Reset, restart, refresh selepas ‘revolusi rakyat’

Reset, restart, refresh selepas ‘revolusi rakyat’

Tetapi revolusi rakyat juga mempunyai sisi gelapnya. Ia membawa kepada keadaan yang tidak menentu.

Antara inovasi diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada kerajaan baru ialah penubuhan Council of Eminent Persons atau Majlis Penasihat Kerajaan.

Tengok gayanya, majlis ini mempunyai kuasa untuk menasihati Kabinet. Tetapi sejauh mana nasihat ini akan didengar dan dipatuhi oleh kerajaan adalah soal lain.

Penubuhan majlis itu dilihat sebagai komponen penting bagi “reset”, “restart” atau “refresh” negara yang kini dianggap berada dalam keadaan teruk akibat pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Peluang untuk membina semula negara ini wujud apabila BN dapat dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei lalu dalam pilihan raya yang amat bersejarah.

Ia bersejarah atas 3 sebab. Pertama, inilah pertama kali parti pemerintah sejak negara merdeka telah dapat dikalahkan.

Kedua, inilah pertama kali di dunia yang mana seorang berusia lebih 90 tahun menang pilihan raya untuk menjadi perdana menteri tertua.

Ketiga, ia bukan sekadar pilihan raya tetapi merupakan sebuah revolusi. Bukan semata-mata revolusi elektoral, tetapi ia merupakan revolusi rakyat.

Apa yang dimaksudkan dengan revolusi adalah perubahan mendadak, yang membawa satu keadaan baru, berbeza daripada sebelumnya. Sememangnya revolusi elektoral bermaksud perubahan mendadak melalui pilihan raya. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan revolusi rakyat ialah faktor utama yang membawa kepada perubahan itu adalah ia dibawa oleh rakyat sendiri.

Banyak faktor yang membawa kepada perubahan ini. Antara yang penting ialah kepimpinan Dr Mahathir sendiri. Kedua, parti pembangkang iaitu PH dan komponen-komponennya terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah. Ketiga adalah rakyat itu sendiri.

Maka dalam pilihan raya ini, rakyat berperanan besar, malah melangkaui Dr Mahathir dan PH. Sememangnya majoriti rakyat menyokong Dr Mahathir yang dicalonkan sebagai perdana menteri oleh PH.

Reset, restart, refresh

Pengundi perlu memilih calon-calon PH bagi membolehkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Tetapi rakyat mahukan Dr Mahathir mengetuai kerajaan bagi “reset,” “restart” atau “refresh” negara.

Ini menjadikan kehendak rakyat melangkaui Dr Mahathir dan PH. Kehendak rakyat adalah untuk “menyelamatkan negara” daripada “kerosakan yang dibawa oleh Najib, Umno dan BN.

Penyertaan dari rakyat dapat dilihat dari 2 sudut. Pertama, rakyat yang berasa komited untuk menyumbang sama ada tenaga, pemikiran dan wang kepada parti-parti PH atau kumpulan yang menjadi sekutunya.

Kedua, rakyat menyatakan sokongan dengan hadir dalam perhimpunan serta menyertai perbincangan dalam media sosial.

Penglibatan rakyat dalam pilihan raya ini, baik semasa kempen mahupun dalam proses pengundian seperti menjadi sukarelawan agen undi, atau menguruskan undi pos adalah sebahagian daripada fenomena revolusi rakyat. Ini termasuklah mereka yang berhimpun di jalan raya untuk menyaksikan dan memastikan Dr Mahathir mengangkat sumpah menjadi perdana menteri di Istana Negara.

Begitu juga drama awal pagi daripada menunggu keputusan pilihan raya pada 10 Mei hinggalah kepada komunikasi antara pihak Dr Mahathir dengan Istana Negara serta pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam serta pihak tentera adalah kesemuanya merupakan ciri-ciri suatu revolusi rakyat.

Revolusi rakyat

Revolusi rakyat seringkali menghasilkan institusi-institusi baru bagi pemerintahan yang berbeza daripada kerajaan lama. Maka penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan ini adalah salah satu institusi baru itu.

Satu lagi ciri revolusi rakyat ialah kepimpinannya yang dibuat secara kolektif. Oleh kerana sesebuah revolusi rakyat memerlukan penggabungan sokongan daripada kumpulan dan aliran yang berbeza bagi menperolehi sokongan luas masyarakat, maka sudah tentu ia akan menuntut banyak perundingan dan pembentukan struktur pembuat keputusan yang besar dan berjela-jela.

Walaupun kepimpinan PH berpusat pada Dr Mahathir sebagai pengerusi, proses membuat keputusan adalah secara kolektif melalui Majlis Presiden yang dianggotai oleh pucuk pimpinan keempat-empat komponen. Penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan ini juga merupakan salah satu keputusan yang dibuat secara kolektif oleh Majlis Presiden PH.

Penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan ini adalah antara inovasi yang dilakukan oleh Dr Mahathir sejak beliau keluar daripada persaraannya dan menyertai politik bermula dengan penubuhan PPBM.

Inovasi PH

Tetapi parti itu juga memiliki satu inovasi iaitu dengan memiliki jawatan pengerusi dan presiden. Selama ini, umumnya, parti-parti politik hanya memiliki presiden.

Penyertaan PPBM ke dalam PH juga membawa beberapa inovasi. Struktur PH adalah berlainan daripada organisasi politik biasa. Di atas sekali ialah jawatan Ketua Umum diikuti dengan Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden.

Pengerusi PH ialah pengerusi PPBM, iaitu Dr Mahathir, ketua umum PH ialah ketua umum PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PH ialah presiden PKR iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan presiden PH pula terdiri daripada presiden PPBM, setiausaha agung DAP dan presiden Amanah. Keputusan pucuk pimpinan PH pula dibuat oleh Majlis Presiden.

Untuk membuat keputusan secara kolektif mempunyai karenahnya tersendiri lebih-lebih lagi melibatkan Majlis Presiden yang dianggotai oleh empat parti berbeza aliran.

Sebelum pilihan raya, ia menyukarkan kerana keputusan perlu dibuat segera dengan perkembangan politik yang bergolak dengan cepat. Ini ditambah pula dengan keadaan Ketua Umum masih dalam penjara.

Apabila menang pilihan raya, proses membuat keputusan dengan segera menjadi bertambah penting dan kritikal lebih-lebih lagi tugas sesuatu revolusi adalah untuk membina semula negara sedangkan ciri-ciri revolusi rakyat pula menuntut penglibatan keseluruhan rakyat bagi menghasilkan dasar-dasar dan inisiatif yang menguntungkan rakyat.

Tidak tentu

Tetapi revolusi rakyat juga mempunyai sisi gelapnya. Ia membawa kepada keadaan yang tidak menentu. Walaupun sesuatu revolusi itu berjaya dalam menjatuhkan rejim sebelumnya tetapi sama ada kesannya adalah baik untuk rakyat adalah suatu yang tiada jaminan.

Dalam sejarah dunia, banyak contoh di mana revolusi, di samping membawa perubahan mendadak yang baik tetapi turut mendatangkan keumsnahan dan kesusahan kepada rakyat. Iaitu sebelum keadaan menjadi stabil dan baik.

Ada kalanya sesebuah negara yang mengalami revolusi bertukar menjadi autoritarian dengan munculnya seorang pemimpin yang memerintah secara diktator. Sementara ada pula revolusi yang membawa negara kepada konflik, sama ada berbentuk perang saudara atau berkrisis dengan negara asing.

Setakat ini revolusi rakyat yang berlaku melalui pilihan raya umum ini telah berjalan licin. Peralihan kerajaan berlaku tanpa krisis serius walaupun acara mengangkat sumpah perdana menteri mengambil masa lama daripada dijangkakan. Cuti umum hari Khamis dan Jumaat ternyata meredakan suasana. Tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Begitu juga pelantikan timbalan perdana menteri dan 3 menteri penting serta Majlis Penasihat Kerajaan telah dapat dilakukan dengan segera. Walaupun Rafizi Ramli mempertikaikan pelantikan itu dengan menimbulkan perdebatan dalam alam maya, tetapi ia merupakan gangguan kecil yang dapat difaham dan diterima berbanding dengan kemungkinanan keadaan yang lebih buruk.

Sesuatu revolusi tidaklah boleh benar-benar sempurna, cukuplah ia berjalan dengan lancar, iaitu asalkan ia dapat dikawal.

Namun reaksi daripada orang ramai terhadap tindakan Rafizi memersoalkan lantikan 3 menteri itu menunjukkan mereka mahukan revolusi yang licin dengan menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Dr Mahathir, ikon revolusi 9 Mei.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.