Panduan rakyat pilih bos 5 tahun

Panduan rakyat pilih bos 5 tahun

Rakyat hanya berpeluang memecat mereka 5 tahun akan datang, meskipun dalam tempoh 5 tahun ini mereka mencuri, menfitnah, malah menjadi katak melompat parti.

Semua ahli politik kini berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja pada 9 Mei ini. Mereka giat berjumpa dengan rakyat untuk ditemuramah. Temuramah ini sangat istimewa. Alat utama ialah mulut, “resume” pun tidak diperlukan.

Rakyat hanya diperlukan sehingga 8 Mei ini. Di dalam tempoh ini, ahli politik akan merayu untuk “diambil bekerja” daripada rakyat yang menjadi bosnya.

Ketika ini, ada ahli politik yang akan melakukan lakonan penuh untuk mendapatkan perhatian rakyat. Seperti drama TV, emosi rakyat turut akan dimainkan dan dimanipulasikan.

Matlumat-matlumat palsu dan benar akan disebarkan untuk membentuk persepsi agar rakyat memilih mereka berdasarkan matlumat yang tepat mahupun palsu.

Ketika kempen ini, boleh dilihat kebanyakan ahli politik mengamalkan polisi matlamat menghalalkan cara. Ini kerana setelah rakyat membuat keputusan pada 9 Mei ini, ahli politik pula akan menjadi bos rakyat.

Jika tersilap pilih, mereka tahu rakyat menyesal pun tiada guna. Ini kerana rakyat hanya berpeluang memecat mereka 5 tahun akan datang, meskipun dalam tempoh 5 tahun ini mereka mencuri, menfitnah, malah menjadi katak melompat parti.

Oleh itu, rakyat jangan pandang remeh kepada kuasa mengundi yang ada di tangan. Jika tersilap pilih, buruk padahnya. Pastikan kita memilih mereka yang selayaknya agar mereka betul-betul berkhidmat kembali kepada rakyat.

Pertama, pilih ahli politik yang jujur dan sekurang-kurangnya kurang menipu. Ahli politik jenis ini susah hidup di dalam zaman fitnah ini, oleh itu rakyat perlu membantu mereka dengan undi agar mereka dapat terus hidup.

Kedua, pilih ahli politik yang terbukti perkhidmatannya kepada rakyat. Hanya ahli politik yang betul-betul berjiwa rakyat sahaja dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Pilih mereka yang selalu menyelami masalah rakyat, pusat khidmatnya sentiasa beroperasi dan bantuannya dapat disalurkan, bukan sekadar janji kosong. Ramai ahli politik yang sekadar muncul ketika musim pilihan raya, dan golongan ini wajib ditolak.

Ketiga, pilih ahli politik yang ada batas prinsip. Ahli politik yang sudi menggadaikan segalanya, contohnya keluarga, sejarah serta tanggungjawab dan amanah demi mengejar kuasa perlu ditolak kerana yakni rakyat juga akan digadainya satu hari nanti demi kepentingan diri sendiri.

Keempat, pilih ahli politik yang kurang hipokritnya. Sifat hipokrit ini mudah dinilai – apabila sesuatu isu jatuh pada musuh, ia mengambil pendirian yang berbeza apabila isu sama terkena pada diri sendiri.

Contohnya timbul isu audio, jika audio musuhnya sanggup dihantar ke luar negara untuk dikaji, apabila audio terkena batang hidung sendiri, ia sekadar mendiamkan diri.

Kelima, pilih ahli politik yang berani mengaku silap dan mengambil tanggungjawab. Jangan sesekali pilih mereka yang asyik menyalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri kerana ego dan kegilaan berpolitik.

Keenam, rakyat perlu bertanya kepada diri sendiri – apakah kerajaan dan negara yang mereka inginkan selepas 9 Mei ini? Kerajaan yang cacamarba saling berebut jawatan atau kerajaan yang teruskan polisi menyeksa rakyat di atas nama menyelamatkan ekonomi negara atau kerajaan yang seimbang, di mana semua pihak dapat bekerjasama antara sama lain dan tiada pihak yang dapat mengatasi kuasa pihak tanpa pihak ketiga yang neutral?

Apakah situasi pemilihan presiden Amerika Syarikat akan berulang di Malaysia, di mana keputusan 9 Mei ini sesuatu yang tidak dapat dijangkakan mana-mana pihak, termasuk semua pengkaji bebas?

Selamat mengundi 9 Mei ini dan sama-sama kita nantikan kejutan nanti.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.