Ludah mati emak, telan mati bapak?

Ludah mati emak, telan mati bapak?

Itu alasan yang diberikan penyokong kempen #UndiRosak. Tetapi benarkah langsung tiada perbezaan antara pilihan yang ada pada pilihan raya umum nanti?

undirosak_600

Di serata dunia, sistem demokrasi dilihat ialah jalan mewujudkan negara makmur dan progresif.

Ini kerana demokrasi kononnya sistem yang akan menzahirkan kemahuan kolektif rakyat. Amerika Syarikat dilihat sebagai jaguh dan hero demokrasi dan, pada zaman 1950an ke 1980an, blok komunis yang diketuai Soviet Union dilihat sebagai sistem diktator yang menindas kebebasan manusia.

Tetapi ini sebenarnya gambaran sahaja. Kebenarannya jauh lebih kompleks daripada itu.

Demokrasi bukanlah tiada cacat cela tetapi ada juga masalahnya seperti “tyranny of the majority” (kezaliman pihak majoriti) di mana kaum majoriti akan menguatkuasakan kemahuan mereka tanpa memperdulikan kaum minoriti yang lain.

Malaysia adalah contoh sebegini di mana ada di kalangan majoriti cuba menidakkan hak bangsa dan agama lain. Contoh: isu penggunaan kalimah “Allah”.

Gerakan #UndiRosak pula lain sedikit daripada yang di atas. Mereka melihat demokrasi diamalkan di Malaysia tidak memberi pilihan yang begitu berbeza kepada Rakyat.

Seperti kata orang Melayu, “diludah mati emak, ditelan mati bapak”. Apa saja pilihan yang dibuat oleh pengundi, akan sama sahaja reaksi yang didapati. Maka mereka memutuskan untuk merosakkan undi mereka.

Apakah tujuan mereka? Sudah tentu mereka tahu yang kalaupun hanya ada satu undi yang tidak rosak, itu sudah cukup untuk memenangkan calon yang mendapat undi tersebut.

Jadi apa harapan pihak #UndiRosak? Mungkin untuk membuat kenyataan memprotes tentang betapa lemahnya sistem demokrasi?

Sama sahaja?

Adakah benar persepsi gerakan #UndiRosak yang kedua-dua pilihan dalam PRU, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, sama sahaja secara zatnya?

Jika kita lihat kepada PKR, mereka tidak berani menyentuh hal bangsa dan agama. Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pernah terperangkap apabila ditemuduga Al-Jazeera. Dia terpaksa mengaku yang hukum hudud masih menjadi satu kemungkinan di Malaysia. Mungkin dia hanya mahu mengambil hati pengundi Islam yang konservatif yang masih terpaut dengan PAS. Walau bagaimanapun, kenyataan ni menampakkan kelemahannya sebagai pemimpin.

Bagaimana pula dengan PPBM? Mereka nampaknya lebih mantap dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi bagaimana dengan rekod Tun sebagai diktator semasa zaman kepimpinannnya dalam Umno dulu? Adakah dia akan mengubah corak kepimpinannya jika menang?

Bagaimana pula dengan komitmen PPBM kepada demokrasi? Mereka memprotes Oktoberfest tahun lepas, sama seperti PAS juga.

Amanah juga tidak kurang persoalannya. Mereka adalah parti serpihan daripada PAS dulu dan tidak menyokong hudud secara terbuka.

Baru-baru ini pula, dalam kes pemelukan Islam anak Indira Gandhi, seorang penasihat Amanah mengatakan yang mahkamah sepatutnya mengutamakan pihak bapa yang memeluk Islam. Maka Amanah sama sahaja dengan pihak mufti, dan kuncu-kuncu lain.

Bagi saya, parti yang paling berwibawa dalam Pakatan Harapan ialah DAP. Mereka telah memerintah Pulau Pinang selama 10 tahun dan walaupun mereka ditentang kerajaan persekutuan, mereka berjaya membawa kemajuan secara am kepada negeri itu.

Namun begitu, mereka pun sudah takut untuk menyuarakan apa-apa pendapat tentang isu bangsa dan agama.

Kalau dulu, mereka tegar dengan slogan “Malaysian Malaysia”, sekarang mereka sudah membisu tentang slogan itu.

Kalau dulu, Karpal Singh mencabar “langkah mayat saya dulu” sebelum melaksanakan hudud, sekarang DAP membisu sahaja tentang isu itu.

Setuju rosakkan undi?

Ini menampakkan seolah-olah saya setuju dengan gerakan #UndiRosak tetapi sebenarnya tidak.

Walaupun saya setuju yang tidak banyak perbezaan di antara kedua perikatan BN dan PH, tetapi pada saya, logik gerakan #UndiRosak amatlah gagal.

Seorang daripada suara utama mereka mengatakan yang mengundi PH kerana mereka “lebih baik sedikit daripada BN” adalah alasan yang rapuh. Saya membalas kenyatannya dengan bertanya, adakah “baik sedikit” sama sahaja dengan “tiada beza langsung”? Sudah tentu tidak!

Sedikit perbezaan akan membawa perubahan dan perubahan amatlah diperlukan di negara kita dewasa ini.

Suara yang sama juga telah menyatakan yang kita patut mewujudkan “none of the above” (NOTA) di mana jika lebih 60% daripada jumlah undi yang NOTA atau rosak, maka pilihan raya patut dilakukan semula selepas 60 hari dengan calon yang berbeza.

Pemikiran yang baik, tetapi bagaimana dengan situasi sekarang? Adakah parti pemerintah akan menerapkan polisi ini walaupun mereka sudah menang selama 60 tahun? Rasanya tidak.

Ini adalah pemikiran jangka panjang yang tidak akan wujud jika keputusan jangka pendek tidak memihak kepada perikatan pembangkang.

Perubahan boleh berlaku secara berperingkat-peringkat atau ia boleh berlaku secara mendadak. Jika ia berlaku secara mendadak, maka ia tidak akan stabil dan mungkin runtuh. Jika berperingkat pula, maka ia boleh diberi masa untuk rakyat membiasakan diri.

Tetapi jika gerakan #UndiRosak mendapat sokongan daripada rakyat di mana persaingan untuk mendapat undi begitu sengit, maka mereka akan mematahkan harapan untuk membawa apa-apa perubahan pun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.