

Terdapat pandangan beberapa orang di keliling saya bahawa kota di negara kita, katakan Kuala Lumpur, Ipoh, atau Melaka, hatta George Town, adalah murung, sesak, membosankan, dan tiada aktiviti selain tidak selamat ekoran jenayah jalanan.
Kota kita juga didakwa kurang mesra anak-anak, wanita dan juga orang kurang upaya.
Saya tidak ingin menyenaraikan masalah yang ada, termasuklah persoalan sistem perparitan yang sering mengakibatkan banjir kilat, aliran trafik, atau aspek pembuangan sisa pepejal. Saya kira ada banyak kajian telah dilakukan mengenai hal-hal di atas.
Permasalahan yang tercatat di atas wajar direnung segera. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, pengalaman kota-kota lain di seluruh dunia yang mengalami permasalahan hampir sama boleh dijadikan rujukan.
Salah satu penyelesaian jangka panjang yang dapat dikemukakan adalah Kota Kreatif (Creative City) yang merupakan satu gerakan perbandaran saranan seorang arkitek, Profesor David Yencken, pada 1988 untuk Melbourne.
Intipati yang dilihat oleh Yencken wajar kita ambil kira. Menurut beliau, persoalan yang sering diabaikan dalam kota atau bandar ialah penghuninya sendiri. Yakni manusia.
Menurut Yencken, persaingan akan datang bukan lagi terletak pada sumber semulajadi tetapi bagaimana imej atau citra menarik ditampilkan menerusi simbol dan projek kota.
Bagaimanakah Kota Kreatif yang beliau kemukakan itu digerakkan? Gerakan Kota Kreatif melihat semua manusia adalah kreatif; tetapi persekitaran (dalam hal ini bandar) boleh membunuh kreativiti.
Kreatif adalah proses memikir dengan segar, berani bereksperimen, kemampuan menulis semula peraturan, tidak konvensional dan melihat situasi semasa dengan fleksibel.
Kreativiti boleh diajar dan dipupuk. Ia memerlukan keterbukaan kita dengan sebarang idea, pengaruh dan sumber.
Oleh sebab itu, Kota Kreatif adalah kota inovasi. Kreativiti adalah idea besar yang dilahirkan; sementara inovasi pula adalah proses melaksanakan.
Untuk menjayakan gerakan Kota Kreatif ini, kita perlu terlebih dahulu membina lingkungan kreatif, yang melibatkan antara lain proses berikut:
Merenung kejayaan dan kegagalan kota. Sebelum kita memulakan sesuatu reformasi di kota, kita harus melihat kekuatan dan kelemahan kota kita terlebih dahulu.
Menyediakan indikator baru untuk kejayaan sesebuah kota. Ekonomi, atau kepesatan populasi tidak lagi selalu menjadi indikator kejayaan sesebuah kota. Kecanggihan budaya juga dapat menjadi indikator untuk sesebuah kota.
Memastikan kemampuan mengurus kota kita dalam menerima idea kreatif. Dalam erti kata lain, mereka yang terlibat di peringkat perbandaran itu sedia dan tidak kekok menerima idea-idea baharu yang kadang kala berfikir di luar kotak.
Kita juga perlu mengenalpasti atau mencipta baru “kelas kreatif” untuk satu atau dua projek sulung (pilot projects). Kelas kreatif di sini bermaksud sekumpulan manusia atau penghuni kota yang merupakan kelas karyawan, atau kelas orang seni.
Dalam masa yang sama kita juga mesti menyediakan kumpulan penikmat seni atau mereka yang dapat mengaspreasiasikan kreativiti orang lain. Karyawan tidak dapat dapat hidup hanya dengan karya tanpa mereka yang ingin menghubungkan diri dengan karyanya.
Tidak abaikan pekerja asing
Dalam dunia yang menuju ke arah perlindungan hak asasi manusia, Kota Kreatif tidak akan mengabaikan atau memastikan sumbangan imigran atau pekerja asing diambil kira.
Kita juga perlu mengimbangi kosmopolitanisme dan akar tempatan di mana kota kita tidak perlu menjadi moden dan Barat, tetapi boleh sahaja menjadi moden, dan dalam masa yang sama masih Timur.
Hari ini kerangka multikulturisme sudah lapuk, dan masyarakat sedang menuju kepada interkulturisme. Perubahan ini mesti dipupuk oleh Kota Kreatif.
Salah satu cara untuk menghindar perangai kontang sivik dan gejala vandalisme, penghuni Kota Kreatif bukan sahaja menghuni di situ, tetapi ikut memiliki seluruh kota tersebut.
Oleh kerana namanaya adalah Kota Kreatif, kita tidak dapat tidak menyediakan banyak ruang kreatif seperti pentas teater, galeri catan, perpustakaan, panggung seni dan banyak lagi.
Kita juga perlu mereformasikan pentadbiran bandar di mana pilihan raya peringkat majlis bandaran menjadi sangat sentral.
Semua di atas, malangnya adalah matlamat dan kaedah jangka panjang yang memerlukan kekuatan tekad kepimpinan bandar. Kita hanya boleh melakukannya dengan pelan pembangunan yang teratur. Namun demikian terdapat kaedah jangka cepat.
Apakah contoh-contoh Kota Kreatif yang dapat kita manfaatkan dari kota-kota seluruh dunia dengan segera?
12 cara
Terdapat sekurang-kurangnya 12 kaedah gerakan Kota Kreatif jangka cepat, akan tetapi saya tidak akan menyenaraikan semua.
Pertama, terdapat bahagian kota kita yang boleh dikenalpasti dan dicipta semula. Contoh yang mungkin adalah dengan menjalinhubung setiap bahagian kota yang terpisah-pisah itu dengan pembinaan taman poket, medan atau dataran, menegakkan pancuran, menyediakan mozaik dan skulptur bersambung-sambung antara ruang dan penjuru kota yang terpisah selain memberikan ruang untuk penghuninya bernafas.
Ini dilakukan kota Barcelona ketika bersiap untuk Sukan Olimpik 1992. Kita juga boleh menyediakan restoran susur sungai, kawasan membeli belah luar pusat kota seperti dilakukan Koln, di Jerman.
Kedua, untuk sesetengah kota yang bersejarah seperti Melaka, George Town, dan Ipoh; padanan lama dan baru sangat penting. Kota Nimes yang merupakan syurga dengan tapak arkeologi telah membina bumbung gelas di arena Rom agar terlihat elegan dan menarik perhatian pelancong, sementara Perugia pula membina eskalator ke Katedral yang mana terdapat pelbagai pameran sementara. Akibatnya bahagian kota ini menjadi sangat sentral dan bergaya. Ia serta-merta menjadi pusat aktiviti penghuni dan meningkatkan punca pendapatan.
Ketiga, mereka yang pernah ke Stockholm akan terlongo kerana kita boleh bermusafir dengan gaya dan citarasa tinggi. Kota Stockholm mensasarkan pusat pengangkutan seperti stesen metro dengan kerja seni (catan dinding, dan puisi) lantas menjadikan ia galeri seni terbesar berpangkalan di 101 buah stesen.
Keempat, dalam masa yang sama Stockholm melakukan penaratifan kota. Bahagian kota tertentu boleh dirawi dengan fragmen dan kutipan karya sastera. Kita juga memberi mesej menerusi kota menerusi nama jalan dan lain-lain dalam erti kata lain kota itu dapat dibaca. Stockholm melakukannya dengan arca yang sangat banyak.
Di kawasan perbankan sebagai contoh terdapat arca orang gelandangan yang meminta sedekah, demi mengingatkan penghuninya akan tanggungjawab dan keadilan sosial.
Kelima, beberapa bahagian kota hendaklah nyah-kenderaan dan ada prasarana berjalan kaki. Ia banyak berkait dengan cara atau kaedah keenam di mana Kota Kreatif mestilah pintar dan kreatif dalam melawan cuaca. Kota Seville misalnya membina pancuran air, jet air, kawasan hijau dan banyak gazebo untuk menyamankan cuaca panas.
Keenam, Kota Kreatif boleh mencipta sesuatu dari yang tiada. Terdapat usaha menganjurkan pesta yang menarik perhatian orang luar seperti dialami oleh Edinburgh (pesta sastera), atau Cannes dan Sundance (dengan pesta filem).
George Town di Pulau Pinang, misalnya sudah ada pesta sastera yang sudah mulai dikenal orang luar, sayangnya jika kita bertanya kepada orang tempatan mengenai George Town Literary Festival, belum tentu mereka sedar akan kewujudan acara tersebut. Penganjur bersama-sama Majlis Bandaran dan kerajaan negeri perlu memastikan lebih ramai lapisan warga kota dapat ikut disertakan.
Di Malaysia, kita boleh memulakan gerakan Kota Kreatif ini dengan beberapa kota di negeri Pakatan Harapan seperti Georgetown, dan Melaka. Atau di kota luar lingkungan seperti Ampang, dan Bangi.
Contoh segera adalah; Laman Bangku di Bangi yang membosankan itu boleh dipasangkan kubah mekanikal, atau dibumbungkan termasuk membina pancuran agar sekelilingnya tidak terlalu panas. Untuk muatan aktiviti kita boleh mengundang kumpulan penulis yang sedia ada di Bangi agar memeriahkannya.
Oleh kerana Bangi juga adalah Kota Fesyen Islami (Hijabista) ia boleh diberi perhatian Majlis Bandaran agar kita mencipta sebuah Milan kecil yang menjadi kota peragaan fesyen.
Kota Kreatif sebagai satu gerakan jangka panjang menuntut perhatian kepimpinan bervisi. Ia adalah satu dialog dalam bentuk lain, justeru ia memerlukan pemetaan, penyelidikan, dan deskripsi baru yang menuntut geran dan dana besar. Di akhirnya Kota Kreatif bukan sahaja akan dapat mengatasi masalah murung, sesak, atautidak selamat tetapi juga memperkenalkan kota tersebut ke seantero dunia selain menjana ekonomi.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.