinsip perjuangan parti selama ini sanggup digadai demi kepentingan kuasa dan politik. Tetapi dalam berpolitik tentu sekali hasrat mana-mana parti adalah untuk memenangi pilihan raya dan mendapat kuasa. Ini memang pun politik ala Machiavellian di mana matlamat itu menghalalkan cara.
Mungkin juga falsafah Barat ini tidak sesuai dengan pendekatan Islam, tetapi kini kelihatan sudah menjadi “halal” bagi PAS.
Pagar yang baik kerana kukuh ikatnya
Kata pepatah Melayu, pagar yang baik kerana kukuh ikatnya. Kendatipun begitu, “kahwin cerai” dalam politik memang pun menjadi kebiasaan bagi PAS. Prinsip in sudah pun tersimpang dari perjuangan asal PAS yang pernah dilaung-laungkan sebelum ini mahu bersendirian untuk “menegakkan Islam” kononnya.
PAS merupakan satu-satunya parti di negara ini yang tidak konsisten dalam persepakatan politik dan sering mengamalkan prinsip “bersatu dan bercerai” dalam perjuangannya.
PAS ditubuhkan pada 1951 setelah berpecah dengan Umno kerana mahukan sebuah parti yang berteraskan Islam.
Pada peringkat awal penubuhannya, PAS dilihat sebagai sebuah parti Melayu yang memperjuangkan hal ehwal Islam melebihi apa yang dilaksanakan oleh Umno. PAS pernah bersama Umno atau Barisan Nasional selepas tahun 1969 dan kemudian bercerai pada tahun 1978.
PAS pernah bersama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 tetapi gabungan ini dibubarkan pada tahun 1996 dan PAS tidak lagi bersama parti Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada 1998 pula PAS bersama DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia dalam Barisan Alternatif. Gabungan ini dibubarkan pada 2004 apabila PAS tidak sehaluan dengan DAP.
Pada 2008 PAS kembali bersama dengan DAP dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat.
PAS sekali lagi bercerai dengan gabungan ini pada tahun 2015 kerana tidak sehaluan dengan DAP dan Amanah. Mungkin selepas ini mudah-mudahan PAS akan melamar Umno pula untuk menubuhkan sebuah barisan pembangkang.
Jika ditakdirkan PAS telah bersama Pakatan Harapan sebelum PRU14, sudah tentu parti ini dapat menawan beberapa buah lagi negeri selain dari Kelantan dan Terengganu. Malangnya, PAS bermusuh dengan PH tetapi hasrat dan ramalan PAS yang Amanah dan PH akan kecundang dalam PRU14 tidak pula berbuah.
Alim bagai katak tepi air
PAS dilihat masih lagi berwawasan zaman feudal berbanding dengan parti Amanah yang sudah berjaya melangkah ke kurun 21.
PAS mahu golongan “ulama” – yang “alim” (berilmu) mengikut takrifan PAS – menerajui parti. Golongan yang alim di bidang bukan agama tidak mahu dianggap sebagai ulama. Ini tafsiran yang cukup lemah oleh pemimpin-pemimpin PAS sedangkan mereka dikatakan lebih arif tentang apa yang dimaksudkan alim atau ulama dalam bahasa Arab dan Islam.
Kerana gagal memahami konsep ini maka PAS berpecah lagi pada tahun 2016 dan ini telah banyak merugikan parti berkenaan. Dari segi agama mahupun politik langkah yang diambil oleh pemimpin PAS ini dilihat sebagai kurang matang atau kurang ilmu politik. Jangan nanti masyarakat memandang serong terhadap apa yang dikatakan “orang alim” dalam PAS – ibarat kata pepatah Melayu, alim katak tepi air.
Tentu sekali golongan yang alim di bidang lain dan beragama Islam juga ingin berpolitik, maka tertubuhlah Amanah.
Langkah ini tidak pun salah. Golongan ini jelas berparti berteraskan prinsip Islam. Mungkin pendekatan mereka agak berbeza sedikit – mereka berpendapat ummah mestilah menjadi progresif dengan bersandarkan Islam.
Malangnya, PAS pula berpendapat hanya golongan ulama yang berkiblat kepada agama sahaja harus diberi peranan memimpin. Pendapat feudalistik begini hanya boleh merugikan PAS dan anak bangsa.
Nyata sekali pendekatan feudalistik ini telah gagal di rata-rata negara Islam, termasuk di negara-negara Sunni dan Syiah. Kita lihat hanya kemunduruan, pergolakan dan tiada keseragaman dalam melaksanakan syariah Islam. Mereka gagal dan asyik berperang sesama sendiri. Umat Islam harus menerima hakikat ini.
Gejala buruk ini jangan disalahkan negara-negara bukan Islam tetapi umat Islam sendiri. Konflik sesama Muslim dan negara-negara Islam ini juga telah memberi imej buruk kepada seluruh umat bahawa “political Islam” telah menggagalkan Islam.
Ibarat kata, menang sorak parti tergadai; hangat tiada berapi, sejuk tiada berair.
Daun yang jatuh tak pernah membenci angin
Kenapa PAS berdendam sangat dengan Amanah, DAP dan tidak dengan MCA, MIC atau Gerakan sebelum PRU14? Kata pepatah Melayu, daun yang jatuh tak pernah membenci angin.
Sebenarnya PAS telah dipengaruhi mainan politik atau propaganda Umno yang ditiru bulat-bulat oleh mereka untuk mendapat simpati dan undi orang Melayu. Jika dilihat di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis tiada pun pengaruh DAP. Rentapan politik di sini hanya antara PAS dengan Umno.
Apakah sekarang dengan hasrat PAS berbaik dengan Umno akan melihat tiada lagi rentapan politik antara mereka di negeri-negeri ini?
Apakah mainan politik PAS dan Umno hanya untuk menggugat negeri-negeri yang dikuasai PH?
Diperhatikan, dengan tiba-tiba sahaja selepas PRU14 kempen PAS dan Umno dalam pilihan raya kecil di Sungai Kandis baru-baru ini berkisar tentang isu kaum dan agama. Kaum Cina (DAP) dijadikan sasaran mereka, kononnya kuasa Cina (kaum minoriti di negara ini) boleh menghakis kuasa orang Melayu dalam politik dan kedudukan agama Islam akan terancam.
Malah ada pula yang menyebut Kristian telah menguasai Putrajaya. Apakah ini semua dinamakan politik matang ala PAS dan politik kesejahteraan rakyat ala Umno? Politik benci membenci begini bukan ajaran mana-mana agama pun.
Batu kelikir jangan disangka intan
Bagi masyarakat Melayu jangan pula batu kelikir disangka intan. Sebenarnya terdapat orang Melayu Muslim sendiri yang tidak mahu PAS dan orang Melayu Muslim sendiri yang tidak mahu Umno.
Selama 61 tahun yang lepas musuh politik PAS ialah Umno dan musuh kuat Umno ialah PAS. PAS dan Umnolah yang akan berentap dalam pilihan raya di negeri-negeri dominasi Melayu. Kita tidak pernah mendengar kisah yang “DAP lawan PAS” di Terengganu atau di Kelantan.
Apabila Terengganu diperintah PAS (1999-2004), pemberian wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu bertukar menjadi wang ihsan kerana tidak mahu wang ini dibelanjakan untuk tujuan politik.
Wang royalti pula disalurkan kepada pemimpin Umno di Terengganu untuk pembangunan di bawah perancangan mereka sendiri.
Yang menukar status wang royalti ini bukan DAP tetapi Umno kerana Umno yang menguasai Putrajaya pada ketika itu. Akibat daripada kehilangan wang royalti ini ekonomi kerajaan PAS di Terengganu menjadi gawat. Kerajaan PAS di Terengganu tidak mempunyai kepakaran atau “kurang alim” untuk menjana ekonomi selain dari bergantung kepada wang royalti.
Justeru, kerajaan PAS Terengganu tidak dapat bertahan. PAS kalah dalam pilihanraya berikutnya. Apakah PAS sudah lupa “kezaliman” Umno ini? Malangnya tiba-tiba DAP pula yang dicemuh oleh PAS hari ini. Bukankah PAS pernah bersama DAP sebelum ini dan dalam ikatan pembangkang pada masa itu berjaya menang di beberapa buah negeri?
Sekarang apakah harapan yang ada pada PAS di peringkat nasional tanpa sokongan daripada PH? Apakah PAS mengharapkan Umno untuk membantu mereka di Terengganu dan Kelantan? Apakah PAS sanggup tidak berentap lagi dengan Umno jika diadakan pilihanraya di kedua-dua negeri ini?
DAP menentang hudud dan syariah, kata PAS sebelum PRU14. Habis, apakah Umno, MCA, MIC, Gerakan dan parti di Sabah dan Sarawak menyokong hudud dan syariah?
Kenapa hanya DAP dijadikan beg penumbuk PAS? Ini sebenarnya hanya mainan politik PAS. Malangnya PAS yang kurang cerdik dipermainkan oleh Umno pada ketika itu.
Pendekatan PAS menyerang DAP sedikit sebanyak berbau perkauman dan sikap sebegini tidak direstui Islam.
PAS sudah jauh menyimpang daripada apa yang diseru Islam tentang pentingnya perpaduan pelbagai kaum kerana langkah yang diambil PAS kini menjadi lebih kepada mainan politik daripada menurut tuntutan Islam.
Firman Allah: “… dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah, ayat 8)
Tiada dibawa orang sehilir semudik
Tiada dibawa orang sehilir semudik dan PAS akan menjadi parti yang tersisih, tersendiri dan mungkin hilang relevannya setelah PH berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.
PAS sekarang bertapak di Kelantan dan Terengganu namun gagal di negeri pantai barat, Sabah dan Sarawak.
Di Selangor, Pulau Pinang dan Johor PAS hanya mendapat satu kerusi dalam PRU14 dan ini petanda PAS ditolak di kebanyakan negeri.
Sedihnya, perpecahan PAS dan timbulnya Amanah sekarang adalah angkara pemimpin-pemimpin utama yang ada dalam PAS. Ego mereka terlalu besar sedangkan mereka ini kurang bijak berpolitik.
Mereka lebih terdorong kepada sentimen politik daripada agama. Air yang beriak tanda tak dalam, kata pepatah Melayu.
PAS memerlukan pemimpin yang lebih realistik dan faham akan siasah berteraskan Islam sebenar untuk mengubah nasib PAS dalam arena politik negara.
Mungkin sebaik-baik langkah yang PAS fikirkan sekarang adalah untuk bekerjasama dengan Umno biarpun prinsip perjuangan asal mereka tergadai, asalkan matlamat itu menghalalkan cara. Harap-harap jangan bakar air hendakkan abu, kerana kesal kemudian tiada gunanya.
Moaz Nair merupakan seorang pembaca FMT.
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.