Menangi hati pengundi atas pagar dengan #ForwardTogether

Menangi hati pengundi atas pagar dengan #ForwardTogether

Kempen #ForwardTogether oleh ONE adalah usaha kolektif untuk memajukan setiap aspek pembangunan negara, termasuklah mengundi.

malaysia-vote

Oleh Danni Rais

Rakyat Malaysia kini sedang melalui waktu menarik di mana ahli politik kedua-dua belah pihak, yang masing-masing sedang berusaha memenangi hati dan minda pengundi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ramai antara mereka masih di “atas pagar”, masih belum membuat keputusan untuk menyokong mana-mana pihak.

Danni-Rais
Danni Rais, Presiden Organisation for National Empowerment (ONE).

Menurut Merdeka Center dan Invoke, statistik pengundi “atas pagar” ini penting kerana mereka merangkumi antara 20-30% daripada seluruh pengundi di Malaysia. Jumlah ini tidak boleh dipandang enteng kerana kelompok pengundi ini cukup besar untuk menentukan kerajaan seterusnya.

Jadi, bagaimana seharusnya parti politik mendekati kumpulan ini?

Organisation for National Empowerment (ONE), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bukan politik yang mempunyai keahlian seramai 1,000 orang muda dan berinteraksi atas talian dengan 2 juta belia Malaysia setahun, sudah mengelola pelbagai program bersama anak-anak muda seperti Our Future 2057, Pitch for Progress dan Get the Right Opportunity Workshop (GROW) iaitu bengkel pembangunan kerjaya.

Setelah menganjurkan program ini sejak 4 tahun lalu, umumnya jawapan diberikan oleh anak muda tentang apa mereka mahukan ialah untuk mempunyai masa depan cerah. Masa depan cerah ini hanya boleh dikecapi jika semua pihak bersama-sama mengorak langkah ke hadapan.

Tiada pembangunan boleh terhasil daripada pemikiran negatif. Pemikiran positif diperlukan untuk mencapai kejayaan bersama, sama ada dari segi individu, mahupun mana-mana perusahaan yang mahu mencapai sasaran mereka. Permikiran positif diperlukan dalam usaha membina negara dan pemikiran negatif hanya akan mengekang negara daripada terus maju.

Pemerkasaan wanita tidak akan dicapai tanpa sebulat suara melaungkan keinginan mereka untuk diberi layanan sama seperti lelaki, dan untuk meruntuhkan tembok yang menghalang mereka selama ini. Dunia hari ini terus berubah dengan pantas dipacu mereka yang terus mara ke hadapan.

Bebas dari pengaruh parti politik, pengundi yang masih belum membuat keputusan akan lebih objektif dalam menilai calon dan parti yang bertanding di kawasan mengundi mereka. Mereka akan menilai dasar, mesej, rekod prestasi dan janji kedua-dua belah pihak dalam membuat keputusan mereka dan itulah cara sewajarnya.

Pengundi atas pagar lebih meminati calon yang menumpukan perkara positif dan keberhasilan dasar, berbanding mereka yang tidak henti-henti berdebat isu politik remeh.

Sementara kita semakin menghampiri pilihan raya, mereka yang memainkan peranan utama untuk meyakinkan rakyat mengundi pihak mereka terus “tersalah langkah”, tidak kiralah di sebelah mana pun.

Kadangkala, lebih baik sesetengah ahli politik berdiam diri daripada terus menerus memberi kenyataan tidak membantu dan menyerang peribadi orang lain. Kesudahannya, pengundi atas pagar ini sebenarnya akan lebih menerima agenda pemikiran berpandangan jauh, dan menolak perkelahian remeh. Ini sesuatu yang harus ahli politik ingat.

Kebetulan bersempena dengan pengumuman manifesto pilihanraya pembangkang baru-baru ini, pengundi muda akan melihatnya dengan objektif dan mengkaji setiap isi dan menilai kebolehlaksanaannya.

Sebagai contoh, menghapuskan GST untuk menggantikannya dengan sistem SST yang sudah ketinggalan zaman menimbulkan kemusykilan kerana 160 negara sudah beralih daripada SST kepada GST kerana kelemahan dan ketidaktelusan sistem lapuk SST.

Pengundi mesti bertanya sama ada niat manifesto ini didokong cara peraksanaan wajar demi menjamin kelangsungan negara. Apabila mencadangkan dasar, mereka yang bertanding mestilah berpandangan jauh, dan tidak memilih jalan mudah semata-mata untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.

Kempen #ForwardTogether, ONE diakui pada asalnya digerakkan untuk memastikan rakyat keluar mengundi, namun kini ianya berkembang merangkumi semua aspek membina negara secara positif, termasuklah melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Justeru, usaha membina negara tidak boleh berjalan lancar jika kita sebagai individu tidak berfikiran positif. Inilah seruan kami!

Untuk pilihanraya kali ini, nilailah ahli politik dengan adil. Dalam usaha untuk mara ke hadapan, kita perlu objektif dengan dalam membuat pilihan sewaktu pilihanraya. Janganlah turun mengundi dengan pemikiran negatif, semata-mata dipengaruhi perasaan benci pihak “sebelah sana”.

Undilah kerana anda percaya calon anda pilih mampu memberikan masa depan lebih cerah.

Pilihanraya akan datang ini hanyalah langkah pertama dalam gerakan #ForwardTogether.

Bagaimanapun, lebih daripada sekadar mengundi, kita mesti berpegang teguh dengan seruan untuk terus #ForwardTogether, dan mempraktikkannya dalam semua perkara kita lakukan, demi kejayaan kita bersama.

Danni Rais ialah Presiden Organisation for National Empowerment (ONE).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.