PRU untuk ‘reset’ dan ‘jumpstart’ negara

PRU untuk ‘reset’ dan ‘jumpstart’ negara

Kali ini, BN dan pembangkang menuju pilihan raya dalam bentuk dan dengan rakan berlainan.

buang-undi
Sistem demokrasi berparlimen dengan pelbagai parti memberi peluang kepada rakyat untuk melakukan “reset” atau perbetulkan kembali apa-apa perkara yang dirasa tidak betul setelah berlalu satu penggal pentadbiran.

Setiap pilihan raya umum (PRU) mempunyai cabaran unik masing-masing yang muncul daripada perkembangan yang berbeza. Perkara ini dapat dilihat sejak PRU yang pertama iaitu pada 1955 sebelum Malaya mencapai kemerdekaan diikuti dengan tahun 1959.

Sementara PRU pertama sejak Malaysia ditubuhkan diadakan pada 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008, 2013 dan selanjutnya dijangka berlangsung pada tahun 2018 ini.

Setiap PRU menghadapi cabaran yang berbeza walaupun ia merupakam hanya sepenggal lalu. Umpamanya PRU 2018 adalah jelas berbeza dengan apa yang berlaku pada 2013.

Harapan untuk rakyat melakukan “reset” juga tidak semestinya berlaku pada setiap pilihan raya. Hanya bagi tahun-tahun PRU tertentu keperluan untuk melakukan “reset” adalah diperlukan. Apa yang dimaksudkan dengan “reset” di sini ialah suasana untuk memberi pembaharuan kepada negara serta “semangat baharu” pada rakyat untuk memulakan kembali perjalanan atau “jumpstart” negara.

Jadi jika dilihat sejarah PRU negara ini, tahun-tahun yang dianggap sebagai PRU untuk “reset” berlaku pada 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1982, 1990, 1999 dan 2008.

Tahun 1955 adalah penetapan bakal kerajaan yang membawa Malaya kepada kemerdekaan. Pada 1959 pula ialah penetapan negara Malaya yang hendak dibentuk. Tahun

1964 menentukan Malaysia yang macam mana. Pada 1969 negara menyaksikan rasa tidak puas hati rakyat yang mahukan pembaharuan dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya. Ketika itu rakyat mahukan perdana menteri baharu.

Tahun 1974 di bawah Barisan Nasional (BN), dengan Dasar Ekonomi Baru membawa hala baharu negara.

Pada 1982, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membawa “reset” pada negara. Tetapi beliau menghadapi cabaran bagi “reset” baharu dalam PRU tahun 1990 dengan pihak pembangkang yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Sekali lagi beliau menghadapi cabaran “reset” baharu dalam PRU tahun 1999 dalam bentuk gerakan Reformasi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil cabaran untuk “reset” ini lebih jelas dalam PRU tahun 2008 dan daripadanya tertubuh Pakatan Rakyat.

Tetapi pada 2018 ini, Pakatan Rakyat sudah tidak ada. Sebuah parti penting Pakatan Rakyat juga iaitu PAS menubuhkan pakatannya sendiri bernama Gagasan Sejahtera yang banyak pihak di kalangan pembangkang hanya melihatnya sebagai tindakan untuk memecah undi penentang Barisan Nasional bagi membolehkan Umno terus menguasai kerajaan.

Tetapi PAS dan BN pada 2018 ini sudah berbeza dan berubah. Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sebagai pewaris Pakatan Rakyat juga sudah berlainan. PH bukan Pakatan Rakyat seperti mana PAS dan BN 2018 tidak sama dengan parti itu pada 2013.

Nama saja sama tetapi ia berbeza kerana dalam politik, pelakunya sudah berubah. Bukan saja manusia berubah tetapi suasana politik juga berbeza.

“Reset” yang hendak dilakukan oleh PH juga sudah berbeza.

Apa yang membuat PAS tahun 2013 dan 2018 berbeza adalah kerana golongan progresif sudah tiada dalam parti itu. Mereka sudah berada dalam Amanah.

Begitu juga dengan BN tahun 2013 adalah berbeza dengan apa yang ada sekarang. Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak bersama Umno. Sememangnya PPBM hanyalah parti kecil berbanding dengan Umno. Begitu juga Amanah adalah kecil berbanding PAS. Tetapi Umno sudah tidak sama tanpa Dr Mahathir. Begitu juga PAS tidak serupa tanpa Mohamad Sabu, Khalid Samad dan lain-lain.

DAP dan PKR tahun 2018 bagaimanapun adalah masih sama. Tetapi PH adalah berlainan daripada Pakatan Rakyat. Kehadiran Dr Mahathir dan PPBM dalam PH di samping adanya Amanah yang sosoknya berbeza daripada PAS ketika Pakatan Rakyat dulu membuatkan harapan untuk “reset” dalam PRU 2018 berbeza dan memberi dimensi baharu kepada Malaysia. Iaitu dalam bentuk bahawa rakyat dahagakan pembaharuan dan semangat untuk “jumpstart.”

Dua pemimpin utama PH iaitu Dr Mahathir dan Anwar walaupun pada suatu waktu dulu pernah menjadi pemimpin utama Umno, BN dan Malaysia adalah juga tidak sama.

Suasana politik menuntut perubahan yang pelbagai dimensi. Begitu juga dengan pengundi. Walaupun ada antara mereka yang rupakan penyokong tegar sesebuah parti atau fahaman, tetapi dalam masa satu, atau lebih daripada 2 penggal, undi mereka juga boleh berubah.

Lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial, semuanya menjadikan “reset” dan “jumpstart” boleh berlaku dengan lebih cepat dan mendadak, berbanding tahun 1974 atau 1982 yang ketika itu penyebaran maklumat hanya berlaku melalui radio, televisyen dan akbar yang dikuasai oleh kerajaan.

Namun amalan birokrasi lambat hendak berubah walaupun tuntutan daripada teknologi pasti memaksa pembaharuan. Dr Mahathir mengadu mengenai ketiadaan jawapan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai permohonan pendaftaran Pakatan Harapan sedangkan PRU semakin hampir.

Jentera kerajaan dalam demokrasi berparlimen dengan pelbagai parti berperanan supaya sistem ini dapat berlangsung dan bergerak secara berkesan untuk kepentingan rakyat dan negara. Institusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ROS adalah antara lain untuk memudahkan supaya parti politik dapat ditubuhkan dan bergerak serta mengambil bahagian dalam proses demokrasi. Institusi SPR dan ROS adalah penting dalam kehidupan berdemokrasi.

Dr Mahathir mahukan supaya PH didaftarkan dengan satu lambang bagi mewakili PPBM, PKR, Amanah dan DAP seperti mana BN menggunakan satu logo. Usaha keras untuk tujuan ini menjadikan PRU kali ini juga berbeza.

Dalam sejarah Malaya dan Malaysia, sukar untuk pihak pembangkang mendaftarkan gabungan mereka. Sememangnya mudah bagi Perikatan dan BN. Perikatan didaftarkan pada 30 Oktober 1957. Sementara BN ditubuhkan pada 1 Januari 1973 dan didaftar pada 1 Jun 1974. Ketika itu Umno yang berkuasa.

Tetapi pada awal kemerdekaan dahulu, ia masih mudah untuk menubuhkan gabungan. Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) mengisytiharkan penubuhan Front Sosialis Rakyat Malaya (SF) pada hari merdeka, 31 Ogos 1957 dan berjaya mendaftarkannya pada 29 Julai 1958. Tidak sampai setahun.

Selepas itu tiada usaha parti-parti pembangkang untuk menubuhkan gabungan yang berjaya, atas pelbagai sebab. Daripada Harakah Keadilan Rakyat (HAK) (1986), Angkatan Perpaduan Ummah (1990), Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1998) dan Pakatan Rakyat (2008).

Maka perasaan sebahagian rakyat untuk melakukan “reset” dan “jumpstart” bukan setakat berkaitan dengan kleptokrasi atau mediokrasi pada Barisan Nasional. Juga bukan setakat nilai yang pernah diperjuangkan dalam gerakan Reformasi pada tahun 1999 yang menentang korupsi, kolusi dan nepotisme.

Tetapi untuk “reset” ini ialah tuntutan untuk melaksanakan sebuah negara demokrasi berparlimen yang meletakkan negara ini normal, maju dan memberikan keselesaan hidup pada rakyatnya.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.