
Dr Tan Seng Giaw bukanlah asalnya dari DAP. Beliau dari Parti Keadilan Masyarakat, atau Pekemas. Sebab itu ideologi asas beliau bukannya DAP tetapi Pekemas.
Tan berpindah ke DAP bersama aktivis Pekemas lain apabila pengasasnya, Dr Tan Chee Khoon diserang strok dan tidak dapat memimpin parti itu.
Tan menang di Kepong pada pilihan raya umum 1982. Sebelum itu, pada 1978, beliau bertanding di situ atas tiket Pekemas tetapi kalah di tangan Dr Tan Tiong Hong dari Gerakan, parti komponen Barisan Nasional (BN).
Walaupun DAP dan Pekemas boleh dianggap mempunyai aliran serupa tetapi dari segi fahaman terperinci, ia berbeza. Sebab itu pada asal dan asasnya, mereka tidak bergabung.
Namun begitu, DAP, Pekemas dan Gerakan adalah asasnya merupakan parti kiri. Aliran kiri dirujuk kepada fahaman sosialisme.
Secara rasmi, DAP berpegang pada sosialisme demokratik. Pekemas pula adalah parti pecahan Gerakan. Asal Gerakan pula merupakan parti yang ditubuhkan oleh bekas anggota Parti Demokratik Bersatu (UDP) dan Parti Buruh Malaya (LPM) yang dibubarkan.
Walaupun UDP bukanlah parti kiri kerana pengasas dan pemimpinnya, Dr Lim Chong Eu adalah bekas presiden MCA, tetapi LPM adalah sebuah parti kiri yang menyatakan bahawa fahamannya adalah sosialisme demokratik.
LPM mula ditubuhkan dengan nama Parti Buruh Seluruh Malaya (Pan-Malayan Labour Party – PMLP) pada 1951 oleh Datuk Mohammad Sopiee Syed Ibrahim. Ia menggabungkan 21 kesatuan sekerja dan sebahagian anggota berfahaman kiri daripada Syarikat Am Bekerjasama Saiburi (Saberkas) yang merupakan pertubuhan koperasi Melayu kiri berpusat di Kedah. “Saiburi” adalah nama untuk Kedah ketika di bawah pemerintahan Siam.
Saberkas kemudian dibubarkan apabila kebanyakan ahli-ahlinya termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Mohammad Sopiee menyertai Umno.
LPM di bawah Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako menubuhkan pakatan dengan Parti Rakyat Malaya (PRM) pimpinan Ahmad Boestamam dan Parti Konvensyen Kebangsaan (NCP) yang diasaskan oleh Aziz Ishak dan mendaftarkannya sebadai Front Sosialis Rakyat Malaya, atau hanya dikenali sebagai Socialist Front (SF).
Kedua-dua PRM dan NCP adalah parti kiri. Aziz Ishak adalah bekas menteri pertanian dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Namun beliau dikenali sebagai seorang berfahaman sosialis yang mempelopori gerakan koperasi di negara ini. Koperasi ketika itu adalah institusi penting dalam fahaman sosialisme demokratik di Eropah Barat.
Front Sosialis terbubar apabila berlaku krisis antara LPM dan PRM. Dengan tindakan keras daripada kerajaan, LPM turut terbubar dengan ahli-ahlinya pecah tiga. Sebahagiannya menyertai PRM, ada yang masuk DAP, sementara yang lain seperti Chee Khoon menubuhkan Gerakan Rakyat Malaysia bersama Chong Eu dan Profesor Syed Hussein Al-Attas.
Chee Khoon adalah ahli parlimen kawasan Batu mewakili LPM. Pada 1969, beliau mengekalkan kerusi itu di bawah tiket Gerakan.
Di kawasan majoriti Cina, banyak pertandingan tiga penjuru berlaku antara MCA, Gerakan dan DAP. Ternyata Gerakan dapat mengalahkan MCA dan DAP untuk menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang.
Pekemas ditubuh
Pada 1974, Gerakan bersama dengan PAS menyertai kerajaan campuran Perikatan hingga tertubuhnya Barisan Nasional (BN). Chee Khoon dengan bantuan Hussein Al-Attas menubuhkan Pekemas untuk terus mnjadi parti pembangkang.
Penulis sedar mengenai Pekemas pada tahun 1974 ketika ia mula ditubuhkan. Ketika itu, penulis berada di Tingkatan 3 dan masih di Batu Pahat, Johor.
Pekemas mempunyai cawangan di Batu Pahat. Pada satu hari, saya ke Perpustakaan Awam Batu Pahat yang terletak di Jalan Rahmat. Di seberang jalan itu ada rumah kedai dan tingkat atas adalah pejabat Pekemas.
Lambang Pekemas adalah matahari dengan sinar jalur merah putih dan dilingkungi warna hijau. Tetapi matahari terbit itu adalah lambang golongan kiri, sebagai impian dunia baru. Ia selaras dengan ungkapan Fajar Menyingsing.
“Fajar” adalah juga nama majalah Kelab Sosialis Universiti Malaya Singapura. Beberapa negara sosialis termasuk Soviet Union mempunyai lambang matahari terbit. Tetapi imej matahari terbit ini popular di zaman itu. Akhbar parti Pekemas juga bernama Matahari.
Malah di Radio Malaysia seringkali menyiarkan lagu patriotik dengan lirik “Di timur sinar suria mulai terang, cahaya fajar baharu”. Kini liriknya sudah diubah menjadi lagu nasyid.
Perkataan “Keadilan Masyarakat” dalam nama Pekemas atau “social justice” adalah nama lain bagi sosialisme. Sebagai parti pecahan Gerakan, Pekemas mempunyai warna serupa – hijau, merah dan putih. Lambang parti Gerakan ialah seberkas padi. Lambang padi sering dikaitkan dengan golongan petani.
Dua golongan yang sering diutamakan oleh tradisi kiri ialah petani dan buruh. Warna hijau sering dikaitkan dengan pertanian sementara merah merujuk pada golongan buruh.
Walaupun Hussein Al-Attas berperanan menubuhkan Pekemas, beliau tidak menyertai parti itu. Maka Chee Khoon mengajak Ahmad Boestamam menyertai Pekemas sebagai salah seorang pemimpin utamanya. Ketika itu Ahmad Boestamam adalah ketua Parti Marhaen. Maka Parti Marhaen digabungkan ke dalam Pekemas.
Parti Marhaen adalah sebuah parti kiri. Ia ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam dan pengikut-pengikutnya dalam PRM setelah kalah dalam pemilihannya kepada Kassim Ahmad yang membawa fahaman baharu ke parti itu.
Di bawah Ahmad Boestamam, PRM berpegang pada nasionalisme kiri.. Tetapi Kassim Ahmad membawa fahaman sosialisme saintifik yang diterapkannya ke dalam PRM. Di bawah beliau PRM bertukar nama menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Ia juga hendak dijadikan pewaris kepada Front Sosialis Rakyat Malaya iaitu untuk menampung bekas ahli-ahli LPM ekoran pembubaran parti mereka.
Beliau juga menukar lambang PRM daripada kepala banteng saja dengan ditambahkan logo roda bergerigi. Kepala banteng, iaitu sejenis seladang melambangkan petani sementara roda gerigi melambangkan buruh industri. Roda bergerigi ini diambil daripada lambang LPM.
Lambang parti itu mempunyai 3 komponen iaitu roda bergerigi mewakili buruh, cangkul mewakili petani dan pen mewakili intelektual.
Lambang Front Sosialis menggabungkan kesemua elemen PRM dan LPM. Sementara lambang Parti Marhaen ialah banteng melompat.
PRM, LPM dan Parti Marhaen mengambil merah sebagai warna mereka, warna tradisi golongan kiri.
Kebangkitan Tan Seng Giaw
Pada 1974, penulis ternampak dan membeli akhbar rasmi Pekemas iaitu Matahari di stesen bas Batu Pahat. Di situ dinyatakan ketua pengarang akhbar itu adalah Ahmad Boestamam.
Dalam akhbar itu disiarkan ucapan penuh Chee Khoon di Dewan Rakyat membantah Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Dr Mahathir Mohamad.
Juga di situ dipaparkan pemimpin muda Pekemas, Seng Giaw yang dilihat akan menjadi pengganti Chee Khoon.
Chee Khoon adalah wakil rakyat Gerakan bagi kawasan Batu. Secara tradisi Batu adalah kawasan Parti Buruh dan Front Sosialis. Kemudian kawasan itu diubah dan dipecahkan dengan sebahagiannya menjadi Kepong.
Chee Khoon menjadi ahli Parlimen Kepong. Apabila beliau sakit, Seng Giaw menggantikan beliau sebagai wakil Pekemas bertanding di situ pada 1978 tetapi kalah pada BN.
Setelah Pekemas bubar, Seng Giaw menyertai DAP dan kekal memenangi Kepong sejak 1982.Untuk pilihan raya 2018, beliau digugurkan oleh partinya untuk bertanding.
Pada tahun-tahun itu, saya sering membuat liputan Dewan Rakyat dan aku mendengar ucapan Seng Giaw yang bersuara nyaring. Ada kalanya beliau menulis ucapannya dalam tulisan jawi. Oleh itu beliau juga membaca akhbar jawi Utusan Melayu.
Kini, buat pertama kalinya DAP akan bertanding dengan menggunakan lambang mata PKR. Golongan kiri juga terdapat dalam parti itu. Ia berlaku apabila Parti Keadilan Nasional bergabung dengan PRM untuk menjadi PKR.
Walaupun terdapat bekas pemimpin PRM di dalamnya seperti Dr Syed Husin Ali, Syed Hamid Ali dan Hassan Karim di Johor, tetapi parti itu tidak dianggap sebagai parti kiri.
PRM telah dihidupkan kembali beberapa tahun lalu dan kini ia disertai oleh beberapa bekas aktivis DAP yang keluar parti apabila digugurkan daripada bertanding bagi pilihan raya akan datang. Mereka dilaporkan akan bertanding.
Sebuah parti pecahan PRM iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 mengumumkan akan bertanding secara bersendirian. Adalah dijangka PSM dan PRM akan kalah begitu saja.
Dalam BN, parti yang pernah pada satu masa dahulu berfahaman kiri ialah MIC, PPP (kini myPPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Kesemuanya sudah melupakan asal-usul kiri mereka.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.