
Pada 1908, lebih 100 tahun lalu, Richard James Wilkinson seorang pentadbir, sarjana bahasa Melayu dan sejarawan, menulis sebuah nota dengan judul “The Incident of Malay Life”.
Wilkinson, residen pemangku Negeri Sembilan pada 1910 dan setiausaha koloni antara 1911 dan 1916, adalah pencinta budaya dan adat Melayu.
Beliau menghimpunkan terlalu banyak khazanah berharga mengenai orang Melayu.
Salah satu tradisi lama yang beliau sempat rekodkan adalah “Dondang Siti Fatimah” yang menurut Wilkinson digunakan untuk menidurkan anak. Tradisi ini dikatakan amat berpengaruh di negeri Perak dan didendangkan pada hari ke-40 seseorang bayi.
Dondang Siti Fatimah yang didokumentasikan pada 1908 ini terdapat 10 rangkap:
Barang siapa berpadi emping,
Padi emping huma ditengah;
Barang siapa berhati mukmin,
Hati yang mukmin istana Allah.
Padi emping huma di tengah,
Geliga di punca kain;
Hati yang mukmin istana Allah,
Masuk syurga jannatu’n-naim.
Geliga di punca kain,
Orang bertanak di bawah sentul;
Masuk syurga jannatu’n-naim,
Inilah anak baginda Rasul.
Orang bertanak di bawah sentul,
Cherana berisi timah;
Inilah anak baginda Rasul,
Yang bernama Siti Fatimah.
Cherana berisi timah,
Timah ditempa si Undang;
Yang bernama Siti Fatimah,
Dia yang pandai mengarang.
Timah ditempa si Undang
Pucuk kundur asamnya kandis;
Dia yang pandai mengarang ,
Budak yang tidur, jangan menangis.
Pucuk kundur asamnya kandis
Pina-pina jalan ke huma;
Budak yang tidur jangan menangis,
Fatimah tengah mengarang bunga.
Pina-pina jalan ke huma
Orang bergolok di-dalam padi;
Fatimah tengah mengarang bunga,
Mengisi tengkolok baginda Ali.
Orang bergolok di dalam padi
Pisau penyadap di hujung galah;
Isi tengkolok baginda Ali,
Hendak mengadap Rasul Allah.
Pisau penyadap di hujung galah,
Minta sadapkan umbi akar;
Hendak mengadap rasul Allah,
Hendak meminta akan Dzu’l-fikar.
Muatan “Dondang Siti Fatimah” jika diteliti bertujuan untuk memperkenalkan ahli keluarga Rasulullah
iaitu Saidatina Fatimah dan suaminya, Saidina Ali kepada generasi muda.
Oleh kerana itu kita mendapati lirik atau kata yang terdapat dalam dondang ini antara lain menghubungkan Siti Fatimah dan suaminya dengan “berhati mukmin”, “geliga”, “masuk syurga jannatu’n-naim”, “pandai mengarang (bunga)”, “menghadap Rasulullah” dan pokoknya, anak itu “jangan menangis”.
Dondang Siti Fatimah bukan didendang begitu sahaja. Adat mendodoi anak dengan kidung ini akan disambut dengan bacaan “Hikayat Nabi”.
Oleh kerana itu, “Dondang Siti Fatimah” adalah sekadar pembukaan atau pengenalan. Bacaan Hikayat Nabi akan menjelaskan lebih lanjut hubungan Siti Fatimah dengan Rasulullah, dan bagaimana pentingnya pula kedudukan Saidina Ali yang mana dodoi anak tadi diakhiri dengan kata “Dzu’l-fikar” iaitu pedang milik Saidina Ali.
Hikayat Nabi yang menceritakan perihal kenabian Rasulullah dari awal itu diakhiri dengan doa Nabi untuk Hasan dan Husin, cucunda baginda dari malapetaka yang akan memecah-belahkan umat.
Hasan dan Husin adalah cucu Rasulullah dari jalur Fatimah dan Ali. Perenggan dari Hikayat Nabi ini dikongsikan:
“Maka kembali Fatimah Zahra meminta pakaian Nabi, lalu menyeru Nabi kita kepada hadirat Tuhan, maka turunlah Jibrail membawa pakaian tiga jenis. Diberikan oleh Nabi kepada baginda Amir Husen pakaian merah alamat orang kena racun Raja Yazid; diberikan pakaian biru Amir Hasan alamat mati terpenggal di tengah padang Karbala; diberikan pakaian putih kepada Muhammad Ali Hanafiah alamat menuntut balas saudaranya. Maka pulanglah ketiganya kepada tuan baginda Ali. Dipandang anak ‘lah memakai ketiganya, dihiringkan Fatimah Zahra.”
Muhammad Ali Hanafiah dalam teks di atas dikenal orang Melayu menerusi “Hikayat Muhammad Hanafiyyah”. Kedudukan Hikayat Muhammad Hanafiyyah sebagai sebuah teks tepu ajaran Syiah tidak dapat dinafikan dalam masyarakat Melayu terdahulu.
Hikayat ini dibaca oleh bangsawan dan pahlawan dalam kalangan istana Melayu Melaka sebelum 1511. Bahkan, istana Melaka meletakkan kedudukan Hikayat Muhammad Hanafiyyah di tempat yang sangat penting pada saat genting iaitu untuk membakar semangat melawan askar Melaka bagi berani berdepan soldadu Portugis pada
malam menjelang serangannya tentera Alfonso d’ Albuquerque.
Dipetik dari Sejarah Melayu:
“Maka sahut Tun Muhammad Unta, ‘Benarlah seperti kata tuan-tuan itu; baiklah Tun Indera Segara pergi pohonkan HikayatMuhammad Hanafiah, sembahkan mudah-mudahan dapat patik-patik itu mengambil faedah daripadanya, kerana Peringgi akan melanggar esok hari’.”
Hakikat malam penting untuk berlawan musuh dihiasi dengan Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang sarat dogma Syiah tidak boleh dikesampingkan dengan mudah.
Proses ‘nyah-syiahisasi’
Hari ini, generasi muda tidak pernah mendengar kewujudan Hikayat Muhammad Hanafiyyah. Apatah lagi Dondang Siti Fatimah yang mana tradisi mendodoi bayi selepas 40 hari seumpama dicatat Wilkinson tidak lagi dikenali hari ini. Hikayat Nabi pula tidak lagi dibaca.
Seratus tahun setelah Wilkinson mendengarnya sendiri di Perak, Dondang Siti Fatimah tidak lagi pernah diketahui masyarakat. Apakah bunyinya irama dodoi tersebut malah tidak kedengaran.
Wendy Mukherjee, salah seorang pengkaji sastera tradisional Melayu di Australian National University, yang banyak menghimpun dan menyelidik naskah lama mengenai Fatimah ada membuat satu kesimpulan mengapa Fatimah lesap dari minda Melayu.
Dalam sebuah artikel ilmiah berjudul “Fatimah in Nusantara”, Wendy berpendapat nama Fatimah dihilangkan dari sastera lama (dalam hal ini Dondang Siti Fatimah adalah sastera lisan) kerana berlakunya proses nyah-syiahisasi (de-Shi’itisation) selama 3 kurun antara abad ke-16 sehingga ke-19.
Proses ini memudarkan sebarang tanda orang Melayu sebagai pencinta keluarga nabi Muhammad.
Proses tersebut sangat berjaya. Seratus tahun kemudiannya, sejak 1908, orang Melayu kurang mengenal sumbangan Siti Fatimah, dan hayat hidupnya terhakis oleh landaan gelombang yang sangat alahan dengan sanjungan terhadap keluarga Rasulullah seperti Fatimah dan Ali.
Orang Melayu juga berhenti membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah ketika bulan Muharram, dan sama sekali terlupakan peristiwa di padang Karbala.
Bahana proses nyah-syiahisasi (de-Shi’itisation) selama 3 kurun itu menyebabkan orang Melayu terperuk dengan hukum-hakam fekah, dan tidak lagi melawan. Ini kerana sari penting tradisi dodoi Dondang Siti Fatimah dan bacaan Hikayat Nabi atau Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang dinyahkan itu adalah “menentang penindas”.
Dondang Siti Fatimah yang merupakan satu bentuk surat terbuka generasi tua untuk generasi anak-anak tersingkir oleh kejahilan agamawan lip-lap.
Anak Melayu menjadi jauh dari “isi tengkolok baginda Ali” dan tenaga “Dzu’l-fikar”.
Hari ini merupakan Hari Wanita Sedunia yang jatuh sekali pada malam ulang tahun kelahiran Fatimah Zahra.
Fatimah dalam teks Melayu lama seperti “Hikayat Hasan Husen Tatkala Kanak-kanak”, “Hikayat Hasan Husen Tatkala akan Mati”, “Hikayat Tabut” adalah sosok perempuan yang melawan.
Fatimah adalah Fatimah; yang saya tuliskan dalam “Perempuan Nan Bercinta”; “perempuan mulia
yang menentang sehingga mati, perempuan yang menentang meskipun sudah mati”.
Selamat Hari Wanita, hari perempuan bernyawa Fatimah hidup dan mati untuk melawan.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.