Imam Ali, sebelum jabatan agama

Imam Ali, sebelum jabatan agama

Suatu masa dahulu, di alam Melayu, Saidina Ali yang menjadi tokoh sandaran umat Islam Syiah, dirujuk dengan gelaran Imam.

Di sebuah warung, tersorok di belakang Hospital Tawakal di tengah Kuala Lumpur, teman lama saya yang berbangsa Jerman, Otto, sudah lama menunggu.

Otto tiba kira-kira seminggu lalu, melakukan kerja penyelidikan untuk sebuah institut oriental di Hamburg, dan saya hanya berpeluang menemuinya kelmarin.

Saya dengan rasa bersalah memohon maaf kerana tiba agak lambat. Saya menyebutkan MRT, Grab, kemacetan lalu lintas, dan sakit gigi sebagai alasan-alasan munasabah. Dia tidak menyangkal, atau mengejek, sama sekali tidak menyumpah; tetapi hanya menumpah senyum yang tidak putus-putus.

Otto sudah berada 3 minggu di Jawa, Makassar, akan ke Thailand, tetapi menyinggah di Kuala Lumpur untuk menemui saya.

Bukan. Otto bukan mencari saya. Tetapi mencari Ali.

Salah satu usaha yang pernah dilakukan oleh Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah menerusi Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyah, adalah menghimpunkan kitab-kitab dan manuskrip Melayu mengenai sahabat, dan menantu Rasululllah yang bernama Ali.

Menurut Otto, di alam Melayu, menantu baginda Nabi itu lebih daripada citra perkasa saja. Ali lebih daripada tongkat.

“Satu masa lalu. Yang lampau. Masa dulu-dulu.” Ujar Otto.

Saya tahu Otto berhasrat mengecek manuskrip yang disimpan arwah ustaz. Tentu dia mencari pengikutnya.

Saya masih ingat, sewaktu al-Marhum masih hidup dan duduk menjaga gerai Khazanah Fathaniyah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau menceritakan kepada saya betapa banyaknya naskhah mengenai Ali yang beliau himpunkan, dikutip dari kampung dan desa pedalaman alam Melayu sejauh dan terpencil di Kalimantan.

Menurut Otto, suatu masa dahulu, di alam Melayu; bapa Ali, Abu Talib Abdul Muttalib tidak dianggap mati kafir. Saya tahu pendapat Otto itu bukan pendapat baharu. Namun demikian, ia pendapat dulu-dulu, yakni sebelum penubuhan jabatan agama.

Saya masih ingat arwah menulis dalam sebuah makalah bertajuk “Pengaruh dan Pemikiran Saiyidina Ali di Alam Melayu: Satu Analisis Berdasarkan Karya-karya Klasik Melayu”:

“Ulama-ulama silam alam Melayu sebahagian besar bersifat tawaquf, kerana hadis yang memperkatakan persoalan itu masih perlu ditakwilkan menurut pandangan aqidah. Apatah lagi ulama-ulama silam alam Melayu memang faham pertikaian hadis mengenai itu yang bertentangan antara hadis versi sunni dan hadis versi syi’i. Berbeda dengan zaman sekarang beberapa orang penceramah tanpa perbandingan yang banyak, tanpa takwil, terlalu berani menghukum bahawa Abu Talib itu adalah kafir berdasarkan hadis yang shahih, kata mereka.”

‘Imam di timur dan barat’

Menurut Otto, suatu masa dahulu, di alam Melayu, Saidina Ali akan dirujuk dengan gelaran Imam, iaitu “Imam masyariq wal maghrib” (Imam di timur dan barat). Saya tahu dapatan Otto itu bukan dapatan baru. Namun demikian, ia perihal dulu-dulu, yakni sebelum penubuhan jabatan agama.

Saya terdiam. Ingatan saya memang kembali kepada makalah yang sama oleh ustaz Wan Mohd. Beliau menyatakan gelaran “Imam masyariq wal maghrib” itu disebut dalam khutbah Jumaat kedua, tetapi terhakis oleh gerakan Kaum Muda.

Tulis Wan Mohd, “Merupakan gelaran yang sangat menonjol untuk Saiyidina Ali K.W yang kedua ialah ‘Imam Masyariq wal Maghrib’, maksudnya imam seluruh kawasan timur dan barat.

“Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk shahabat-shahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam (Kaum Muda) di alam Melayu sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Sampai sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh Kaum Muda/pembaruan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.”

Hiruk pikuk di gerai tersebut tidak mengganggu tumpuan kami. Otto yang berambut kuning halia dan berlesung pipit ala Aidit Noh tersebut kian rancak berkongsi dapatan kajiannya.

Menurut Otto, suatu masa dahulu, di alam Melayu, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani ada memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali ibn Musa, berurutan dari bapanya Musa dan seterusnya daripada nendanya Jaafar, naik ke atas daripada Baqir, daripada pula Zainal Abidin dan bersambung daripada Saidina Husain langsung ke Ali, bahawa baginda terdengar sabda Rasulullah, bahawa iman itu makrifat dengan hati, pengakuan dengan lisan dan beramal dengan rukun-rukun.

Petikan hadis di atas oleh Syeikh Daud sangat penting difahami kerana Ali ibn Musa yang dimaksudkan oleh ulama terkenal itu ialah Ali ibn Musa akan negeri Nisabur yang tidak syak lagi adalah tokoh yang dirujuk oleh penganut Syiah Imamiyyah di Iran sebagai Imam Reza, yang makamnya di Mashhad.

Hadis yang diberi Otto ini bahkan disebut juga dalam makalah Wan Mohd itu. Adakah ini satu tanda kecil betapa kaburnya pegangan mazhab orang Melayu? Tidakkah menyebutkan riwayat Ali ibn Musa itu sebagai “hadis’ mengisyaratkan sesuatu yang luas?

Saya tahu apa yang ditemukan Otto itu bukan penemuan baharu. Namun demikian, ia penemuan dulu-dulu, yang kalau boleh biar dibenam-benam. Ini kerana penemuan seumpama ini menyakitkan hati ramai agamawan, iaitu agamawan pasca penubuhan jabatan agama. Agamawan yang disangsikan oleh Wan Mohd sebagai “Kaum Muda” yang mendabik dada pakar hadis.

Aneh seribu kali aneh. Serasa Ustaz Wan Mohd kembali bernyawa dan memasuki jasad Otto untuk menceritakan kembali semua ini.

Sewaktu beliau masih hidup, saya masih ingat, dan dia duduk menjaga gerai Khazanah Fathaniyah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang tiada pengunjung.

Saya ambil kesempatan dari gerai sepi itu dengan bertanya, “Mengapakah ustaz tidak transkrip dan terbitkan manuskrip banyak mengenai Ali itu?”

“Orang sekarang tak boleh terima.” Polos jawapannya.

Saya masih ingat balasan saya, “Jadi persepsi, ustaz bimbangkan persepsi? Kalau saya, saya akan persetankan… kerana kesungguhan mempersetankan itulah kemerdekaan.”

Saya masih ingat, Wan Mohd memberi saya senyuman yang luar biasa manis. Senyuman itu sangat manis sehingga saya merakamnya dalam benak hingga saat ini.

Hari itu hari lahir Otto. Saya tiba lambat, jadi sebagai dendanya, saya membayar harga makanan. Sepiring rojak dan segelas teh tarik. Sebelum berpisah, Otto memberitahu saya satu berita yang mengejutkan.

“Ini mungkin tidak penting sama sekali untuk kamu, Sal. Aku sudah memeluk Islam di Pontianak.”

“Ini bukan fake news?”

“F*** fake news.”

Saya sempat memeluknya. Dia menguntum senyuman bermadu. “Panggil aku Otto Ali selepas ini. Itu namaku.”

Dalam perjalanan Grab menuju ke Stesen MRT di Tun Razak Exchange, saya tak habis memekar senyum, sehingga terdorong menulis mesej telefon kepadanya: “Selamat ulang tahun Ali. Selamat hari jadi.”

Wajah al-Marhum Wan Mohd Shaghir menyapa-nyapa retina mata.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.