
Semasa zaman remaja dulu, saya menerima senaskah buku nipis berjudul “Fadhilat Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan”.
Ia masih lagi dalam koleksi di rumah. Saya tidak banyak menyoal pada zaman itu, jadi saya menerima saja kandungannya.
Buku itu membutirkan pahala-pahala yang boleh kita dapati dalam bulan-bulan ini. Saya terfikir pada zaman itu, alangkah bertuahnya kita sebagai Islam mendapat pahala seperti durian runtuh daripada Tuhan.
Tak susah pun, cuma perlu mengerjakan ritual tertentu pada masa yang ditetapkan sahaja. Jika kena pada masanya, ibadat kita membuahkan pahala berlipat ganda dan akan terselamatlah kita daripada api neraka.
Lebih 2 dekad kemudian, saya terbaca sebuah tweet minggu lepas yang mempunyai sentimen yang sama. Seorang agamawan mengatakan bahawa jika kita berselawat 80 atau 100 kali pada hari Jumaat, maka dosa kita selama 80 tahun akan terampun. Siapa yang tak nak amalan bonus sebegitu!
Tak payah bergegas ke mana-mana pun, cuma perlu duduk di masjid atau di rumah sahaja dan berselawat. Ia tidak pula mengatakan bahawa dosa ini ringan atau berat walaupun agamawan akan meneka yang ia hanyalah terhad kepada dosa kecil sahaja.
Dari mana mereka tahu, saya pun hairan, kerana hadis tersebut tidak menjelaskan hal yang sebenarnya.
Siapa yang tak mahu pahala durian runtuh begitu? Ia lebih mudah daripada mendapat bonus Amanah Saham Nasional! Dengan ASN, kita perlu ada duit permulaan untuk menjana duit bonus. Dengan ritual ibadat, tidak perlu. Cuma kita perlu melaburkan masa dan tenaga di atas tikar sembahyang.
Masalahnya, adakah konsep pahala berlipat ganda ini benar? Apakah dalil yang digunakan untuk membenarkan maklumat ini?
Kitab fadhilat tidak mempunyai maklumat tersebut. Kebanyakan maklumat yang disampaikan tidak terkandung dalam koleksi hadis sahih, jauh lagi dalam Al-Quran.
Namun ia diterima sahaja dan disebarkan. Kalau dulu ia difotostat dan pelbagai mukasurat diedarkan, sekarang lagi mudah dengan email, Whatsapp dan Facebook.
Tuhan tak pandang?
Selepas zaman remaja, saya banyak membaca karya pemikir reformis Islam. Mereka merenungi kecelaruan di antara pahala yang didapati umat Islam berbanding dengan situasi mereka di dunia. Walaupun mereka mendapat pahala tidak terkira, mereka masih dijajah oleh kuasa Barat!
Bagaimana pula ini berlaku? Adakah pertolongan Tuhan tidak datang melalui ritual? Adakah Tuhan menolak ritual yang dikerjakan dengan bid’ah (seperti yang difikir oleh kaum Wahabi)?
Mungkin juga Tuhan tidak mengambil tahu situasi kita di dunia asalkan kita hanya bertumpu kepada akhirat sahaja. Jadi patutkah kita hanya melupakan kejayaan di dunia?
Sebenarnya, kalau kita meneliti isi kandung Al-Quran, ia tidak memberi langsung tumpuan kepada pengiraan pahala. Konsep ini tiada walaupun dalam suruhan untuk mendirikan solat. Jika kita menganalisa fungsi solat, ia adalah untuk memastikan yang kita tidak lari daripada jalan Tuhan.
Contohnya, Nabi Musa diberitahu yang dia patut mendirikan solat untuk mengingati Tuhan (Surah Taha, ayat 14).
Solat juga difirmankan sebagai mencegah daripada perbuatan keji dan munkar (Al-Ankabut, 45). Orang yang mengerjakan solat itu tidak akan teruja dengan kesenangan dan tidak akan lari daripada kesusahan (70:19-22).
Maka di sini kita boleh melihat yang solat itu mempunyai fungsi yang bertapak dalam realiti. Tidak ada langsung “pahala” (dalam bahasa Al-Quran, thawab) yang disebut.
Begitu juga dengan kisah dalam Al-Quran, jika kita membaca Surah Al-A’raf, Hud atau Shua’ara, kita boleh membaca naratif ini secara berterusan (sequential). Kisah personaliti seperti Nuh, Hud, Salih, Shu’aib, Lut, Ibrahim dan Musa diceritakan satu per satu.
Dalam setiap cerita, personaliti tersebut akan menyuruh kaumnya untuk “sembahlah atau beribadat kepada Allah; tiada tuhan selain Dia”, dan setiap kali suruhan itu dibuat, personaliti tersebut akan memberi suruhan lain seperti bertakwa, berniaga dengan beretika dan sebagainya.
Dalam kata lain, ibadat atau penyembahan tidak dikaitkan dengan memenangi markah-markah pahala. Ia punya impak secara langsung dalam kehidupan di dunia.
Satu lagi konsep yang cukup relevan dalam diskusi ini ialah konsep nafs atau jiwa.
Al-Quran memberi penekanan yang cukup kuat kepada konsep ini. Nafs kita adalah yang akan memberi persaksian pada hari pembalasan (17:14). Ia juga perlu dikawal dan dipalingkan semula kepada Pencipta (2:54).
Ia juga menjadi kenderaan kita di dunia. Melalui kelakuan kita, ia akan mengalami pertumbuhan ataupun kepincangan (91:7-10). Jika kita mengalami pertumbuhan, maka keadaan luaran kita akan berubah dan menampakkan kebaikan itu (8:53, 13:11).
Maka, konsep inilah yang patut menjadi fokus umat Islam. Kita patut muhasabah diri. Adakah personaliti kita betul-betul mengalami perubahan positif ataupun sebaliknya?
“Rasuah” pahala yang dijaja oleh para agamawan hanyalah ceramah “feel good” yang tidak membawa kesan-kesan yang positif dalam realiti hidup kita. Jika salah dakwaan ini, mengapakah umat Islam masih terpincang jauh daripada dunia maju?
Ia sebenarnya kerana kita telah meninggalkan hukum alam sebenar iaitu sunnatullah. Kita perlu bertapak dalam realiti jika mahu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.