
Perasaan tidak senang pada DAP mempunyai asal usul daripada pertelagahan antara Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew yang melibatkan Umno dan Perikatan dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang membawa kepada pemisahan Singapura daripada Malaysia. Lanjutan daripada itu, ia membawa kepada penubuhan DAP.
Kemunculan DAP sebagai pembela kepentingan kaum Cina diperkukuhkan dengan penyertaan bekas anggota Parti Buruh, selepas ia dibubarkan. Sebelum itu, Parti Buruh yang banyak dianggotai orang Cina bertelagah dengan Parti Rakyat yang ahlinya kebanyakannya orang Melayu.
Kedua-duanya bergabung di bawah Barisan Sosialis bagi berdepan Perikatan. Pertelagahan mengenai isu bahasa itu membawa perpecahan kepada Barisan Sosialis.
Parti Rakyat memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sementara Parti Buruh mengkehendaki bahasa Mandarin turut diiktiraf sebagai bahasa rasmi.
Selepas pembubaran Parti Buruh, sebahagian anggotanya bersama bekas ahli MCA daripada kalangan pengikut Tun Lim Chong Eu yang kalah pemilihan telah bersama Profesor Syed Hussein Al-Attas menubuhkan Gerakan.
Sebahagian ahli Parti Buruh pula menyertai DAP, sementara yang lain memasuki Parti Rakyat yang menukar namanya kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).
Menjelang pilihan raya umum 1969, ramai orang Melayu tidak puas hati dengan Tunku Abdul Rahman dan Umno kerana soal bahasa dan kedudukan ekonomi orang Melayu, yang mengakibatkan Perikatan kehilangan banyak kerusi Parlimen. Ia kalah di Pulau Pinang dan hampir terlepas Selangor dan Perak.
Pergaduhan kaum berlaku selepas pilihan raya itu yang dipanggil Peristiwa 13 Mei. Ia turut membabitkan penyokong-penyokong Umno, Gerakan dan DAP.
Ekoran itu, struktur politik dan ekonomi disusun semula. BN ditubuhkan dengan Gerakan menyertainya, tetapi ditolak DAP.
Ketika Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, DAP memainkan peranan sebagai suara kepentingan Cina.
Walaupun asal usul rasa tidak senang orang Melayu bermula pada PAP Singapura, tetapi hubungan yang tidak selesa antara Melayu dan Cina berakar umbi lebih awal lagi, iaitu semasa zaman pemerintahan Jepun. Pada masa itu, permusuhan Jepun terhadap China dibawa juga ke Tanah Melayu.
Walaupun orang Melayu dan India turut menjadi mangsa Jepun, apa yang ditanggung kaum Cina lebih dahsyat lagi.
Lalu orang Cina di bawah kepimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) telah menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) untuk menentang Jepun.
Lebih memburukkan keadaan hubungan kaum ialah adanya orang Melayu yang bekerja dngan Jepun. Sebenarnya orang Cina pun ada yang bekerja dengan Jepun. Sementara yang menjadi mangsa kezaliman Jepun bukan saja orang Cina, tetapi juga orang Melayu.
Apabila Jepun menyerah kalah, iaitu sebelum British menguasai kembali Malaya, berlakulah pembalasan dendam yang dibuat secara kejam dan zalim. Ramai orang Melayu menjadi mangsa.
Berlaku pertembungan berdarah antara kaum di beberapa tempat di Malaya. Keadaan inilah yang mewarnai kesedaran dan ingatan kolektif rakyat negara ini hingga saling mencurigai.
Sungguhpun begitu, kerjasama politik antara kaum tetap dapat dilangsungkan. Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dapat bekerjasama dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA).
Umno, MCA dan MIC dapat menubuhkan Perikatan. Begitu juga dengan Parti Rakyat dan Parti Buruh dapat mewujudkan Barisan Sosialis.
Maknanya, dengan segala kecurigaan antara kaum dalam masyarakat, kerjasama politik tetap boleh dilakukan apabila ia diuruskan dengan baik.
Menjerit-jerit dan melempar kata-kata sensitif perkauman hanya boleh memburukkan keadaan. Apa yang boleh dibuat ialah menghadapi isu berkaitan kaum dengan cara tenang dan berkepala dingin.
Semua warganegara Malaysia mempunyai kaum masing-masing, sama ada dalam bentuk golongan kaum, suku kaum, keturunan atau keluarga besar.
Ada istilah yang digunakan secara rasmi serta mempunyai kedudukan dan takrifan undang-undang, ada istilah yang hanya digunakan di peringkat masyarakat saja. Antaranya pula boleh membawa kepada konotasi penghinaan, mengejek dan merendah-rendahkan sesuatu kaum.
Istilah golongan kaum adalah seperti Bumiputera, bukan Bumiputera, Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam. Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah istilah yang mempunyai nilai Perlembagaan dan undang-undang di Malaysia.
Istilah Melayu juga mempunyai nilai Perlembagaan dan undang-undang. Malah, ada takrif undang-undang pada perkataan Melayu itu. Sejarah politik Malaysia membentukkannya sedemikian.
Latar belakang sejarah juga mengubah perkataan kaum. Ramai menyamakan istilah bangsa dengan kaum. Orang menyebut tentang bangsa Melayu, tetapi erti perkataan “bangsa” itu sudah berubah dan ia berbeza dengan istilah kaum.
Ini kerana konsep “nation-state” atau negara bangsa muncul di seluruh dunia sejak kurun ke-19 bagi menggantikan bentuk empayar. Imperialisme yang berasaskan empayar digantikan dengan nasionalisme atau fahaman kebangsaan. Kebangsaan atau nasional berdiri atas negara bangsa.
Walaupun perkataan “bangsa” pada asalnya wujud dalam bahasa Nusantara seperti yang terkandung dalam istilah Bansa Dayak, Bangsamoro dan Bangsa Melayu, tetapi ia telah diubah dan berubah menurut konsep moden “nation-state” atau negara bangsa.
Bangsa Melayu wujud ketika kerajaan Melayu seperti Kesultanan Melayu di Melaka dan kerajaan Melayu di Nusantara, termasuk di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Kerajaan-kerajaan itu bukan negara bangsa, ia adalah kerajaan atau kesultanan.
Tetapi, apabila Indonesia dan Malaysia muncul di atas runtuhan kerajaan-kerajaan lama dan empayar Barat, ia menjadi negara bangsa, iaitu negara yang berdiri di atas bangsa.
Dalam hal ini, yang tertubuh adalah bangsa Indonesia dan bangsa Malaysia. Sudah tidak ada Bangsa Melayu. Melayu hanya menjadi salah satu kaum daripada banyak kaum di negara ini.
Begitu juga apabila disebut bangsa China, ia merujuk kepada rakyat negara China, sama ada Republik Rakyat China atau Republik China di Taiwan.
Rakyat Malaysia yang berketurunan China tidak wajar dipanggil bangsa China, tetapi mereka wajar disebut kaum Cina. Maka, kaum Melayu dan kaum Cina adalah sebahagian daripada bangsa Malaysia.
Seseorang manusia, apabila lahir sudah ditentukan bangsa dan kaum mereka. Setiap orang tidak boleh memilih kaum dan bangsanya, namun ada orang yang berhijrah dan menukar bangsanya, ada yang mempunyai 2 kewarganegaraan.
Maka, ia boleh dikira berbangsa dua. Dalam kehidupan negara bangsa moden kontemporari yang dituntut mengamalkan demokrasi, semua warganegara adalah setaraf di bawah Perlembagaan dan undang-undang. Mereka juga mempunyai hak serupa.
Tidak ada paksaan yang boleh mengubah sesuatu kaum. Jika berlaku paksaan menurut garis perkauman, pasti berlaku tekanan dan penderitaan. Ini kerana, setiap kaum mempunyai jati diri dan budaya masing-masing.
Setiap kaum tentunya mahukan keselamatan dan kemajuan, tetapi ia tidak akan dicapai melalui pertelagahan.
Sememangnya terdapat banyak isu yang perlu ditangani, tetapi penyelesaian isu-isu itu bergantung bukan saja kepada sikap toleransi, tetapi juga penerimaan terhadap kehadiran kaum berbeza di negara sama.
Daripada bertelagah mengenai kaum yang tidak bermanfaat, malah mendatangkan mudarat yang tidak berkesudahan, lebih baik mencari jalan bagaimana hendak memakmurkan dan memajukan negara bangsa supaya rakyat dapat hidup lebih tenang dan senang.
Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.