Dasar boros kerajaan jejaskan rakyat

Dasar boros kerajaan jejaskan rakyat

Kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan pembangunan negara dan subsidi bagi menampung kenaikan emolumen dan pencen penjawat awam daripada 33% pada 2009 kepada 45% tahun ini.

malaysia-no-money
Oleh Osman Bakar

Kelmarin, bonus yang dijanjikan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2018 tahun lalu dikreditkan ke akaun kakitangan dan pesara kerajaan. Beban perbelanjaan tambahan untuk bonus tahun 2018 dianggarkan sekitar RM3 bilion yang akan memanfaatkan 1.6 juta kakitangan kerajaan dan 775,000 pesara kerajaan. Penjawat awam akan menerima RM1,500 manakala pesara kerajaan akan menerima RM750 dengan 2 kali pembayaran tahun ini.

Meskipun sejumlah besar wang rakyat dibelanjakan, bonus ini hanya masuk ke kantung kira-kira 10% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia dan perbelanjaan boros emolumen kerajaan adalah tidak mampan buat kewangan negara dalam jangka panjang.

Data yang dikeluarkan menunjukkan pada 2009 ketika Datuk Seri Najib Razak mengambil alih, perbelanjaan emolumen negara iaitu perbelanjaan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan hanyalah sekitar 26% daripada keseluruhan perbelanjaan operasi. Namun kini, peratusan perbelanjaan emolumen kerajaan berada pada paras 34% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus ataupun kira-kira RM79 bilion.

Perbelanjaan pencen dan gratuiti kerajaan juga semakin membimbangkan hari demi hari. Tahun ini sahaja, dijangkakan 25,000 kakitangan kerajaan akan bersara. Perbelanjaan pencen dan gratuiti oleh kerajaan dijangka terus meningkat kerana kerajaan baru sahaja meningkatkan kadar pencen minimum kepada RM1,000 untuk pesara yang pernah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun.

Pada 2009, perbelanjaan untuk pencen dan gratuiti hanyalah sekitar 6% daripada keseluruhan perbelanjaan operasi kerajaan. Jumlah ini meningkat kepada lebih kurang 11% pada 2018 ataupun kira-kira RM25 bilion. Dalam “absolute figure”, perbelanjaan pencen dan gratuiti ini meningkat RM15 bilion daripada RM10 bilion pada 2009 kepada RM25 bilion pada 2018.

Secara keseluruhannya, perbelanjaan emolumen serta pencen dan gratuiti meningkat 12% daripada 33% pada 2009 kepada 45% pada 2018 daripada keseluruhan perbelanjaan operasi kerajaan.

Perkara ini sememangnya memberi kesan kepada rakyat kerana kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan pembangunan bagi menampung perbelanjaan yang disebutkan di atas. Harus diingatkan perbelanjaan pembangunan yang akan digunakan untuk membina hospital, sekolah, sistem pengangkutan dan hal berkaitan bagi memacu pembangunan negara.

Perbelanjaan pembangunan kerajaan merudum dengan begitu drastik dalam era pentadbiran Najib. Ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009, perbelanjaan pembangunan daripada keseluruhan belanjawan kerajaan adalah sekitar 24%. Namun setelah 9 tahun memerintah, perbelanjaan pembangunan pada 2018 hanyalah sekitar 14%, iaitu penurunan 10% berbanding 2009.

Perbelanjaan pembangunan ini pula hampir 90% dibiayai hutang. Perkara ini tidak mengejutkan kerana tahun ini, jangkaan hasil kerajaan hanyalah sekitar RM240 bilion manakala perbelanjaan kerajaan sekitar RM280 bilion. Dalam erti kata lain, RM40 bilion daripada keseluruhan RM46 bilion perbelanjaan pembangunan akan dibiayai hutang.

Jentera kerajaan seringkali berbangga dengan kejayaan kerajaan menurunkan kadar hutang negara kepada kira-kira 50.7% berbanding KDNK pada suku ke-3 tahun lepas. Bahkan pada tahun ini, kadar hutang negara dijangka turun lagi kepada sekitar 50% berbanding KDNK meskipun jumlah hutang akan meningkat kepada kira-kira RM722 bilion.

Walaupun begitu, mereka tidak pernah bercerita mengenai pembayaran faedah akibat hutang negara. Pada 2009, jumlah pembayaran faedah hanyalah sekitar 9.1% berbanding perbelanjaan operasi. Jumlah ini meningkat 4.1% kepada 13.2% pada 2018. Dalam “absolute figure”, kos pembayaran faedah kita tahun ini adalah sekitar RM31 bilion setahun ataupun RM2.6 bilion sebulan.

Selain itu, kesan daripada dasar boros kerajaan dalam berbelanja, subsidi yang diberikan kerajaan juga berkurangan dengan mendadak sekali yang turut memberikan kesan kepada orang ramai. Pada 2009, subsidi yang diberikan kerajaan sekitar RM74 bilion mengikut anggaran Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan). Namun pada tahun lepas, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan hanyalah sekitar RM10 bilion.

Oleh itu, penulis berharap kerajaan lebih peka dalam berbelanja agar tidak memberi kesan kepada rakyat melalui pengurangan kadar peruntukan perbelanjaan pembangunan negara dan subsidi. Skim pembayaran pencen dan gratuiti kerajaan juga perlu diubah agar lebih mampan kerana jumlah pesara kian meningkat tahun demi tahun.

Osman Bakar ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.