
Oleh Danni Rais dan Azeem Abu Bakar
Kita kini hidup dalam era yang menarik. Dengan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kian menjelang, keadaan juga menjadi bertambah menarik.
Pergerakan #UndiRosak yang hangat dibincangkan ketika ini bermula apabila muncul ketidakpuasan hati dengan keputusan melantik “pemimpin yang lampau” untuk PRU14, sementara pemimpin masa kini juga tidak meyakinkan mereka.
Meskipun ramai yang tidak bersetuju merosakkan undi mereka, kita seharusnya menghayati sebab yang tersirat hingga menjadi punca munculnya gerakan merosak undi ini.
Dengan kata mudah, gerakan #UndiRosak mencerminkan “kelesuan politik” yang melemahkan belia masa kini. Kebanyakan anak muda kecewa dengan jurang politik kedua-dua belah pihak yang menghampakan mereka.
Walaupun pandangan ini dianggap munasabah, tetapi adakah dengan merosakkan undi ini adalah cara yang terbaik untuk kita mara bersama dalam sesebuah negara?
Hakikatnya, masa depan negara bergantung kepada pemikiran positif anak mudanya. Pemikiran positif ini adalah kunci yang akan membuka pintu masa depan negara yang cerah. Manakala pemikiran negatif #UndiRosak ini bukan cara yang betul untuk Malaysia melangkah ke hadapan.
Apa yang diperlukan rakyat Malaysia dalam menuju PRU14 adalah mengurangkan tindakan yang dibuat hanya bersandarkan sentimen dan perbanyakkan keputusan berasaskan fakta.
Dengan itu, Organisation for National Empowerment (ONE) sebaliknya menyeru rakyat Malaysia untuk #MaraBersama.
#1 Nilai dan tindak
Isu politik sudah lama “menghiburkan” rakyat Malaysia, dan melihat perkembangan terbaharu kedua-dua belah pihak, ahli politik kini sedang berusaha sehabis mungkin untuk memikat pengundi dengan perjuangan mereka.
Mereka yang dahulunya bermusuh, sudah “memaafkan kesilapan” masing-masing, malah setuju pula dipimpin “musuh lama”.
Kini timbul kemarahan dalam kalangan penyokong tegar mereka – akibat seseorang yang dahulunya dianggap “musuh ketat”, kini dipilih untuk memimpin mereka menghadapi “ibu segala pilihan raya”.
Sementara itu, dengan kerajaan yang sedia ada, kestabilan politik lebih terjamin, meskipun masih terdapat isu lama yang tidak dapat dipastikan, terus menghantui mereka.
Anak-anak muda Malaysia perlu menilai seadanya keadaan ketika ini, dan bukan hanya berdasarkan soalan retorik “apa yang mungkin boleh berlaku”.
Seringkali, keputusan penting yang dibuat bukanlah dijalankan sewenang-wenang, sesuka hati – tetapi bersandarkan kesahihan fakta. Ini amatlah penting dalam mengemudi arah tuju masa depan kita.
#2 Utamakan yang lebih penting
Amat mudah untuk kita diperdaya dengan drama yang menyelubungi politik dalam negara ini.
Namun, anak mudalah yang seharusnya mengajukan soalan mencabar ini – pembangunan sudah tampak baik, tetapi siapa yang akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk graduan yang saban tahun semakin ramai? Siapa yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada graduan yang jumlahnya sentiasa bertambah? Siapa yang akan memastikan kestabilan ekonomi yang mampu meyakinkan golongan pelabur agar Malaysia terus maju ke hadapan? Bagaimana pula dengan pengalaman mentadbir? Isu pendidikan? Penjagaan kesihatan?
Malah, harus juga kita nilaikan, siapa yang mampu bukan hanya memenuhi keperluan rakyat di bandar dan luar bandar, tetapi juga merapatkan jurang di antara 2 kelompok ini.
Parti yang bersaing ini harus kita cabar, supaya dijelaskan apa jaminan mereka untuk masa depan kita bersama.
Kami menyeru anak muda Malaysia berbincang tentang pilihan masa depan negara bersama-sama ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja, dan janganlah membuat keputusan sendiri. Kita tidak keseorangan, dan kita seharusnya #MaraBersama.
#3 Undi
Yang menariknya, merosakkan undi anda sememangnya hak anda. Tetapi adakah ia satu hak yang boleh kita banggakan? Selepas menilai apa yang ditawarkan oleh kedua-dua belah pihak secara objektif, kita hendaklah membuat keputusan, dan mengundi.
Pilihan yang dilakukan anda di pusat mengundi mestilah dibuat tanpa dipengaruhi emosi. Merosakkan undi, ia hanya menghalang kita membentuk masa depan anak-anak kita.
Undilah dengan cara #MaraBersama. Apakah yang dimaksudkan dengan “#MaraBersama? Ia bermaksud: Bersama-sama berkongsi pandangan jauh ke hadapan dalam apa jua yang kita lakukan.
Oleh itu, dalam konteks PRU, undilah parti yang anda percaya dapat memajukan kita ke hadapan; sebuah parti yang boleh memimpin negara kita untuk terus membangun secara mapan dan progresif.
Jika kita tunduk kepada #UndiRosak, kita akan melepaskan peluang untuk menentukan masa depan kita.
Hakikat wujudnya idea undi rosak adalah sesuatu yang perlu kita sama-sama berwaspada, kerana amalan negatif ini walaupun secara zahirnya nampak demokratik, namun ia mampu mengundang implikasi buruk yang tidak kita sangkakan.
Danni Rais dan Azeem Abu Bakar ialah Presiden dan Setiausaha Agung Organisation for National Empowerment (ONE).
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.